AntarabangsaIsu Semasa

Didakwa Cuba Merampas Kuasa, 3 Putera Arab Saudi Ditahan

Pihak berkuasa Arab Saudi telah menahan tiga putera termasuk adik dan anak saudara kepada Raja Salman atas tuduhan merancang rampasan kuasa, media AS melaporkan.

Putera-putera terbabit berkemungkinan merupakan pembangkang kepada Putera Mahkota Mohammed bin Salman dan berlaku selepas kerajaan mengehadkan akses umat Islam ke tanah suci Mekah dalam langkah untuk membendung wabak coronavirus.

Putera Ahmed bin Abdulaziz al-Saud, adik lelaki Raja Salman, dan anak saudaranya Putera Mohammed bin Nayef dituduh melakukan pengkhianatan dan ditangkap dari rumah mereka pada awal hari Jumaat oleh pengawal diraja, lapor Wall Street Journal yang menyebut sumber-sumber yang tidak bernama.

Mahkamah Rayuan Saudi telah menuduh kedua-dua putera itu yang berpotensi menjadi calon untuk mewarisi takhta dengan tuduhan, “merancang rampasan kuasa untuk menggulingkan raja dan putera mahkota” dan boleh menghadapi hukuman penjara seumur hidup atau hukuman mati, kata akhbar itu.

The New York Times juga melaporkan penahanan itu, sambil menambah bahawa adik kepada Putera Nayef, Putera Nawaf bin Nayef, juga telah ditahan.

Penahanan itu menandakan tindakan keras terbaru oleh Putera Mohammed, yang telah bertindak seperti kuku besi dengan pemenjaraan para ulama, aktivis terkemuka, ahli perniagaan elit dan putera raja.

Putera Mohammed juga menghadapi kecaman antarabangsa atas pembunuhan Jamal Khashoggi di dalam konsulat Istanbul pada Oktober 2018.

Sudah dilihat sebagai pemerintah de facto yang mengawal semua urusan kerajaan, dari pertahanan ke ekonomi, putera itu secara luas dilihat telah bertindak kasar walaupun belum mengambil alih takhta dari Raja Salman .

“Putera Mohammed sangat berani dan telah menepis sebarang ancaman terhadapnya dengan memenjara atau membunuh lawannya tanpa sebarang kesan,” kata penganalisis polisi, Becca Wasser di RAND Corporation yang berpangkalan di AS.

“Ini adalah satu lagi langkah untuk meningkatkan kuasa dan mesejnya kepada sesiapa sahaja, termasuk kerabat supaya tidak melawannya.”

LAWAN TERSINGKIR

Putera Ahmed, berusia sekitar 70-an, telah kembali ke kerajaan dari pangkalannya di London selepas skandal Khashoggi, dalam apa yang dilihat oleh beberapa pihak sebagai usaha untuk memberi sokongan kepada monarki Arab Saudi.

Sebelum kembali pada Oktober 2018, putera itu telah mencetuskan kontroversi berhubung kenyataan yang dibuatnya kepada para penunjuk perasaan di London melaungkan lagu-lagu kerajaan Saudi terhadap pembabitan kerajaan dalam konflik yang berlangsung di Yaman ketika itu.

“Individu tertentu bertanggungjawab … raja dan putera mahkota,” katanya, berdasarkan rkaman video dalam talian yang tersebar luas mengenai kejadian itu.

Komen itu dilihat oleh ramai orang sebagai kritikan yang jarang berlaku terhadap kepimpinan kerajaan dan peranannya di Yaman, tetapi Putera Ahmed menolak tafsiran itu sebagai “tidak tepat”.

Putera Mohammed telah menewaskan Putera Nayef, mantan putera mahkota dan menteri dalam negeri pada tahun 2017 untuk menjadi pewaris tahta dunia yang paling kuat di Arab.

Pada masa itu, saluran televisyen Saudi menunjukkan Putera Mohammed mencium tangan putera yang lebih tua dan berlutut di hadapannya dalam acara penghormatan.

Laporan media Barat kemudian mengatakan bahawa putera yang ditahan itu telah diletakkan di bawah tahanan rumah, satu tuntutan yang dinafikan oleh pihak berkuasa Saudi.

Show More

Related Articles

Back to top button