Kekalahan mengejut 0-3 Sabtu lalu di Vicarage Road menamatkan pencapaian 44 perlawanan tanpa kalah dan menggagalkan peluang The Reds daripada melakukan rekod baru EPL dengan 19 kemenangan.
Walaupun Kalah Klopp Tidak Mahu Menghentam Pemainnya
Bagaimanapun, daripada menghentam pemain di atas prestasi paling buruk tahun ini, Klopp memberikan gambaran di mana kesilapan yang harus diperbetulkan selepas skuad berkenaan menonton kembali perlawanan berkenaan.
Ketenangan Klopp itu sebagai menghormati apa yang anak buahnya raih tahun lalu iaitu juara kelab dunia dan Eropah.
Covid-19 Tidak Akan Merencatkan Saingan EPL
Beliau juga meminta peminat pasukan itu tidak mempercayai khabar angin mengatakan The Reds tidak akan dapat menjulang trofi Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini akibat wabak koronavirus (Covid-19) seperti yang dilaporkan media England yang menyatakan kemungkinan Liverpool tidak akan menjulang trofi EPL musim ini sekiranya liga itu ditamatkan lebih awal akibat wabak Covid-19.
Menurutnya, beliau percaya penyokong Liverpool cukup cerdik untuk menilai sesuatu perkara dan menegaskan isu Covid-19 tidak akan merencatkan saingan EPL yang sedang berlangsung.
Si Cilik Peminat Manchester United Mohon Liverpool Kalah Sebelum Perlawanan Sabtu Lalu
Media juga melaporkan kekalahan Liverpool pada Sabtu lalu seperti mengabulkan permintaan Daragh Curley, 10 tahun yang telah menulis surat kepada Klopp yang meminta Liverpool tewas dalam beberapa perlawanan bagi membolehkan kelab itu tidak memenangi kejuaraan Liga Perdana.
Petikan suratnya ialah: “Liverpool memenangi banyak perlawanan. Jika anda memenangi sembilan lagi perlawanan, pasukan anda memegang rekod tidak tewas di saingan liga.
“Jadi apabila Liverpool beraksi lagi selepas ini, tolonglah kalah. Anda harus memberi peluang kepada pasukan lain untuk menjaringkan gol. Saya harap dapat meyakinkan anda untuk tidak memenangi perlawanan liga atau perlawanan lain.”

Klopp Membalas Surat Curley
Surat yang dihantar oleh peminat tegar Manchester United itu pun mendapat balasan daripada Klopp.
Katanya, menerusi surat itu, Klopp menulis: “Malangnya, saya tidak boleh memenuhi permintaan anda.
“Betapa anda begitu mahukan Liverpool tewas, menjadi tugas saya untuk melakukan segala-galanya bagi membantu Liverpool mencatatkan kemenangan kerana berjuta orang di seluruh dunia mahu ia menjadi kenyataan.
“Jadi saya tidak mahu mengecewakan semua peminat setia Liverpool. Anda bernasib baik kerana kami pernah tewas sebelum ini dan mungkin akan tewas pada masa depan kerana ini adalah bola sepak.
“Masalahnya apabila anda berusia 10 tahun, anda berasakan segala-galanya senang. Tapi jika saya seorang yang berusia 52 tahun boleh menasihati anda, realitinya tidak,” katanya.
Klopp menambah Manchester United amat bertuah kerana mempunyai peminat seperti Daragh dan mendoakan kegilaannya terhadap bola sepak dan kelabnya itu.
Walau bagaimanapun, Liverpool masih kekal dengan kelebihan 22 mata di tangga teratas liga dan masih bersaing di Liga Juara-Juara di sebalik kekalahan pada perlawanan pertama itu.