Uncategorized @ms

Siapakah Generasi M Yang Dititah Sultan Nazrin Mampu Mengubah Imej Islam Menjadi Lebih Baik?

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah bertitah, peranan generasi M amat signifikan dan sangat berpengaruh untuk menggerakkan serta menjadi penentu arah haluan masa hadapan ummah selain masa hadapan dunia.

Generasi muda Muslim atau ‘generasi M’ yang berusia 30 tahun ke bawah ini berpegang kepada iman dan amat selesa menerima kemodenan selain tidak mudah menghadam nilai-nilai tradisi tanpa terlebih dahulu disahihkan dengan fakta dan data serta dibuktikan relevan dalam dunia semasa.

 

Generasi M Tidak Mudah Terpengaruh?

“Mereka memerlukan kefahaman dan kerasionalan terhadap sesuatu perkara, mereka mengamalkan budaya berdialog, bersoal jawab, berdebat dan berinteraksi.

“Mereka bukan lagi golongan yang diam bersila di atas tikar, mendengar dan menerima secara pasif apa yang diungkapkan. Melalui talian (internet), mereka memiliki sumber-sumber ilmu alternatif yang membolehkan mereka membuat perbandingan dan penelitian untuk mendapatkan kepastian serta kesahihan,” titah baginda.

Titah Sultan Perak, generasi M juga memiliki modal intelek, melihat dunia dengan lensa lebih luas dan kompleks selain berpandangan bahawa Islam hendaklah berupaya diterima oleh warga dunia dalam ruang peranan lebih lebar serta luas.

 

Generasi M Lebih Bersederhana

“Generasi M juga memilih untuk berperanan sebagai duta Islam yang membawa suara kesederhanaan, melihat dunia sebagai pentas pertemuan budaya dan bukan pertembungan budaya seterusnya mentafsir kepelbagaian budaya sebagai keindahan yang melambangkan kekayaan ciptaan dan sebahagian lambang kebesaran Ilahi,” titah baginda.

Bagaimanapun baginda bertitah adakah pendekatan yang dilaksanakan oleh pelbagai individu dan institusi Islam ketika ini berjaya mendampingi majoriti Generasi M atau mereka semakin menjauhkan diri.

 

Adakah Generasi Dewasa Memahami Generasi M?

Sehubungan itu, Sultan Nazrin bertitah agar generasi dewasa memahami pemikiran dan jiwa generasi M selain mengolah pendekatan yang berupaya menjadikan mereka aset penting termasuk memberikan ruang lebih besar selain menghulurkan bantuan serta dorongan agar kumpulan tersebut berupaya menjadi tenaga penggerak utama untuk mengangkat martabat ummah.

Pada masa sama, Sultan Nazrin bertitah agar generasi muda Islam menjadi ejen perubahan, tekun berusaha melakukan yang terbaik, gigih menerokai perantauan baharu serta kekal dengan pegangan akidah dan tidak berkompromi dengan idealisme Islam seterusnya menjulang kemuliaan ummah.

 

63% Penduduk Islam Di Dunia Ialah Generasi M!

Titah baginda lagi, perangkaan 2010 menunjukkan satu bilion menyamai 63 peratus umat Islam dan 14 peratus penduduk dunia berada dalam usia di bawah 30 tahun iaitu generasi yang dirujuk sebagai ‘Generasi M’.

“Satu bilion remaja Islam ini sedang berada di tapak semaian. Mereka merupakan komponen terpenting yang akan mencorakkan ummah, faktor penentu yang bakal meletakkan ummah berada di status kemuliaan atau kehinaan.

“Agenda untuk meningkatkan kemuliaan umat Islam wajib memahami senario dan perubahan sosial, komersial dan demografi yang sedang berada di hadapan mata ketika ini,” titah baginda.

 

Generasi Dewasa Perlu Lebih Bersedia Menghadapi Generasi M

“Apakah formula yang wajib diformulasikan dalam hasrat mahu menjulang kemuliaan umat? Apakah impak yang bakal terjana dalam senario yang sedang dihadapi ini? Adakah kaedah pendekatan yang dilaksanakan oleh pelbagai individu dan institusi Islam ketika ini, berjaya mendampingi majoriti Generasi M.

“Atau mereka semakin menjauhkan diri kerana kurang tertarik dengan kaedah pengajaran Islam yang disampaikan, serta cara kupasan dan tafsiran ilmu yang dianggap tidak kontemporari, lantas gagal dirangkaikan dengan dinamik sains, teknologi, komunikasi, perdagangan dan diplomasi yang sedang berlaku.

“Generasi ini melalui media sosial secara vokal semakin menyuarakan rasa kecewa mereka dengan tafsiran agama yang mereka sifatkan tidak berlandaskan fakta dan hujah-hujah yang saintifik,” titah baginda.

“Generasi dewasa hendaklah bersedia memberikan mereka ruang yang lebih besar, membolehkan generasi muda Islam mengambil tanggungjawab dan memenuhi peranan kepimpinan.

“Generasi dewasa hendaklah menghulurkan segala bantuan dan memberikan segala dorongan agar generasi muda Islam berupaya menjadi tenaga penggerak utama untuk mengangkat martabat ummah,” titah baginda.

Tags
Show More
Back to top button
Close