Gaya HidupKesihatan

Adakah Pesakit Yang Sembuh Dari Virus Korona Boleh Dijangkiti Semula?

Menurut ChinaDaily, kira-kira 14% pesakit yang sembuh dariapda jangkitan virus korona (Covid-19) dan telah dibenarkan pulang dari hospital di wilayah Guangdong didakwa kembali positif virus tersebut menerusi pemeriksaan susulan dijalankan ke atas mereka.

Caixin Global melaporkan pihak berkuasa kesihatan tempatan berpendapat keadaan terbabit berlaku kerana pesakit yang telah pulih berkemungkinan masih membawa virus membawa maut tersebut.

 

Tiada Kesimpulan Jelas Bagaimana Pesakit Pulih Masih Positif Covid-19

Timbalan Pengarah Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Guangdong (Guangdong CDC), Song Tie berkata, tiada kesimpulan jelas bagaimana ia berlaku dan mengapa pesakit masih didiagnos positif Covid-19.

“Pakar menerusi laporan penilaian awal percaya pesakit sebenarnya pulih daripada jangkitan paru-paru dan belum sembuh sepenuhnya.

Kami bersiap sedia untuk menempatkan semula pesakit yang disahkan positif di bawah pemantauan rapi.

Pihak berkuasa kesihatan juga akan memantau pesakit yang dibenarkan keluar dari hospital dan mengikuti perkembangan mereka,” jelasnya.

Menurut garis panduan rawatan terbaharu Covid-19 yang dikeluarkan Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan China, pesakit boleh dianggap sembuh dan dibenarkan keluar dari hospital apabila dua ujian dilakukan berturut-turut pada tekak atau hidung disahkan negatif bersama imbasan tomografi berkomputer (CT) yang mengesahkan tiada jangkitan pada paru-paru atau simptom jelas seperti demam.

Garis panduan itu mencadangkan pesakit yang telah sembuh supaya sentiasa memantau perkembangan kesihatan mereka dan mengehadkan aktiviti luaran selama dua minggu selepas meninggalkan hospital serta melakukan ujian semula pada minggu berikutnya.

“Keputusan ujian pemeriksaan susulan segelintir pesakit kembali positif,” kata Pengarah Unit Jagaan Rapi di Guangzhou No 8 People’s Hospital, Li Yueping pada taklimat semalam.

 

Singapura Jamin Pesakit Yang Dibenarkan Keluar Daripada Hospital Mereka Tidak Ada Virus Covid-19

Namun pesakit yang dibenarkan keluar oleh hospital di Singapura pula dijamin tidak ada virus di dalam badadn mereka oleh pakar di Pusat Penyakit Berjangkit Kebangsaan (NCID).

Ini kerana menurut mereka di NCID, situasi di Singapura adalah berbeza.

Prof Leo Yee Sin, Pengarah Eksekutif NCID berkata doktor telah memantau virus dalam sistem respiratori pesakit yang melihat sama ada pesakit masih mengeluarkan virus hidup dan kekal berjangkit atau tidak (virus-shedding).

Ini dilakukan dengan mengambil sampel dari bahagian hidunga ataupun tekak. Jika virus-shedding ini sudah berhenti, pesakit sudah tidak lagi memiliki virus di dalam tubuh mereka.

“Pesakit ini hanya akan dibenarkan keluar apabila mereka sudah pulih secara klinikal dan ujian molekular telah menyatakan bahawa virus ini telah berhenti membiak,” jelas Prof Leo.

 

13 Pesakit Kembali Positif Covid-19 Walaupun Tidak Menunjukkan Simptom Baharu

Walau bagaimanapun, di No 8 People’s Hospital, telah direkodkan 13 pesakit yang telah sembuh kembali positif Covid-19 walaupun mereka tidak menunjukkan simptom baharu manakala ujian asid nukleik ke atas 104 kontak rapat kesemua pesakit didiagnos negatif.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Penyakit Berjangkit di hospital itu, Cai Weiping memberitahu kesemua keputusan positif pada pesakit telah sembuh diperoleh daripada ujian pada dubur yang merupakan kaedah jarang digunakan di wilayah lain di China.

“Ujian tersebut berada dalam lingkungan ‘positif lemah’,” ujarnya.

Difahamkan, garis panduan ditetapkan kerajaan hanya memerlukan ujian pada tekak atau hidung pesakit disyaki berikutan virus tersebut dipercayai tersebar melalui titisan cecair pernafasan yang disebarkan apabila individu terbabit batuk atau bersin.

 

Cara Baharu Penyebaran Virus?

Tetapi, penyelidikan dilakukan Universiti Perubatan Guangzhou menemui virus itu daripada sampel najis yang menunjukkan cara baharu penyebaran hingga menyebabkan beberapa hospital di Guangdong melakukan prosedur tersebut.

Sehingga lewat Isnin lalu, Guangdong melaporkan 1,347 kes jangkitan dan 805 pesakit disahkan pulih manakala angka kematian mencecah tujuh orang.

Kes sama melibatkan pesakit sembuh disahkan positif semula Covid-19 turut dilaporkan di wilayah Sichuan dan Hainan.

 

Covid-19 Lebih Mudah Berjangkit Berbanding SARS & MERS

Berdasarkan laporan Bernama, antara dapatan kajian kumpulan ahli sains China yang diterbitkan dalam Chinese Journal of Epidemiology pada Isnin 17 Feb, Covid-19 adalah lebih mudah berjangkit berbanding virus yang menyebabkan Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) dan Sindrom Pernafasan Asia Barat (MERS).

Memandangkan Covid-19 menjangkiti lebih ramai orang berbanding virus yang menyebabkan SARS dan MERS, angka kematian juga tinggi. Wabak SARS dilaporkan membunuh 774 orang sementara MERS, membunuh sekurang-kurangnya 828 orang sejak 2012.

Selain China dan Singapura, wabak Covid-19 juga telah menular ke Malaysia, Jepun, Korea Selatan, Thailand, Vietnam, Jerman, Australia, Amerika Syarikat, Perancis, United Kingdom, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Kanada, India, Itali, Filipina, Rusia, Sepanyol, Iran, Sri Lanka, Kemboja, Nepal, Finland, Sweden, Belgium dan Mesir.

Laporan dari Wuhan pada Selasa 11 Feb menyebut data terbaharu berdasarkan penyelidikan membabitkan lebih 1,000 pesakit COVID-19 di China mendapati tempoh inkubasi virus itu boleh mencecah 24 hari, bukannya 14 hari seperti yang dipercayai sebelum ini.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close