Hiburan

Bagaimana “Hallyu” Melonjakkan Industri Seni Korea Selatan

Parasite, sebuah filem satira Korea Selatan mengenai perbezaan kelas telah mencipta sejarah apabila menjadi filem bahasa asing pertama yang memenangi anugerah filem terbaik di Oscars.

Filem itu mungkin adalah antara karya seni Korea Selatan yang berjaya menembusi pasaran global sejak lagu Gangnam Style pada tahun 2012. Dengan kemenangan ini, Parasite dijangka akan melonjakkan “Gelombang Korea” ke tahap yang lebih tinggi.

Gelombang Korea atau Hallyu pada dasarnya adalah eksport budaya pop Korea Selatan yang melibatkan muzik, rancangan TV dan filem ke peringkat dunia. Hallyu juga termasuk permainan video dan program-program lain.

Hallyu memberi impak dalam ‘eksport budaya’ dengan kesan langsung dan tidak langsung Hallyu terhadap ekonomi terutamanya eksport, berjumlah US$9.48 bilion pada 2018.

Sektor pelancongan Korea Selatan juga menjadi penerima utama dengan pengunjung yang ingin menikmati tempat-tempat menarik yang dipaparkan menerusi K-drama, K-filem serta video muzik K-pop.

Lebih penting lagi, eksport budaya Korea Selatan telah menyumbang kepada kejayaan produk dan jenama lain. Telefon mudah alih, kereta, kereta api dan syarikat pembinaan dan kejuruteraan semakin mendapat reputasi kerana Hallyu.

Kumpulan lelaki BTS, misalnya, menyumbang US$4.65 bilion produk domestik kasar Korea Selatan, dan sama pentingnya dengan syarikat multinasional seperti Samsung dan Hyundai kepada ekonomi, dengan impak ke atas eksport termasuk fesyen, kosmetik, makanan dan kereta serta pelancongan.

Tahun lepas, untuk konsert jejajah di AS, BTS menjual 300,000 tiket dalam masa beberapa minit, dengan harga purata AS$452 setiap satu. Dua konsertnya di Stadium Wembley dikatakan menjana impak ekonomi AS$84 juta untuk London.

Walau bagaimanapun, kejayaan ini bukanlah satu kebetulan. Korea Selatan memutuskan untuk menjadikan budaya sebagai satu aktiviti ekonomi serta alat untuk menjenamakan semula negara selepas krisis kewangan 1998.

Korea Selatan mewujudkan jabatan khas untuk K-Pop dalam kementerian kebudayaan dan menyalurkan wang untuk aktivitinya. Ia bukan hanya untuk menghasilkan bakat, tetapi juga untuk menembusi pasaran global.

Jabatan itu membangun dan melaksanakan strategi ekonomi kreatif yang menyaksikan gabungan sains dan teknologi, industri, budaya, dan keusahawanan.

Dari masa ke masa, K-Pop telah menjadi penghasil utama eksport dengan pulangan sebanyak US$5 dari setiap US$1 yang dibelanjakan, bukan sahaja dari muzik, tetapi peranan fenomena budaya dalam menjual telefon, TV dan mesin pencuci pinggan.

Jadi, apa yang boleh kita pelajari dari kejayaan filem Parasite dan mungkin juga Hallyu?

Berikutan kejayaan Parasit dan Hallyu, kerajaan di seluruh dunia termasuk kerajaan Malaysia, kini perlu mencari cara untuk mempromosikan bidang kreatif sebagai penyumbang kepada ekonomi.

Bagaimanapun, kisah kejayaan budaya Korea Selatan tidak datang dengan mudah atau cepat. Ia mengambil banyak pelaburan dan mungkin banyak kesilapan telah dibuat sepanjang jalan. Ia mengambil masa beberapa dekad yang memerlukan daya tahan, tekad dan konsistensi.

Sekiranya terdapat satu pengajaran daripada kejayaan Parasite, kita perlu akui kejayaan itu memerlukan masa dan kita sepatutnya mempunyai keazaman yang kuat untuk mencapai sesuatu.

Show More

Related Articles

Back to top button