Bisnes & Ekonomi

Vanilla Mille Crepe: Rahsia Bagaimana Kekal Sempurna Walaupun Sudah Memiliki 22 Cawangan

Setelah mengambil alih sebuah kafe kecil lima tahun yang lalu, bermulalah perjalanan Nelson Liew Teck Heo sebagai usahawan yang sebelum ini berada di dalam industri runcit dan pengedaran.

Dia dan rakan kongsinya yang telah mendapatkan latihan di Perancis dalam seni kulinari mille crepe telah mengambil alih sebuah kafe di Paradigm Mall cuba untuk memperkenalkan pencuci mulut tradisi ke dalam menu makanan tersebut dan kek tersebut didapati laris manis!

Mereka menjenamakan semula kafe tersebut menjadi Vanilla Mille Crepe dan membuka sebuah cawangan di Pavilion KL dalam hanya jangka masa enam bulan setelah itu.

 

Berkembang Pesat Dalam Waktu Singkat

Perniagaan mereka berkembang dengan pesat dan outlet mereka beranak bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Kini, Vanilla Mille Crepe memiliki 22 cawangan dengan dua lagi bakal dibuka dalam masa dua bulan yang akan datang.

Menurut Liew, ke semua cawangan dan operasi dapurnya dilakukan di bawah Ezzybucks Sdn Bhd untuk memudahkan pengembangan.

Jika dilihat perniagaan runcit menghadapi kesukaran dalam beberapa tahun yang lalu tetapi Liew berkata kesemua 22 cawangan keknya berjalan lancar dengan mengaut keuntungan yang membolehkan perniagaan tersebut stabil untuk syarikat.

“Kami memiliki lebih banyak peluang untuk berkembang memandangkan bandar di luar Lembah Klang belum lagi memiliki kedai mille crepe. Melihat ke depan, pasaran baru yang berpotensi termasuklah di kawasan Pantai Timur dan Borneo,”kata Liew kepada TheStar.

 

Berkembang Di Luar Lembah Klang

Selain di Lembah Klang, syarikat ini sudah memiliki beberapa outlet di kawasan pelancongan seperti Melaka, Pulau Pinang dan Ipoh.

Liew yang tidak dilatih sebagai chef pastri tetapi lebih kepada memformulasikan rasa produk mille crepe mereka kini memiliki 22 perisa tidak termasuk kek bermusim seperti mille crepe nenas yang mereka perkenalkan sewaktu sambutan Tahun Baru Cina.

Resipi asal Vanilla Mille Crepe dimiliki oleh Ezzybucks yang berpangkalan di Perancis dan mereka sedang merancang untuk melakukan resepi unik termasuk menggunakan sarang burung, kolagen dan truffle.

 

Ramuan Asli & Berkualiti Sahaja Digunakan

“Memastikan kualiti kek sentiasa konsisten merupakan cabaran utama dalam industri makanan. Salah satu cara terbaik untuk memastikan kualiti kek mille crepe ini kekal baik ialah ramuan yang digunakan seperti perisa vanila, pewarna dan teh hijau yang digunakan untuk matcha crepe harus digunakan daripada sumber asli.

Menggunakan ramuan mahal ini sememangnya marjin keuntungan kami sangat tipis tetapi kami boleh mengatasinya dengan menghasilkan jumlah yang banyak dan jualan yang banyak kerana mengekalkan kualiti kek tersebut. Ini kerana majoriti pelanggan kami merupakan pelanggan yang membeli secara berterusan,” kongsi Liew.

 

Peluang Rakyat Malaysia Merasakan Kek Perancis

Salah satu misi utama syarikat Vanilla Mille Crepe ini ialah untuk memberi rakyat Malaysia peluang untuk merasakan rasa asli mille crepe tanpa perlu ke Perancis.

Mereka memiliki misi untuk memiliki 100 cawangan dalam negara dan bercadang untuk membuka 10 lagi cawangan pada tahun ini.

Selain pasaran tempatan, Vanilla Mille Crepe juga sedang melihat peluang untuk membuka di Surabaya, Indonesia yang mana rakan kongsi mereka di sana bakal menjadi ‘master franchisee’.

Mereka memilih Surabaya kerana ia merupakan bandar di tengah Pulau Jawa dan kos sewa serta produksi adalah lebih murah berbanding di Jakarta.

Tambahan lagi, rakan kongsi ini sudah Liew kenali sejak pengalaman dalam perniagaan runcitnya sebelum ini.

Liew melihat Lady M yang berpangkalan di New York, Amerika Syarikat sebagai inspirasinya kerana mereka merupakan mille crepe yang paling berjaya di dunia. Lady M, seperti Vanilla Mille Crepe juga memiliki pengiktirafan dari Perancis dan mereka telah berkembang menjadi jenama mille crepe yang eksklusif secara global dengan menyajikan kek untuk golongan elit dan atasan di bandar-bandar utama.

Walau bagaimanapun, Liew berkata Vanilla Mille Crepe tidak mencari status eksklusif tersebut tetapi mereka ingin mencapai seramai orang Malaysia yang boleh dengan memberi peluang mencuba rasa sebenar mille crepe di tanah air Malaysia.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close