Bisnes & Ekonomi

Pelajari Trend Makanan Snek Di Malaysia Oleh Pemilik Hofu Yang Mengaut Keuntungan Dalam Hanya 4 Minggu Pertama!

HOFU, sebuah jenama snek yang berada di pasaran sejak 2017 dan telah mengaut penjualan bernilai RM3juta pada tahun lalu dan dijangka bakal berkembang 50% lagi tahun ini.

Jenama ini diperkenalkan oleh Yuyi Low dan Nicholas Thang, seorang chef dan perunding F&B.

Semuanya bermula setelah Low mencuba snek kulit ikan telur masin yang terkenal di Singapura.

 

Awalnya Tidak Yakin Dengan Perniagaan Snek Mengikut Trend

Low yang pada ketika itu masih bekerja tetap terfikir untuk memulakan perniagaan ini sewaktu trend telur masin sedang meningkat tetapi Thang kurang berkenan dengan idea tersebut kerana menghasilkan snek dan mengikut aliran trend terkini bukanlah sesuatu yang difikirnya akan berkesan.

Walau bagaimanapun, Low tetap pendirian dan menjalankan beberapa kajian dan akhirnya berjaya meyakinkan Thang.

Mereka berdua mengembangkan resipi dan snek tersebut di bawah syarikat Niche Flavours Marketing Sdn Bhd dengan bantuan dana daripada rakan dan keluarga sejumlah RM100,000.

Mereka bermula dengan menyewa sebuah lot kilang di Sungai Buloh untuk memulakan pengeluaran.

“Kami memisahkan lot tersebut kepada tiga bahagian, satu bahagian pengeluaran, satu untuk pejabat dan satu lagi untuk kiosk teh bubble dan hotdog sebagai pelan cadangan jikalau perniagaan snek ini tidak berhasil.

Kami juga telah membeli mesin kopi dan juga kerusi serta meja tetapi akhirnya tidak menggunakan semuanya kerana kami terlalu sibuk dengan perniagaan snek ini,” kata Thang yang pada awalnya tidak yakin dengan perniagaan Hofu.

 

Untung Dalam Waktu 4 Minggu Sahaja Tetapi…

Dalam waktu empat minggu sahaja, snek Hofu di Ben’s Independant Grocer telah menjana penjualan sebanyak RM20,000 sewaktu musin perayaan Tahun Baru Cina pada tahun 2018.

Melihat kepada sambutan yang menggalakkan ini, mereka meningkatkan pengeluaran dan mula mengedarkannya kepada peruncit yang lain.

Namun, tidak lama daripada itu mereka menerima aduan tentang snek mereka menjadi tengik dan tidak boleh dimakan.

HOFU dalam botol plastik. Sumber Imej: eatdrinkkl.blogspot.com

Low dan Thang mendapati ia berpunca daripada cara pembungkusan mereka yang ketika itu menggunakan botol plastik.

“Kami berpengalaman dalam bidang F&B yang menggunakan makanan segar dan tidak pernah mengalami masalah makanan rosak. Ia adalah pengalaman baharu untuk kami,” akui Low.

 

Kerugian Dasyat Tetapi Pelajaran Berharga

Oleh yang demikian, mereka perlu memanggil semula semua produk daripada peruncit mereka termasuk yang sudah dieksport ke Singapura.

Perkara ini sudah pasti menjadi pelajaran yang amat mahal untuk mereka bagi mempelajari cara membuat kemasan yang lebih baik.

Mereka berfikir jika snek di pasaran boleh tahan selama satu tahun, sudah pasti terdapat solusi kepada permasalahan ini. Oleh sebab itu mereka berfikir tentang cara pembungkusan dan akhirnya meneruskannya seperti yang tersedia ada sekarang.

Pembungkusan Hofu sekarang memiliki lapisan yang baik dan juga gas nitrogen untuk memastikan produk mereka tidak lagi lemau dan ini sekaligus memanjangkan usia produk mereka.

Hofu kini boleh didapati di 200 peruncit atasan dan pusat cenderamata seluruh negara. Ini sekali gus membantu mereka untuk mendapat peluang pengedaran ke tempat lain.

