Gaya HidupKesihatan

Suka Menyimpan Barang Lama? Anda Mungkin Menghidap Gangguan Mental

“Jangan buang, sayang nak buang, barang ini elok lagi, nak simpan adalah gunanya nanti.”

Sikap terlalu sayang untuk membuang barang yang mungkin sudah tidak perlu atau lebih teruk, sudah rosak dan boleh dipanggil ‘sampah’ memang lazim kita dengar.

Mungkin ramai yang tidak mengetahui tetapi kes seperti ini kemungkinan besar boleh dikaitkan dengan keadaan psikiatri yang dikenali sebagai ‘hoarding disorder’.

‘Hoarding disorder’ adalah keadaan yang membuatkan seseorang sukar untuk membuang barang-barang lama sama ada yang masih dalam keadaan baik atau rosak.

Orang Muda Tidak Terkecuali                                                                                                                     

Walaupun gangguan ini sering dikaitkan dengan warga emas, orang yang bekerja dan belia juga tidak terkecuali dari menghidapinya.

Ahli perniagaan Zarimah Ishak, 24, mula mengumpul dan menyimpan barangan ketika berumur 10 tahun. “Koleksi” Zarimah termasuk barang-barang yang dikumpul sejak sekolah rendah dan kolej.

Ahli keluarga dan kemudian penyewa yang berkongsi rumahnya di KL, sering kali bertengkar dengannya.

“Ketika saya mula bekerja, salah seorang rakan saya melihat sikap aneh saya dan menasihatkan saya untuk berjumpa pakar. Sukar bagi saya untuk menerima hakikat bahawa ada sesuatu yang salah dengan saya, tetapi saya memberanikan diri untuk berjumpa psikiatri. Alhamdulillah, saya sudah melihat peningkatan,” kata Zarimah, yang masih menjalani rawatan untuk gangguannya.

Izham (bukan nama sebenar), seorang arkitek berusia 27 tahun, adalah seorang ‘hoarder’ dan isterinya, Mikayla hanya mengetahuinya selepas berkahwin tiga tahun lalu.

“Apa yang membimbangkan saya ialah dia enggan membuang barang-barang itu walaupun tidak boleh digunakan lagi. Kami pernah bergaduh kerana saya membuang raketnya yang telah rosak.

“Saya juga pernah menemui buku latihan yang dia gunakan ketika dia berada di tingkatan 5. Apabila saya bertanya kenapa masih menyimpannya, dia berkata tidak sampai hati untuk membuangnya,” kata Mikayla, 27, yang bekerja sebagai tutor swasta.

Mikayla berkata dia bertambah bimbang selepas membaca artikel mengenai ‘hoarding disorder’ tahun lalu dan mengetahui ia berkaitan dengan isu-isu psikiatri.

“Saya memujuk suami saya untuk berjumpa dengan pakar psikiatri. Ia sukar baginya untuk menerima kebenaran, tetapi saya memberitahu bahawa dia perlu menemui psikiatri sekiranya dia menyayangi saya. Saya percaya gangguannya tidak hanya akan menjejaskan hubungan kami, tetapi juga memberi kesan kepada kehidupannya sendiri,” tambahnya.

Terapi Tingkah Laku Kognitif

Prof Madya Dr Richard Ng, pengerusi organisasi kitar semula Koperasi Alam Hijau Perak Bhd (Kohijau), berkata bahawa satu daripada setiap 50 orang di Malaysia mungkin adalah seorang ‘hoarder’.

Beliau berkata anggota Kohijau telah melihat banyak kes ‘hoarding disorder’ apabila mereka membuat lawatan ke rumah semasa kempen pencegahan denggi.

“Tindakan susulan mesti diambil kerana ‘hoarder’ membahayakan diri mereka dan masyarakat setempat. Mereka perlu berjumpa kaunselor atau pakar psikiatri untuk mengatasi masalah mereka,” katanya.

Ketua unit kaunseling di Universiti Pendidikan Sultan Idris, Dr Fauziah Mohd Saad, memberitahu Bernama kajian menyeluruh mengenai ‘hoarding disorder’ menunjukkan keadaannya sering berlaku pada usia muda.

Beliau berkata keadaan semakin parah apabila seseorang semakin tua dan ia boleh diwarisi.

“Gangguan ini disenaraikan sebagai penyakit kesihatan mental dalam Manual Diagnostik dan Statistik Gangguan Mental, Edisi Kelima (diterbitkan oleh Persatuan Psikiatrik Amerika),” katanya.

Fauziah berkata rawatan yang sesuai untuk ‘hoarding disorder’ adalah terapi tingkah laku kognitif (CBT) di mana ahli terapi itu akan membantu pesakit untuk mengurangkan perasaan cemasnya.

“Rawatan ini dijalankan lebih dari lapan hingga 10 sesi, di mana pesakit akan diajar untuk mengurangkan dan menguruskan barang-barangnya secara teratur.

“Ini penting kerana pesakit merasa bahawa mereka perlu menyelamatkan harta benda mereka kerana barang-barang itu mungkin berguna pada masa akan datang. Mereka juga sering mempunyai hasrat untuk terus menambah koleksi mereka,” jelasnya.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close