Sukan

Siapa Tiga Wanita Yang Bakal Mewarnai Liga-M Pada Musim Kali Ini?

Tahun ini Liga-M bakal dihadiri oleh tiga pegawai wanita dan mengadili saingan musim ini.

Salah satunya merupakan pegawai polis, Rita Gani, 43 tahun yang berpengalaman sebagai pengadil untuk perlawanan bola sepak wanita.

Beliau juga pernah dinobatkan sebagai Pengadil Terbaik Wanita Asia 2014 dan berpengalaman luas mengendalikan perlawanan antarabangsa antaranya Piala Dunia Wanita 2015 di Kanada dan Sukan Olimpik 2016 di Brazil.

Rita Ganai yang dinobatkan sebagai Pengadil Terbaik Wanita Asia 2014. Sumber Imej: football-tribe.com

Selain daripada Rita, Nurul Akmal Anuar, 32 tahun yang berasal daripada Negeri Sembilan akan menjadi penolong pengadil untuk Liga Super dan Liga Premier.

Beliau yang mula menceburi bidang pengadilan pada 2011 pernah mengadili beberapa aksi bertaraf antarabangsa seperti Kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020 di Qatar tahun lalu.

Nurul Ain Izatty Zainal, yang baru berusia 22 tahun pula telah menceburkan diri dalam bidang pengadilan ini pada usia yang cukup muda iaitu 14 tahun dan pernah diangkat sebagai Pengadil Wanita Berpotensi 2017.

Nurul Ain Izatty Zainal bakal mengambil tanggungjawab dalam Piala Presiden dan Piala Belia. Sumber Imej: FAM.

Para Pengadil Perlu Melalui Proses Penilaian Sebelum Dipilih

Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), ACP Md Dali Wahid berkata ketiga-tiga pengadil ini adalah di antara 30 pengadil yang telah lulus penilaian untuk mengendalikan Liga-M.

Dali menambah bahawa bahagian pengadilan FAM telah bertungkuslumus menyiapkan pengadil perlawanan sejak bulan November lalu dan latihan pengadil yang terakhir telah diadakan pada pertengahan Februari yang lalu.

“Kami telah mula menyediakan pengadil perlawanan lebih awal. Jika mereka gagal ujian, mereka perlu mengambil semula ujian tersebut. Jika gagal sekali lagi, kami perlu menyingkirkan mereka. Pada penghujungnya, kami mempunyai 30 pengadil yang telah melepasi ujian kecergasan dan pengetahuan,” kata Dali kepada TheStar.

 

Pengadil Musim Ini Lebih Berkualiti

“Kami mendapat pelbagai aduan tentang kualiti pengadilan pada musim yang lalu. Oleh sebab itu kami telah mengenal pasti permasalahan ini dan mahu memperbaiki keadaan untuk musim ini.

“Saya lihat pengadil pada kali ini adalah lebih berkualiti dan untuk pertama kalinya kami akan hadirkan tiga pengadil wanita. Saya rasa ini adalah satu perkembangan baik untuk wanita dalam sukan,” ujar Dali.

“Untuk permulaan, mereka akan mengadili perlawanan Liga Perdana dan Piala FA yang mana Nur Akmal akan menjadi penolong pengadil bagi perlawanan pusingan pertama, SSFC menentang Kickers FC di Padang Merdeka, Port Dickson.

“Selepas melihat dan memantau prestasi mereka dalam beberapa perlawanan Liga Perdana dan pusingan awal Piala FA ini, selain mereka sendiri sudah cukup bersedia untuk meningkat ke satu tahap yang lebih tinggi, baru kita akan lantik mereka untuk perlawanan Liga Super dan seterusnya Piala Malaysia,”kata Md Dali.

 

Mahu Menambah Minat Wanita Ceburi Bidang Pengadilan

Bagi Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin, memperkenalkan pengadil wanita di pentas tertinggi saingan bola sepak negara bagi menambah minat golongan wanita menceburi bidang kepengadilan.

“Jumlah pengadil wanita di negara ini masih dalam kelompok yang boleh kita anggap kecil dan dengan aksi mereka di pentas Liga Super serta Liga Perdana nanti, saya pasti ia akan membuka mata banyak pihak,” kata Hamidin.

“Ketiga-tiga pengadil ini sudah mengadili perlawanan membabitkan pasukan wanita termasuk di pentas antarabangsa bagi Rita dan Nur Akmal yang juga Pengadil FIFA dan Penolong Pengadil FIFA selain Nurul Ain cukup berpengalaman mengendalikan perlawanan Piala Tun Sharifah Rodziah setiap tahun.

“Malah, mereka juga sudah biasa mengendalikan perlawanan membabitkan pasukan lelaki iaitu Piala Presiden dan Piala Belia beberapa musim kebelakangan ini.

“Jadi tahun 2020 ini bakal menjadi lonjakan buat ketiga-tiga mereka ini untuk mencabar kemampuan dengan mengendalikan perlawanan di peringkat yang lebih tinggi iaitu Liga Super, Liga Perdana, Piala FA dan Piala Malaysia.

 

“Walaupun Perempuan, Saya Tidak Akan Tunduk Pada Tekanan”

HarianMetro yang berkesempatan untuk menemuramah Akmal berkata,”walaupun saya perempuan, saya takkan tunduk dengan tekanan sebaliknya akan bertindak mengikut peraturan pertandingan.”

Walau bagaimanapun, belia mengakui peluang yang diberikan oleh FAM ini cukup mencabar terutama apabila berdepan tekanan daripada pemain import.

Sumber Imej: HarianMetro

“Saya dah biasa jadi pengadil untuk perlawanan lelaki tapi lebih kepada aksi persahabatan atau kejohanan-kejohanan biasa.

“Tapi bila jadi pengadil Liga-M ini saya perlu bersiap sedia dari semua segi termasuk kritikan dan kecaman atau tekanan daripada pemain import.

“Tapi dalam bola sepak kita ada peraturan dan saya akan cuba yang terbaik apabila mengendalikan perlawanan nanti.

“Perasaan takut tak ada tetapi gementar itu adalah sikit kerana ini liga (Liga-M) yang besar dan ramai penyokong. Kalau pengadil lelaki pun selalu kena kritikan, inikan pula perempuan, tapi saya dah bersedia untuk hadapinya,” katanya yang menjadi pengadil Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) sejak 2015.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close