Gaya Hidup

Elakkan Berjabat Tangan, Covid-19 Ubah Etika Pertemuan

Pada hari Isnin, seorang ahli politik Jerman menolak untuk berjabat tangan dengan ketua negara, Chancellor Angela Merkel.

Tetapi Merkel tersenyum dan memuji Menteri Dalam Negeri Horst Seehofer atas pendekatannya dalam mengekang coronavirus yang semakin tersebar ke peringkat global.

Ketika pihak berkuasa di seluruh dunia berusaha untuk menyekat penyebaran covid-19 yang telah meragut lebih daripada 90,000 nyawa dan merebak ke lebih daripada 70 negara dan wilayah, orang ramai telah menghadapi masalah: Bagaimana hendak menyambut salam seseorang?

Elakkan ciuman, walaupun anda orang Perancis

Pada hari Sabtu, seorang pegawai Perancis menasihatkan agar menghentikan tradisi lama Perancis “la bise” iaitu tradisi memberi ciuman pada pipi seseorang ketika bertemu.

“Pengurangan hubungan sosial fizikal adalah disyorkan, termasuk la bise,” kata Menteri Kesihatan Perancis, Olivier Véran kepada wartawan, sambil menambah orang juga harus menghindari berjabat tangan.

Pegawai di Australia telah mengeluarkan panduan yang sama, dengan menteri kesihatan New South Wales, Brad Hazzard, mencadangkan bahawa Australia “menjalankan tahap penjagaan dan berhati-hati dengan siapa yang anda beri ciuman,” menggalakkan orang untuk saling memberi tepukan di belakang dan bukannya berjabat tangan.

Pihak berkuasa di Itali, yang menghadapi wabak terbesar di Eropah, telah memberi amaran terhadap hubungan fizikal, tetapi mengakui ia adalah cabaran yang besar.

“Kami mempunyai kehidupan sosial kolektif yang sangat rapat dan sangat luas. Kami berjabat tangan, kami mencium antara satu sama lain, kami memeluk satu sama lain,” Pesuruhjaya khas Itali untuk coronavirus Angelo Borrelli memberitahu pemberita pada bulan lepas.

“Mungkin lebih baik dalam tempoh ini untuk tidak berjabat tangan dan mengurangkan sentuhan,” kata Borrelli.

Jadi apa alternatifnya?

Dengan kegusaran untuk berjabat tangan, orang di seluruh dunia semakin kreatif dalam mencipta cara untuk bersapa ketika bertemu dan menyambut seseorang.

Dr. Sylvie Briand, pengarah pandemik Pertubuhan Kesihatan Sedunia telah mengesahkan pelbagai alternatif kepada berjabat tangan, termasuk berlaga siku, melambai, melakukan “wai” seperti di Thailand iaitu dengan meletakkan kedua telapak tangan bersama-sama atau  mengikut cara Jepun dengan memberi tunduk hormat.

Rakyat Malaysia juga mempunyai cara alternatif yang tersendiri dengan Salam Malaysia. Salam Malaysia adalah satu bentuk perbuatan mengalu-alukan pelancong yang dicadangkan oleh Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Datuk Abdul Kadir Sheikh Fadzir pada tahun 1999.

Salam Malaysia yang melibatkan isyarat meletakkan tangan di dada juga lebih sesuai daripada berjabat tangan kerana sesetengah budaya dianggap tidak sesuai untuk wanita menyentuh tangan seorang lelaki.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close