Gaya HidupKerjaya

Ikon Perubatan Dunia & Wira Penyakit Hawar Yang Ramai Orang Malaysia Tidak Tahu

Pasti ramai yang tidak mengenali Dr. Wu Lien-Teh tetapi beliau sebenarnya telah mencipta sejarahnya tersendiri menjadi etnik Cina pertama untuk belajar di Emmanuel College di University of Cambridge dan orang Malaysia pertama untuk dicalonkan mendapat Anugerah Nobel dalam Perubatan.

Kerjaya Dr Wu Lien-Teh berada di kemuncak apabila beliau berjaya memberhentikan hawar pneumonia yang berasal daripada Siberia, Rusia yang telah tersebar di Harbin, China sehingga memakan 60,000 nyawa dalam masa empat bulan.

 

Ditugaskan Mencari Vaksin

Hawar atau ‘plague‘ adalah jangkitan wabak secara semulajadi yang melibatkan tikus berlaku di merata tempat di seluruh dunia.

Sumber Imej: pinterest

Dr. Wu Lien-Teh yang berasal dari Pulau Pinang telah diberi tugasan untuk mencari vaksin bagi memberhentikan wabak yang menular sejak Oktober 1910 hingga Mac 1911.

Setelah beliau tiba di Harbin, beliau menjalankan pemeriksaan post-mortem pertamanya di China ke atas seorang wanita Jepun yang telah meninggal dunia akibat epidemik tersebut.

Dr. Wu telah mendapati Yersinia pestis dalam tisu badan mangsa ialah hawar pneumonik yang boleh berjangkit melalui pernafasan manusia atau sputum (air liur).

Ini merupakan sesuatu yang luar biasa daripada hawar yang selalunya boleh dijangkiti hanya melalui tikus, kutu dan tidak boleh berjangkit melalui manusia ke manusia.

 

Ramai Tidak Percaya Dengan Hasil Kajiannya

Menurut US National Institute of Health, National Library of Medicine, idea Dr. Wu telah memeranjatkan golongan perubatan lain dan ramai yang tidak mempercayai penemuan tersebut.

Berdasarkan artikel tersebut, ketidak percayaan itu telah mengakibatkan nyawa Dr Gerald Mesny, seorang doktor Perancis terkemuka melayang. Beliau yang tidak mempercayai penemuan Dr Wu tidak mengenakan penutup mulut dan gauze semasa menangani pesakit telah terkena jangkitan tersebut dan meninggal dunia. Ia telah mengejutkan komuniti antarabangsa.

Pada masa yang sama, Dr Wu yang pernah belajar di Penang Free School (PFS) dan menghabiskan pengajian perubatannya dua tahun lebih awal berbanding syarat yang ditetapkan telah meminta pihak berkuasa kereta api Rusia dan Jepun untuk memberhentikan operasi pada tahun 1911.

Ini adalah sebahagian usaha untuk memastikan putusnya jaringan pengangkutan, mengurangkan transmisi penyakit dan memastikan penyakit tersebut hanya berada di kawasan Timur Laut China.

Walau bagaimanapun, kematian di Harbin semakin meningkat kerana mayat yang telah mati akibat epidemik tersebut merupakan inkubator terbaik untuk hawar bacillus membiak.

Dr Wu meminta supaya kesemua mayat tersebut dibakar untuk mengelak jangkitan tersebut merebak. Setelah 3,000 mayat dibakar, tidak ada lagi laporan jangkitan tersebar sejak 31 Mac 1911.

 

Bapa Perubatan Sains Moden China

Dr Wu yang sewaktu di Universiti sentiasa memenangi hadiah dan biasiswa telah menasihatkan untuk mengadakan persidangan hawar sedunia pada 3 – 28 April 1911 bagi mengumpulkan ramai saintis, epidemiologis dari seluruh dunia termasuk Amerika Syarikat, United Kingdom, Jepun, Rusia dan Perancis.

Dr Wu telah dilantik sebagai Presiden persidangan tersebut dan kerja keras beliau dalam menangani penyakit hawar telah dipuji ramai.

Setelah persidangan tersebut, perubatan sains moden telah dibangunkan di China setelah adanya persidangan dan beliau telah menjadi ikon dan dijulang sebagai orang pertama yang memodenkan perkhidmatan perubatan China dan pendidikan perubatan.

Selain daripada itu Dr Wu juga telah mempelopori Persatuan Perubatan China dan membina beberapa hospital serta kolej perubatan.

Sewaktu Jepun menawan Timur Laut China pada tahun 1931, Dr Wu pindah ke Shanghai di mana beliau mendirikan Sistem Kuarantin Kebangsaan.

Dr Wu kembali ke Malaya bersama keluarganya pada tahun 1937 apabila perang anti-Jepun meletus di China.

