AntarabangsaGaya HidupIsu Semasa

Arab Saudi Makin Terbuka, Mengapa Golongan Muda Masih Bercinta Secara Rahsia?

Suatu ketika dahulu di Arab Saudi, polis agama pernah membanteras penjualan bunga mawar merah dan sesiapa yang menjual barang-barang merah sekitar Hari Valentine. Tetapi kini, trend temu janji semakin berubah di negara yang semakin terbuka itu.

Berhubungan di luar perkahwinan antara lelaki dan wanita ibarat menjemput maut dalam kerajaan Islam konservatif itu. Untuk mengelakkan hukuman, ramai yang terpaksa berhubung melalui telefon sahaja.

Tetapi dengan usaha liberalisasi yang semakin meluas sekarang, termasuk membenarkan pencampuran jantina, telah memudahkan pasangan muda bertemu di kafe dan restoran.

Kebanyakan golongan milenial kini memburu hubungan romantik melalui Twitter dan Snapchat, dan aplikasi temu janji lain seperti Swarm.

“Penjualan mawar merah adalah seperti menjual dadah,” kata seorang pembikin filem Saudi kepada AFP, dalam sebuah kafe di Riyadh bersama teman wanitanya.

“Ini juga tidak dibenarkan berlaku dahulu. Wanita tidak dibenarkan duduk berdua-duaan dengan lelaki yang bukan mahram. Tapi sekarang wanita yang mengajak lelaki untuk keluar,” kata teman wanita itu, seorang pengamal media.

Bagaimanapun, hubungan pra-perkahwinan kekal bertentangan dengan budaya negara itu di mana jodoh biasanya ditentukan oleh keluarga.

Operasi temu janji rahsia dalam kalangan milenial menggambarkan bagaimana penduduk Arab Saudi sering dipaksa untuk menjalani kehidupan “dua muka” dalam mengejar kebebasan sosial yang mungkin melebihi kemampuan kerajaan untuk berubah.

Rahsia dan pembohongan                                                           

Samirah, seorang eksekutif kewangan berusia 27 tahun di ibu negara Arab Saudi, hidup dalam ketakutan apabila ibu teman lelakinya menolak hadiah yang diberikan olehnya.

Dalam masyarakat di mana kehormatan keluarga sering terikat dengan kesucian wanita, masalah akan timbul jika keluarga Samirah mengetahui perkara terbabit.

Teman lelaki Samirah bagaimanapun berjaya memujuk ibunya, tetapi ketakutan itu mendorong pasangan muda terbabit yang mengharapkan lebih banyak kebebasan, merancang percutian di Dubai atas nama lawatan perniagaan.

“Masyarakat Arab kini lebih terbuka tetapi semua orang merahsiakan hubungan kerana takut dipandang serong,” kata Samirah yang meminta agar nama sebenarnya dirahsiakan.

Putera Mahkota Mohammed bin Salman, pewaris takhta Arab Saudi, telah melonggarkan norma-norma sosial yang membolehkan pawagam beroperasi di samping menjaga batas seperti pengharaman Hari Valentine.

Walaupun polis agama telah berundur, ketegasan dalam sesebuah keluarga dan masyarakat Saudi pada umumnya masih tidak berhenti, menggariskan batas-batas gaya Barat di negara yang sangat konservatif itu.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close