Sukan

NBA Menamakan Semula Anugerah All-Star Sempena Mendiang Kobe Bryant

Pesuruhjaya NBA, Adam Silver telah mengumumkan bahawa anugerah All-Star Game MVP kini akan digelar ‘Kobe Bryant Award’ sementara para pemain berbaris untuk memberikan penghormatan mereka kepada ikon NBA itu.

“Kobe Bryant sinonim dengan NBA All-Star dan jiwa serta semangatnya terkandung dalam keraian global permainan ini,” kata Silver.

“Beliau sentiasa teruja dalam setiap peluang untuk bertanding dengan mereka dari golongan terbaik daripada yang terbaik dan mempersembahkan kehebatan di peringka tertinggi untuk jutaan peminatnya di seluruh dunia.”

Mendiang Bryant dan anak perempuannya, Gigi telah dikebumikan di sebuah makam persendirian yang terletak di selatan California minggu lalu setelah terlibat dalam nahas helikopter yang sangat tragis bersama sembilan mangsa yang lain pada 26 Januari 2020.

 

Perlawanan NBA All-Star Menghormati Mendiang Kobe Bryant & Anak Perempuan Beliau Yang Turut Terkorban

Pakaian seragam sewaktu perlawanan All-Star di Chicago kelmarin turut dilakukan sebagai tanda penghormatan kepada Bryant dan anak perempuan yang berusia 13 tahun itu dengan pasukan LeBron James memakai jersi No. 2 sebagai nombor Gigi sewaktu bermain bola keranjang dan pasukan Giannis Antetokounmpo mengenakan jersi No. 24 sebagai tribut kepada Bryant.

Antetokounmpo juga merupakan salah satu pemain All-Star yang menzahirkan kenangannya bersama mendiang Bryant pada perlawanan Sabtu lalu.

“Formatnya sangat menakjubkan,” kata Antetokounmpo. “Ia membuat anda mahu bermain mati-matian dan bertanding di antara satu sama lain. Setiap suku permainan kita memiliki peluang untuk menang dan ia membuat kita lebih berdaya saing.

“Namun memakai nombor 24 dan LeBron menggunakan number dua, ia satu penghormatan besar. Saya tidak boleh bayangkan cara lain untuk mewakili Kobe dan Gigi dalam perlawanan esok.”

Antetokounmpo menggambarkan pemain All-Star MVP sebanyak empat kali itu seperti “Michael Jordan generasi kami.”

 

Pemain NBA Mengenang Jasa Kobe Bryant

“Jejaka yang mementori saya dalam beberapa tahun terakhir karier saya, seorang yang sentiasa ada untuk saya,” kata Antetokounmpo.

Sumber Imej: Terez Owens

“Dalam musim biasa, playoffs, beliaulah yang memberitahu saya apabila saya perlukan sesuatu, saya boleh hubunginya dan beliau betul-betul selalu ada. Jika saya perlu kan sesuatu, beliau akan menghubungi saya semula, telefon saya.

“Sewaktu saya membesar, beliaulah idola saya. Beliau merupakan salah satu orang yang menyumbang kembali pada setiap permainan, menyumbang balik pada para pemain-pemain lain. Kebanyakan orang apabila mereka sangat hebat, mereka tidak melakukan hal tersebut.”

Pemain Boston Celtics, Kemba Walker berkata ini merupakan waktu yang sangat sedih untuk keluarga NBA kerana bukan sahaja kerana kematian Bryant tetapi untuk mantan Pesuruhjaya NBA, David Stern yang meninggal dunia pada Tahun Baru.

Sumber Imej: ClutchPoints

“Dengan kematian tragis Kobe dan Gigi beserta ahli keluarga lain dalam helikopter tersebut dan David Stern, ia sememangnya bakal menjadi hujung minggu penuh sedih dan kami akan meraikan mereka dan juga semua orang sebaik yang mungkin,” kata Walker.

“Mereka membawa makna yang sangat mendalam untuk permainan kami. Mereka telah membesarkan permainan ini dengan sangat hebat. Kami hanya mempunyai rasa hormat yang sangat tinggi untuk mereka.”

Sebuah memorial untuk orang awam akan diadakan untuk Bryant pada 24 Februari di Staples Centre Arena di Los Angeles.

 

Momen Menarik Di Malam NBA All-Star

Sewaktu malam NBA All-Star, pemain Miami Heat, Derrick Jones telah memenangi pertandingan Slam Dunk mengalahkan pemain Orlando Magic, Aaron Gordon dalam pertunjukan ‘six-dunk’.

“Ianya hebat. Ia adalah sebuah pertandingan yang hebat,”kata Jones yang memenangi pertandingan itu dengan satu mata.

Jones lari dari garis tiga mata bertentangan dan melompat dari ketinggian 13 kaki dan menjaringkan dunk menggunakan tangan kirinya dan meraih kemenangan sengit tersebut.

Pemain Sacramento Kings, Buddy Hield memenangi Pertandingan ‘Three-Point’ manakala pemain Miami Heat, Bam Adebayo mengalahkan pemain Indiana Pacers, Domantas Sabonis dalam pertandingan kemahiran (‘Skills Challenge’).

 

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close