Sumber Imej: Pinterest

Dr Wu meninggal dunia pada usia 81 tahun iaitu 20 Januari 1960. Beliau sempat menulis autobiografinya sendiri pada tahun 1959 dalam Bahasa Inggeris bertajuk, Plague Fighter: The Autobiography of a Modern Chinese Physician.

Dr Wu pernah menerima lebih kurang 20 gelaran doktor kehormat daripada institusi terhormat termasuk John Hopkins University dan Imperial University, Jepun.

Terdapat juga sebuah patung peringatan beliau di hadapan Beijing University Hospital.

 

Bagaimana Beliau Boleh Ke China & Mengapa Beliau Tidak Berkhidmat Di Malaya Pada Ketika Itu?

Menurut sebuah penulisan yang diterbitkan oleh Penang Monthly, Dr We pernah pulang ke negeri kelahirannya Pulau Pinang setelah menamatkan pengajian tetapi beliau tidak mahu memasuki sistem kolonial di mana terdapat dua peringkat sistem perubatan di zaman koloni Britain.

Di mana hanya warganegara Britain boleh memegang jawatan tertinggi yang merupakan pegawai perubatan berkelayakan penuh ataupun pakar.

Namun semua ini tidak mematahkan semangatnya untuk menjadi saintis dan penggerak anti-opium.

Beliau memakan masa empat tahun dalam kerjaya perubatannya di Insititut Kajian Perubatan menjalankan kajian beri-beri yang menyebabkan sistem badan kita berhenti akibat kekurangan Vitamin B.

Menurut penulis artikel tersebut, Koh King Kee, Dr Wu juga sangat lantang bersuara tentang isu sosial dan telah menubuhkan Persatuan Anti-Opium di Pulau Pinang yang mendapat tentangan daripada pihak berkuasa kerana koloni British ketika itu meluluskan peredaran opium dan hubungan kumpulan triad taikun Cina.

Akibat kerana tidak disukai oleh mereka, Dr Wu dijebak melalui rangkaian kumpulan ini yang menanam “bukti” kehadiran opium dikliniknya.

Malah secara tidak langsung opium tiba-tiba dijadikan barang terlarang walaupun beliau merupakan seorang doktor perubatan yang boleh menggunakan dadah bagi merawat pesakit opiumnya.

Dr Wu telah didakwa dan kesemua permohonan beliau dibatalkan sehingga berjaya menarik perhatian dunia termasuk sebuah lamaran daripada kerajaan China di Peking untuk memenuhi jawatan Timbalan Pengarah Imperial Army Medical College di Tianjin.

 

Beliau Tiada Pilihan

Dengan tidak memiliki banyak pilihan, Dr Wu berhijrah ke Harbin di atas arahan Pejabat Luar Negara di Beijing untuk mengkaji sebuah penyakit yang tidak dikenali yang akhirnya diselesaikan oleh beliau.

Kerjaya Dr Wu sebagai seorang saintis telah terjejas akibat perang pada tahun 1937 apabila Jepun menyerang China dan vila beliau di Shanghai telah dibom oleh pihak Jepun.

Beliau kembali ke Malaya dan membuka klinik di Jalan Brewster, Ipoh yang kini dikenali sebagai Jalan Sultan Idris Shah.

Kerja amal beliau diteruskan dengan mengadakan sumbangan bagi membina sebauh perpustakaan yang kini dikenali sebagai Perpustakaan Tun Razak di Ipoh.

 

Liku-Liku Kehidupan Penuh Cabaran

Walaupun beliau hidup seperti orang awam lain, namun sewaktu penjajahan Jepun di Malaya, Dr Wu pernah ditangkap oleh pihak gerila komunis dan hanya dilepaskan jika dibayar wang tebusan sebanyak 7,000 dollar.

Dua bulan kemudian, beliau sekali lagi ditangkap tetapi kali ini oleh pihak Jepun atas tuduhan menyokong pihak anti-Jepun. Namun begitu, pertuduhan tersebut dibubarkan setelah seorang pegawai Jepun yang merupakan pesakitnya telah memberi kesaksian tentang dirinya yang tidak bersalah.

Dr Wu berjaya mengamalkan pengajian perubatannya sehingga berusia 80 tahun dan telah kembali ke Pulau Pinang untuk bersara. Beliau meninggal dunia akibat penyakit angin ahmar.

Jika ada yang ke Ipoh dan melalui sebuah jalan di Ipoh Garden South, namun ia telah disalah eja sehingga kini – Jalan Wu Lean Teh walaupun Majlis Perbandaran Ipoh telah dimaklumkan tentang hal tersebut.

Kini sebauh Persatuan Dr Wu Lien-Teh diketuai oleh Datuk Anwar Fazal pada tahun 2013 bagi menjalankan kajian, mempromosi dan menyokong legasi wira Malaysia yang satu ini.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close