Sukan

Fokus Memasang Impian Mewakili Malaysia Di Sukan Paralimpik 2020

Zy Kher Lee, anak muda berusia 13 tahun yang lahir dengan tangan kiri yang sempurna, separuh tangan kanan, tiada kaki kanan dan kaki kiri yang tidak terbentuk sepenuh yang hanya memiliki tiga jari kaki.

Kekurangan pada dirinya ini tidak mematahkan semangat beliau untuk mengharumkan Malaysia dengan mewakili Malaysia International Wheelchair and Amputee Sports (IWAS) World Games 2020 yang bakal diadakan di Nakhon Ratchasima, Thailand pada bulan April ini.

“Saya berharap saya boleh membawa pulang beberapa pingat untuk Malaysia dan layak untuk bertanding di Paralimpik 2020 pada bulan Ogos ini.

“Saya sudah berlatih sebanyak enam kali seminggu selama dua jam setiap kali bersama jurulatih.

“Berenang merupakan sukan dan hobi yang membuatkan saya rasa bebas, ia membolehkan saya menjadi normal dan fokus,” kata Zy yang berenang sejak usia 7 tahun dan telah bertanding selama tiga tahun.

Beliau yang memiliki sifat untuk tidak cepat mengalah ini mampu untuk mengalahkan setiap halangan yang cuba menerpa dirinya.

Pelajar SMJK Chung Ling ini berkata ia adalah pengalaman yang baik belajar di sekolah bebas walaupun ia sedikit sukar untuk dirinya mengimbangi masa di antara berenang dan pelajaran.

Walter Lee bersama anak lelakinya Zy Kher Lee, 14,di padang sekolah SMJK Chung Ling. Sumber Imej:CHAN BOON KAI/The Star

Ayah Zy, Walter Lee, 55 tahun merupakan seorang chef selebriti yang memiliki programnya tersendiri di Thailand mengaku bahawa pada awalnya memang sukar untuk dirinya menerima keadaan Zy.

Namun setelah ibubapa boleh memproses dan menerima realiti tersebut, maka rehabilitisasi boleh bermula.

Walter yang juga merupakan mantan sekolah SMJK Chung Ling berkata kehadiran Zy pada tahun 2006 telah memberinya inspirasi untuk menubuhkan Zy Movement Foundation pada tahun 2009 yang mensasarkan membantu 10 juta kanak-kanak di Asean yang memiliki kekurangan pergerakan untuk berdikari.

“Zy telah membawa ikatan keluarga kami lebih erat dan minatnya yang mendalam tentang makanan dan berenang membuat kami sentiasa bersedia.

“Penerimaannya untuk memasuki pertandingan di IWAS baru-baru ini bakal menguji dirinya untuk menilai sama ada dirinya layak untuk memasuki Sukan Paralimpik Tokyo 2020,”jelas Walter.

Bagi guru besar SMJK Chung Ling, Soo Seng Poh, Zy menginspirasikan ramai rakan sekolahnya.

“Kami juga telah memindahkannya ke kelas yang lebih dekat dengan pintu masuk sekolah dan akses kepada tandas yang berdekatan.

“Selain daripada perubahan kecil ini, kami tidak dapat melakukan banyak perkara untuknya.

“Saya menggunakan Zy sebagai contoh di sekolah. Jika dibandingkan dirinya dan kekurangannya, kami seharusnya lebih merendahkan diri lagi,” kata Soo.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close