MalaysiaPolitik

Beginilah Proses Penamaan Perdana Menteri Malaysia Baharu Tetapi…

Menurut mantan Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Perdana Menteri interim boleh mengusulkan di Dewan Rakyat jika terdapat perkara penting yang harus didebatkan.

Perkara seperti melantik pemimpin jika beliau memiliki sokongan yang kuat di Parlimen untuk dilantik sebagai Perdana Menteri merupakan perkara penting yang segera harus diselesaikan.

Oleh itu menurut Dr Wan Junaidi, Perkara 11 (3) Aturan Mesyuarat Dewan Rakyat membolehkan dewan bersidang lebih awal daripada tarikh mesyuarat Dewan Rakyat yang telah ditetapkan dan notis satu hari sebelum tarikh juga boleh dilakukan.

Persidangan Perlu Dibicarakan Dengan Setiausaha Dewan Rakyat

“Walau bagaimanapun, ia perlulah dibicarakan dengan setiausaha Dewan Rakyat untuk berbincang tentang tajuk perbahasan tersebut,” katanya kepada TheStar.

Usul di Dewan Rakyat perlu dilakukan oleh menteri dan apabila ia dibincangkan di Dewan Rakyat, selalunya ia ditentukan oleh suara undian di mana ahli Parlimen yang hadir mewakili Dewan Rakyat perlu bersuara untuk ‘setuju’ atau ‘tidak setuju’ dengan usul yang diutarakan.

Memandangkan keadaan sekarang di mana negara tidak memiliki menteri setelah pelantikan mereka dibubarkan oleh Yang di-Pertuan Agong pada hari Isnin lalu dan baginda telah menerima permohonan perletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri Malaysia. Oleh sebab itu, Perdana Menteri interim boleh melakukan usul.

Usul Bersuara Di Parlimen Mungkin Tidak Dapat Dilakukan

Walau bagaimanapun, Dr Wan Junaidi berkata usul seperti bersuara untuk menentukan siapa yang memiliki sokongan majoriti di dalam Dewan Rakyat mungkin tidak dilakukan kerana terdapat pelbagai puak yang kini berada di dalam Dewan.

“Saya tidak rasa mereka boleh menggunakan undian suara. Kemungkinan besar mereka perlu memiliki sebuah alat untuk menjalankan undian khas bagi menamakan siapa yang mereka sokong atau boleh juga undian rahsia dijalankan,” tambahnya.

Memetik kata Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md yusof, proses ini akan ditentukan setelah kenyataan rasmi dikeluarkan oleh Perdana Menteri interim tentang persidangan Dewan Rakyat.

“Setelah saya menerima kenyataan daripada PM dengan usul beliau, saya akan mengeluarkan kenyataan,” katanya.

Tun M Memanggil Sidang Khas Dewan Rakyat

Semalam Tun Dr Mahathir Mohamad memanggil sidang khas di Dewan Rakyat bagi menentukan kerajaan baru pada hari Isnin untuk menentukan Perdana Menteri Malaysia yang baharu.

Perdana Menteri interim berkata, Yang di-Pertuan Agong tidak menemui mana-mana individu memperoleh majoriti yang jelas untuk dilantik sebagai Perdana Menteri yang baharu.

“Dan kerana tiada yang ada majoriti jelas, (Tuanku) kata ruang yang sesuai adalah Dewan Rakyat.

“Maka Parlimen akan bersidang pada 2 Mac…. siapa yang ada sokongan majoriti di Parlimen akan menjadi Perdana Menteri.

“Bagaimanapun jika Dewan Rakyat gagal mendapat seorang yang ada majoriti, kita perlu lalui pilihan raya,” katanya lagi dalam sidang media selepas membentang Pakej Rangsangan Ekonomi 2020.

Tun M Sokong Tan Sri Muhyiddin Yassin Menjadi Perdana Menteri

Berdasarkan kenyataan di BeritaHarian, Dr Mahathir yang kembali menjadi Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), berkata beliau akan menyokong jika parti itu akan menamakan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebagai calon Perdana Menteri yang baharu.

