Amerika SyarikatEropahPolitik

Demokrasi Sudah ‘Mati’ di Negara-Negara Barat?

Angola, Haiti dan Kemboja adalah contoh “Republik Pisang” : negara-negara yang kedaulatan undang-undang tercemar kerana seorang lelaki atau wanita atau kumpulan yang berusaha untuk menghebatkan dirinya.

Terdapat tambahan baharu dalam senarai ini: Amerika Syarikat (AS). Sebagai salah satu demokrasi paling tua di dunia, penurunan taraf negara itu merupakan hasil kerja seorang pemimpin.

Namanya ialah Donald Trump dan beliau ialah presiden ke-45 AS.  Seorang bintang rancangan realiti televisyen, penipu dan bigot, Trump telah mencemarkan prinsip-prinsip negaranya seperti dihuraikan oleh Perisytiharan Kemerdekaan, Perlembagaan dan Perisytiharan Hak.

Sudah tentu, beliau menerima bantuan dari sekumpulan lelaki dan wanita yang dikenali sebagai “Republikan.”

Pada tahun-tahun akan datang, ketika ahli-ahli sejarah mengkaji era pemerintahan Trump yang penuh kontorversi, salah satu daripada tarikh penting adalah pembebasannya oleh Senat AS daripada dakwaan pemecatan kerana salah guna kuasa dan menghalang Kongres pada 5 Februari 2020.

Orang Amerika telah menunjukkan bahawa jawatan tertinggi di negara itu dan merupakan orang paling berkuasa di dunia boleh dimanipulasi untuk keuntungan peribadi dan golongan elit politik secara aktif membantunya.

Di seberang Atlantik pula, seorang bekas wartawan upahan bermutu rendah yang bertukar menjadi ahli politik, Boris Johnson telah menggunakan Brexit untuk mempengaruhi  golongan pertengahan di UK untuk mengundinya dan memenangi pilihan raya.

Jika orang Amerika mahu “Menjadikan Amerika Hebat Semula”, orang-orang British pula mahu “mengawal semula” Eropah melalui Brexit.

Apakah yang sedang berlaku? Bagaimanakah demokrasi-demokrasi berabad lamanya menjadi begitu rapuh dan merosakkan diri sendiri?

Pertama: Ketidaksamaan telah berada di luar kawalan. Dasar-dasar ekonomi yang dilancarkan oleh Ronald Reagan dan Margaret Thatcher pada lewat 1970/80 telah menggerakkan anjakan besar-besaran dalam kemakmuran dari para pekerja dan kelas menengah kepada pemilik dan pemegang saham. Gaji sebenar membeku dan dasar-dasar cukai yang memberi manfaat kepada penerima dividen tidak dijana oleh usaha mereka sendiri.

Selanjutnya, pemimpin-pemimpin yang lebih tengah (seperti Bill Clinton, Tony Blair dan Barrack Obama) mengekalkan dasar-dasar sama. Dan angka tidak menipu.

Apabila Thatcher memperoleh kuasa pada tahun 1979, industri pembuatan menggaji 6.8 juta rakyat dan menurun kepada 2.6 juta pada 2016.

Pada tahun 2017, tiga individu terkaya AS secara keseluruhan memiliki lebih kekayaan daripada golongan bawah 50% penduduk negara iaitu kira-kira 160 juta orang. Koefisien Gini (suatu ukuran ketidaksamaan) melonjak di kedua-dua bahagian Atlantik.

Tambahan lagi, kemunculan media sosial membolehkan maklumat palsu dan demagogi disebarkan dengan cepat dan tidak terhalang, mengubah wacana dan pergerakan nasional dengan sewenang-wenangnya.

Sementara itu, etnik dan agama minoriti serta wanita menuntut perwakilan yang lebih banyak dalam kehidupan dan budaya awam Barat.

Bagaimanapun, kegagalan elit Inggeris-Amerika menangani ketidaksamaan tersebut membawa kepada golongan kulit putih berasakan bahawa pemimpin mereka lebih berminat terhadap permainan politik identiti berbanding melindungi mereka.

Pada waktu sama, krisis pelarian yang muncul di Timur Tengah dan Afrika Utara (di AS, krisis pelarian utama adalah dari Amerika Latin) meningkatkan keresahan orang kulit putih kerana bimbang terpinggir di negara mereka sendiri.

Keadaan ini memberi peluang pada Trump dan ahli politik demagog lain untuk muncul. Ketidaksamaan ekonomi dan rasa tidak selamat menggerakkan dorongan nativis orang kulit putih.

Negara-negara Asia Tenggara mesti belajar daripada kerapuhan demokrasi-demokrasi Atlantik Utara ini. Mengetepikan kesilapan-kesilapan mereka, demokrasi masih lagi cara terbaik untuk maju terutama bagi negara-negara pelbagai kaum dan agama.

Apa yang penting ialah untuk tidak mengikut jejak kesilapan-kesilapan Barat. Kita mesti menangani ketidaksamaan yang meningkat dalam masyarakat kita. Pembangunan saja tidak akan membawa kestabilan dan perdamaian.

Laporan Bank Dunia 2018 mendapati bahawa indeks Gini Indonesia bertambah buruk dari 30.0 pada tahun 1990-an kepada 38.1 pada tahun 2017. Singapura (45.8 pada tahun 2016), Malaysia (45.5 pada tahun 2008) dan Filipina   (44.4 pada tahun 2015), kesemuanya mempunyai indeks Gini melebihi 40: tanda-tanda ketidaksamaan pendapatan yang lebih tinggi.

Para pemimpin tidak mempedulikan tanda-tanda amaran seperti ini, yang akan mengancam mereka. Pemimpin harus melabur pada rakyat dari segi  keselamatan, kesihatan dan kemahiran.

Selanjutnya, media sosial mesti dikawal. Ucapan kebencian dan posting provokasi harus dibendung tanpa menggunakan tekanan yang tidak wajar. Kerenggangan kaum dan agama yang jelas mesti diurus dengan cermat.

Pendirian bersama perlu dicari atau dicipta antara komuniti majoriti dan minoriti selain perlu kekal berhubungan supaya kedua-dua mempunyai maklumat terhadap isu-isu dan bersiap siaga menentang mereka yang melakukan manipulasi terhadap prejudis yang telah sedia ada.

Ia seperti sebuah tugasan yang sukar apabila mereka yang hebat pada zaman kolonial dan menjadi model contoh demokrasi telah gagal teruk. Kita sudah tidak ada pilihan lain dan sudah tentu kita tidak boleh mengikuti langkah orang Amerika dan Britain dalam sejarah  mereka yang kelihatan semakin tiada hala tuju.

-KarimRaslan/Ceritalah

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close