AntarabangsaIsu Semasa

Tidak Takut Dengan Koronavirus, Hidangan Kelawar Masih Popular Di Indonesia

Daging kelawar masih popular di beberapa tempat di Indonesia, walaupun penyelidikan mencadangkan novel koronavirus (2019-nCoV) yang tersebar dari China mungkin berasal dari mamalia itu.

Kelawar secara tradisional dimakan oleh orang Minahasan dari Sulawesi Utara dalam bentuk hidangan kari yang dikenali sebagai Paniki. Semua bahagian digunakan dalam Paniki, termasuk kepala dan sayap.

“Koronavirus tidak menjejaskan jualan kelawar. Malah, jualan sentiasa habus dijual,” kata penjual kelawar, Stenly Timbuleng di gerai di Tomohon, sebuah bandar di Sulawesi Utara, selatan ibu kota provinsi Manado.

Pada hari biasa, Timbuleng menjual 50-60 ekor kelawar dan semasa perayaan, dia boleh menjual sehingga 600 ekor kelawar.

“Kelawar adalah hidangan protein pribumi yang paling popular khususnya di Sulawesi Utara,” pakar kulinari Indonesia dan pengarang buku masakan, William W. Wongso bercakap kepada Reuters.

Paniki sangat disukai di kalangan orang Manado. Ia sering dihidangkan pada majlis-majlis khas seperti pesta di rumah atau acara gereja.

“Hidangan kelawar memang sungguh lazat. Kaedah memasak dan rempah yang digunakan tidak berbeza dari hidangan lain, hanya kita tambahkan santan dan kunyit,” kata Helpy Poluakan, penggemar paniki.

Kelenjar dari ketiak dan leher kelawar dibuang terlebih dahulu untuk menghilangkan bau busuk. Ia kemudiannya dibakar untuk menghilangkan bulu sebelum dipotong dan dimasak dalam rebusan herba, rempah dan santan.

Image result for paniki manado
Hidangan Paniki yang sangat digemari penduduk Minado.

Wabak koronavirus dipercayai berasal dari pasar makanan di bandar Wuhan China yang menjual haiwan liar secara haram. Pakar-pakar kesihatan menganggap ia berasal dari kelawar dan kemudian tersebar kepada manusia, mungkin melalui spesies lain.

Di China, virus itu telah membunuh lebih daripada 1,000 dan menjangkiti lebih daripada 42,700 orang.

Terdapat 319 kes koronavirus di 24 negara luar China, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan pegawai kesihatan China.

Tidak ada kes yang dilaporkan di Indonesia, tetapi wabak itu telah menyebabkan banyak restoran Manado di ibu kota Jakarta untuk menghentikan penyediaan hidangan berasaskan kelawar.

Bagi warga Manado Jufry Mantak, hubungan antara koronavirus dan kelawar tidak akan menjejaskan minatnya terhadap makanan eksotik itu.

“Kita tidak menemui sebarang kes koronavirus di Manado. Sampai sekarang, masih ramai yang memakan kelawar ini kerana ia sangat lazat terutama apabila dimasak dengan santan.”

Pengusaha restauran, Nicolina Pelealu menghentikan menu kelawar di semua restorannya di Manado setelah mengetahui bahawa ia mungkin membawa virus. Nicolina yang menguruskan Restoran Tanta Ola yang terkenal di Minahasa, berkata dia tidak mahu membahayakan perniagaannya dengan menjual paniki.

“Kami khuatir orang akan menyebarkan khabar angin untuk menjatuhkan perniagaan kami jika kami masih menjual paniki. Jadi, saya telah memutuskan untuk tidak memasak menu kelawar di restoran saya,” katanya.

“Walaupun kami telah berhenti menjual hidangan kelawar untuk sementara waktu di restoran, saya tetap akan memasak untuk pesanan peribadi, terutama yang datang dari pelanggan tetap saya,” tambahnya.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close