Beliau menjelaskan tidak dapat menerima UMNO tetapi menyokong sesiapa saja yang meninggalkan parti itu untuk menjadi Perdana Menteri.

“Saya tidak terima UMNO tetapi Muhyiddin nampaknya dapat menerima mereka seluruhnya,” katanya.

Mengakui akan menerima sesiapa saja sebagai Perdana Menteri yang mendapat sokongan majoriti, katanya calon yang yang terpilih kelak boleh membentuk Kabinet sendiri.

Sementara itu, katanya, kerajaan perpaduan yang diilhamkan beliau itu bukan bergantung kepada wakil parti, tetapi berdasarkan kebolehan mereka sebagai individu.

Ahli Parlimen PH Mempersoalkan Kapasiti Perdana Menteri Interim

Pada masa yang sama, terdapat anggota parlimen Pakatan Harapan (PH) mempersoalkan hak Dr Mahathir Mohamad untuk memanggil sidang khas di Dewan Rakyat bagi menentukan kerajaan baru atas kapasiti beliau sebagai perdana menteri sementara.

Ini kerana, beliau berkata, Perkara 11 (3) Aturan Mesyuarat Dewan Rakyat hanya membenarkan perdana menteri untuk berbuat demikian, dan bukan perdana menteri sementara.

“Dia PM interim dan bukan perdana menteri, jadi Perkara 11 (3) tidak terpakai,” kata ahli Parlimen itu yang memberitahu Malaysiakini dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan.

“Oleh itu, mengapa Perdana Menteri interim mahu memanggil sidang khas parlimen?” soalnya.

Perbalahan Di Twitter Antara Ahli Parlimen

Naib Presiden PKR Chang Lih Kang juga mempersoalkan mengapa Mahathir perlu memanggil sidang itu untuk memilih calon perdana menteri sedangkan Yang di-Pertuan Agong telah membuat perkara sama sepanjang dua hari ini.

“Apa yang peling pelik ialah saya difahamkan Yang di-Pertuan Agong akan membincangkan perkara ini dengan Majlis Raja-raja Melayu esok. Jadi mengapa perlu buat keputusan hari ini?

“Saya tidak boleh fikir sebab lain kecuali keputusan itu mungkin tidak berpihak kepadanya (Mahathir),” katanya.

Begitu juga Pengerusi DAP Kelantan, Zaid Ibrahim juga mempersoalkan motif Mahathir mengumumkan sidang khas berkenaan.

“Jika tidak ada majoriti jelas selepas dua hari kerja yang teliti, perdana menteri sementara harus menasihatkan Agong untuk membubarkan parlimen.

“Tapi dia tak buat. Kenapa?” soalnya di Twitter.

Sementara itu, Adun DAP, Lee Chin Chen memberi amaran bahawa perkara itu mungkin akan mencetuskan krisis perlembagaan.

“Yang di-Pertuan Agong bertemu dengan semua anggota parlimen dan Raja-raja Melayu akan bertemu Yang di-Pertuan Agong esok. Nampaknya belum ada keputusan akhir.

“Tidak jelas siapa yang memperoleh majoriti dan mereka akan memilih perdana menteri. Adakah ini dilakukan menurut Perlembagaan Persekutuan?”.

“Adakah akan ada satu lagi krisis perlembagaan?” soalnya.

Betul Ke Perdana Menteri Interim Tak Ada Kuasa?

Pelantikan Perdana Menteri Interim yang pertama berlaku dalam sejarah negara dan tidak terdapat dalam peruntukan Perlembagaan.

Pakar Undang-Undang, Profesor Datuk Salleh Buang berkata, mengikut peruntukan Perlembagaan negara mesti mempunyai seorang ketua kerajaan iaitu Perdana Menteri.

Jelasnya, disebabkan itulah Perdana Menteri Interim perlu dilantik bagi membolehkan kerajaan dapat berfungsi sementara perdana menteri dan Kabinet baharu dibentuk.

