Gaya HidupPercutian

“Mount Rushmore” Malaysia Terletak Di Mana?

Kalau di Amerika Syarikat, Gunung Rushmore sangat terkenal kerana terdapat arca empat Presiden mereka yang memainkan peranan penting dalam sejarah negara tersebut.

Mount Rushmoore di Amerika Syarikat. Sumber Imej: ABC News

Di Malaysia, terdapat mural potret wajah tujuh perdana menteri Malaysia yang berukursan 250 kaki persegi di bangunan Dewan Tunku Abdul Rahman di pusat bandar raya Kuala Terengganu.

Mural ini merupakan hasil karya empat pelukis daripada Red Rebel Art Squad yang dianggotai empat anak jati Terengganu iaitu Raja Badruddin Hakim Shah Raja Kamarul Bahrin, 34; Wan Ansri Nizam Wan Ismail, 37; Zulkarnain Abd Latif, 40 dan Mohd Fahmi Abdullah Sani, 30.

Ia adalah sebahagian daripada projek Majlis Bandaraya Kuala Terengganu ( MBKT) yang menelan kos RM30,000 untuk mengindahkan dan menceriakan bangunan tertua di bandar raya itu agar lebih ‘segar’ dan menjadi daya tarikan pelancong ke bandar raya warisan pesisir air itu.

Raja Badruddin Hakim Shah yang juga dikenali sebagai Ku Bad berkata mereka mengambil masa 27 hari bermula 9 Januari sehingga 4 Februari lepas untuk menyiapkan mural istimewa tersebut.

Pelukis mural potret tujuh Perdana Menteri Malaysia (dari kiri) Wan Asri Nizam Wan Ismail, 37, Raja Badruddin Hakim Shah Raja Kamarul Bahrin, 34 dan Zulkarnain Abd Latif, 40. Sumber Imej: BERNAMA.

“Projek ini saya andaikan adalah seperti di Gunung Rushmore kerana tujuannya sama iaitu melakar wajah pemimpin nombor satu negara cuma medium dan kaedah sahaja yang berbeza.

“Di Gunung Rushmore, arca wajah empat presiden Amerika Syarikat itu dihasilkan dengan kaedah ukir dan pahat sementara kami hanya melukis mural menggunakan cat yang berkualiti untuk mengabadikan wajah tujuh perdana menteri Malaysia ini,” katanya kepada BERNAMA.

Mural wajah tujuh perdana menteri itu dipercayai adalah yang pertama di Malaysia.

Ia adalah projek ketiga Red Rebel yang tular dan mendapat perhatian netizen selain lukisan Jalur Gemilang dan bendera Terengganu gergasi di atas bumbung Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (SSINS) bersempena sambutan Hari Kebangsaan pada tahun lepas.

Pada 2017, mereka diberi tanggungjawab untuk melukis mural yang memaparkan warna warni kehidupan rakyat Terengganu yang berlatarbelakangkan budaya dan warisan bersempena Tahun Melawat Terengganu di bangunan kedai lama dekat Jalan Banggol di sini.

Ku Bad yang merupakan anak ketiga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah berkata mereka berempat melukis mural itu pada waktu petang (selepas habis waktu kerja) sehingga ke lewat malam.

“Cabaran utama adalah cuaca, kami terpaksa berhenti sekiranya hujan dan cabaran seterusnya adalah ketinggian kerana tidak semua mempunyai keberanian untuk melukis di tempat tinggi.

“Namun, melihat hasilnya kini, Red Rebel sangat berbangga kerana pelukis mural tempatan juga diberi peluang dan mampu bersaing serta menyumbang idea dalam pembangunan seni di Malaysia dan Terengganu khususnya,” katanya yang mengakui bakat seni itu banyak diwarisi daripada bapanya.

Sumber Imej: mstar.com.my

Kenangan terindah buat Ku Bad adalah ketika ‘memakaikan’ tengkolok di atas kepala perdana menteri pertama iaitu Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj yang juga moyangnya sendiri.

“Daripada tujuh potret ini, hanya Tunku sahaja satu-satunya yang memakai busana tradisional Melayu. Sukar saya gambarkan perasaan ketika memperincikan lukisan tengkolok itu …ia bercampur baur antara bangga, terharu dan gembira dapat menyumbangkan tenaga untuk mural istimewa ini.

“Apatah lagi Tunku Abdul Rahman lah individu yang mengisytiharkan kemerdekaan negara pada tarikh keramat 31 Ogos 1957 yang secara tidak langsung memberi satu mesej untuk saya agar melakukan sesuatu supaya generasi akan datang terus berpegang teguh dengan jati diri sendiri iaitu Islam, Melayu dan berkhalifah (Raja),” katanya yang sedia melukis lebih banyak mural di mana-mana lokasi sekiranya mendapat permintaan.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close