AntarabangsaIsu Semasa

Jackie Chan Turut Serta Memerangi Virus Korona

Bintang aksi Hong Kong, Jackie Chan telah menawarkan ganjaran sebanyak 1 juta Yuan (RM591,391) untuk membangunkan antidot bagi virus korona yang muncul di bandar Wuhan.

Filem terbaharu Jackie Chan, Vanguard telah ditarik balik tayangannya pada saat akhir di China kerana kebimbangan penularan virus tersebut di pawagam.

Oleh sebab itu juga beliau berharap beliau boleh melakukan sesuatu selain menyanyikan lagu dan memberi semangat untuk mangsa-mangsa yang terjejas akibat wabak ini.

“Sains dan teknologi merupakan kunci untuk membanteras virus ini dan saya percaya ramai orang memiliki pemikiran yang sama dengan saya serta berharap antidot tersebut boleh dihasilkan segera,” tulisnya di Weibo.

“Saya memiliki sebuah idea yang ‘naif’ buat masa ini. Tidak kira mana-mana individu atau organisasi yang boleh menghasilkan antidot tersebut, saya mahu mengucapkan terima kasih kepada mereka dengan memberi 1 juta yuan.”

Beliau berharap niat murninya itu tidak akan disalah ertikan.

“Ini bukan tentang wang. Saya tidak mahu melihat jalan raya yang sebelum ini sibuk, kini sepi dan saya tidak mahu melihat rakan senegara saya berjuang memerangi virus sehingga ada yang meninggal dunia sedangkan mereka seharusnya menikmati hidup,” kata Jackie yang kini berusia 65 tahun.

Perkongsiannya itu telah menerima lebih 52,000 ‘likes’ dengan kebanyakan netizen menyokong keputusan beliau dan memuji tindakannya yang selalu menyumbang apabila China berada dalam krisis.

Terdapat netizen yang juga mencadangkan untuk Jackie menaikkan ganjaran itu menjadi 10 juta yuan (RM5.9juta).

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close