 

Perisa Baharu Diperkenalkan Tetapi Pasaran Belum Bersedia

Setelah perniagaan mereka semakin meningkat, Thang mula membuat perisa serta produk baharu dengan menggunakan truffle serta kari Jepun sebagai perisa snek mereka.

Walau bagaimanapun, perisa baharu ini belum berhasil menambat hati peminat kerana mereka lebih menggemarkan perisa telur masin yang masih mendapat keuntungan 60-70%.

Perkara ini sudah pasti tidak dijangkakan oleh pemilik Hofu tetapi ini tidak memberhentikan mereka daripada menghasilkan snek berperisa lain.

“Kami memiliki bank perisa dan akan menggunakannya pada masa akan datang dan apabila pasaran menginginkannya, kami akan memasarkannya semula,” kata Thang.

 

Trend Makanan Di Malaysia Dipengaruhi Oleh Singapura?

Low berkata kebanyakan trend makanan di Malaysia ini dipengaruhi oleh apa yang terdapat di Singapura. Oleh itu ia agak sukar untuk memperkenalkan trend baharu di Malaysia.

Namun, Low masih optimis untuk menghasilkan kreativiti tempatan kerana menurutnya kita juga memiliki trend yang bermula di Malaysia seperti crabstick goreng tetapi untuk sesuatu berkembang dengan lebih hebat, kita perlu bergerak mengikut trend yang terjadi di luar negara.

“Contohnya apabila restoran hotpot mula berkembang maju, kami juga memperkenalkan snek perisa mala,” kongsi Thang.

Mereka juga tidak menafikan terdapat persaingan sengit di pasaran namun semuanya adalah bagaimana kami pastikan produk kami mendapatkan pulangan modal.

Oleh itu selain kulit ikan, kami memiliki produk lain seperti snek cendawan dan bendi.

“Snek ini kami perkenalkan di kedai organik dan farmasi yang menjual snek sihat,” jelas Low kepada TheStar.

 

Belum Boleh Bersaing Dengan Syarikat Besar Tetapi Mencari Keistimewaan Tersendiri

“Kami sedar kami belum boleh bersaing dengan kilang pembuatan besar kerana mereka memiliki mesin yang berjalan 24 jam. Oleh itu apa yang kami boleh lakukan ialah menghasilkan snek berkualiti dengan harga yang berpatutan,” tambah Low yang berkata produk mereka menggunakan herba serta ramuan asli dan bukannya perisa serbuk.

Tahun ini Thang dan Low sedang memperlihatkan produk kacang serta mee segera Korea dan pada kali ini mereka berdua lebih yakin dengan apa yang mereka bakal sajikan kepada pasaran.

“Kami sudah maklumkan perkara ini kepada pembeli kami dan mereka teruja dengan perkara ini. Oleh itu ia menjadi fokus kami pada tahun ini dan kami akan memperkenalkan mee segera Korea berperisa telur masin, ketam bercili dan mala.”

“Ini merupakan rancangan perkembangan kami dan ia juga merupakan apa yang trending di pasaran sekarang,” kata Low.

 

Masa Depan Hofu Yang Lebih Meyakinkan

Hofu kini sudah berpindah ke lot yang dua kali ganda lebih besar daripada sebelumnya dan mereka mampu untuk mengembangkan perniagaan mereka termasuk memperkenalkan produk baharu.

“Kami mahu cuba untuk melancarkan semula snek perisa truffle dan saya rasa terdapat permintaan untuk mendapatkannya. Namun jika kami tidak dapat menjualnya di sini, kami akan jual di Singapura,” ujar Low yang berkata selain Singapura, mereka juga mendapat permintaaan pemasaran di China dan Filipina.

Di Hofu, mereka boleh menghasilkan 2000 paket setiap hari dalam satu shift. Oleh itu mereka boleh mengatasi permintaan tinggi orang ramai.

“Kami boleh menambah tenaga kerja untuk meningkatkan pengeluaran. Produk kami dihasilkan secara manual dan semua kulit ikan digoreng di atas wok. Kami dapati ia adalah agak sukar untuk menggunakan mesin kerana snek kami tidak memiliki saiz yang sama dan ia akan mudah pecah jika dimasukkan ke dalam mesin,” jelas Thang.

Show More

Related Articles

Back to top button