“Dari segi bahasa undang-undang, interim bermaksud sementara, dari segi Bahasa Melayu ia bererti tidak rasmi tetapi kalau mengikut Perlembagaan memang (Perdana Menteri Interim) tidak ada.

“Jika hendak cakap sebagai caretaker (kerajaan sementara) perkara ini berlainan kerana ia bermaksud kerajaan sudah habis tempoh satu penggal. Ini sangat menarik kerana pertama kali berlaku dalam negara,” katanya ketika dihubungi BeritaHarian.

Majlis Raja-Raja Bermesyuarat

Hari ini (Jumaat, 28 Februari 2020) Majlis Raja-Raja dijadual mengadakan mesyuarat khas di Istana Negara, sebelum solat Jumaat.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh  Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin, dalam kenyataan berkata

Al-Sultan Abdullah bertitah akan terus berusaha untuk mencari jalan penyelesaian selaras dengan Perlembagaan Persekutuan demi kesejahteraan rakyat jelata dan negara.

“Berdasarkan temubual ini, Seri Paduka Baginda masih belum memperoleh keyakinan mengenai seorang Ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mendapat kepercayaan majoriti Ahli-ahli Dewan Rakyat bagi membentuk kerajaan baharu.

“Seri Paduka Baginda juga turut berkenaan dengan keputusan yang telah diambil oleh YB Yang di-Pertua Dewan Rakyat untuk tidak memanggil Mesyuarat Khas Dewan Rakyat pada Isnin 2 Mac 2020.

“Seri Paduka Baginda seterusnya akan terus berusaha untuk mencari jalan penyelesaian selaras dengan Perlembagaan Persekutuan demi kesejahteraan rakyat jelata dan negara yang kita cintai bersama,” katanya.

Beliau juga memaklumkan bahawa Al-Sultan Abdullah mengucapkan terima kasih atas kerjasama pihak terbabit ketika proses temubual dijalankan.

“Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini, menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua Ahli Parlimen dan Ketua Setiausaha Negara serta semua pihak yang terbabit dalam proses temubual antara Seri Paduka Baginda dan Ahli Parlimen.

“Temubual itu telah berlangsung selama dua hari bermula Selasa, 25 Februari 2020 di Istana Negara,” katanya.

Mesyuarat Khas Dewan Rakyat Pada Hari Isnin Tidak Akan Berlangsung

Sementara itu, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof hari ini memutuskan bahawa Mesyuarat Khas Dewan Rakyat yang dicadangkan Isnin ini, tidak akan berlangsung.

Beliau berkata, Surat Pemakluman Memanggil Mesyuarat Khas Dewan Rakyat yang ditandatangani Perdana Menteri Interim, tidak menepati Peraturan Mesyuarat 11 (3) kerana tidak disusuli Pemberitahuan Usul yang lengkap.

Pemberitahuan Usul Tidak Lengkap

“Saya selaku Yang Dipertua Dewan Rakyat sudah menerima Surat Pemakluman Memanggil Mesyuarat Khas Dewan Rakyat yang ditandatangani Perdana Menteri Interim, memaklumkan bahawa kerajaan telah bersetuju supaya Dewan Rakyat dipanggil bermesyuarat pada Isnin, 2 Mac 2020.

“Namun, saya mendapati surat berkenaan tidak menepati Peraturan Mesyuarat 11 (3) kerana tidak disusuli dengan Pemberitahuan Usul yang lengkap.

“Mengikut Peraturan Mesyuarat 11 (3), pemberitahuan dan tarikh mesyuarat akan dikeluarkan oleh saya selaku Yang Dipertua Dewan Rakyat.

“Setakat ini, tiada notis dikeluarkan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohamad Ariff berkata, keperluan untuk mengadakan mesyuarat itu akan dibuat selepas mendapat pemakluman titah rasmi daripada Yang di-Pertuan Agong berhubung proses pemilihan Perdana Menteri.

“Saya akan terus meneliti perkembangan semasa dan kenyataan mengenai notis serta tarikh Mesyuarat Khas akan dimaklumkan kelak,” katanya.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close