Bisnes & Ekonomi

Mengenali Syarikat Di Sebalik Rekaan Saloma Link & Pemenang Ke-3 Perancangan Ibu Kota Indonesia Baharu

Bagi orang yang minat dengan seni bina dan bangunan, mereka pasti tahu sinonimnya syarikat Veritas Design Group dengan elemen kelestarian alam sekitar.

Baru-baru ini jambatan ikonik Saloma Link di Kuala Lumpur yang memudahkan akses pejalan kaki di antara Kampung Baru dan KLCC telah direka oleh mereka dan firma ini juga telah bekerjasama dengan sebuah syarikat di Indonesia untuk memberi perkhidmatan perancangan utama bagi Indonesia membina ibu kota mereka yang baharu.

Melihat kepada portfolio mereka, orang ramai boleh lihat bahawa mereka mengutamakan kelestarian dan itulah salah satu teras utama firma arkitek ini sejak awal pertubuhan mereka dan sebelum semua orang mula heboh tentang alam sekitar dan kelestarian.

 

Elemen Kelestarian Adalah Sesuatu Perkara Yang Wajib Dalam Setiap Projek

Menurut pengetua Arkitek, Zainal F Abdul Aziz, mereka selalu akan memasukkan elemen kelestarian dalam setiap projek yang mereka lakukan.

Sejak pertama kali pelanggan mahu mengemukakan projek dengan firma tersebut, mereka sudah mencari jalan untuk menjadikan bangunan tersebut berunsur lestari.

“Kami memiliki senarai hijau dalaman kami tersendiri seperti pengurusan air dan kedudukannya di tapak projek. Jika boleh kami juga akan menggunakan sebanyak mungkin bahan kitar semula. Selain daripada itu kami menggunakan bahan industri yang lebih selaras seperti Indeks Bangunan Hijau (GBI) yang lebih terperinci.

 

Kos Tinggi Tapi Jimat Pada Jangka Masa Panjang

“Dengan itu kami berharap pelanggan kami akan lebih bersedia untuk melabur ke dalam projek berkenaan. Walaupun kemungkinan kos yang dilaburkan pada awalnya adalah tinggi tetapi ia akan mengurangkan kos mereka pada jangka masa panjang.

“Oleh sebab itu juga kami sering menjalankan penilaian selepas hunian untuk mengesan dan melihat semula keadaan bangunan untuk mereka,” jelas Zainal kepada TheStar.

Semua usahanya ini adalah sejajar dengan niat untuk menjadi pemimpin dalam seni bina lestari. Dek kerana itu, pasukan Veritas Design senantiasa mencari jalan baharu untuk sentiasa di hadapan orang lain.

“Apabila kami sebut tentang ‘hijau’, ia benar-benar untuk menjadikan orang ramai lebih selesa dan mengurangkan kos penyelenggaraan bangunan. Oleh sebab itu reka bentuk bangunan tersebut sangat penting. Contohnya orientasi matahari untuk mengurangkan penggunaan tenaga, bagaimana kita menggunakan sirip untuk mengurangkan silau dan mengurangkan kepanasan sesebuah bangunan.

 

Reka Bentuk Adalah Penting

Kami juga mengambil berat tentang reka bentuk ini di awal sesebuah projek dan bukannya dipertengahan perjalanan. Perkara ini adalah penting dan sebati dengan kami sehinggakan kami akan bertanya kepada pelanggan bahawa adalah projek ini bakal memiliki elemen kelestarian, hijau dan boleh menyelamatkan alam sekitar,” kata Azlina Ismail, pegawai senior di Veritas.

Salah satu projek bintang mereka ialah mendirikan bangunan ibu pejabat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Shah Alam.

Bangunan yang siap pada tahun 2016 ini memiliki mata GBI tertinggi untuk bangunan pejabat sewaktu fasa penilaian reka bentuk.

 

Mahu Mencapai Kecemerlangan Dan Tidak Penat Mengejarnya

“Kami tidak hanya berhenti dan bergembira dengan hanya mendapat bangunan yang diluluskan tetapi kami mahukan pangkat emas. Setelah mendapatkannya, kami sasarkan platinum dan setelah itu platinum berganda. Kini kami mahu bangunan bertenaga sifar sepenuhnya.

Namun begitu kami faham tentang kesukaran untuk mencapainya kerana ia memakan kos, kehendak pelanggan dan beberapa isu. Namun kami tidak putus asa untuk memberi nasihat dan membuat mereka turut teruja tentang kelestarian alam,” tambah Azlina.

Di Veritas mereka juga tidak hanya memfokuskan kepada projek pelanggan mereka tetapi mereka juga sudah pasti harus mengamalkan nilai-nilai kelestarian di dalam syarikat sendiri.

 

Amalan Kelestarian Dalam Syarikat

“Ia bermula dengan perkara kecil seperti memasang lampu LED dan memastikan terdapat tong kitar semula yang tidak memakan kos yang tinggi tetapi dalam jangka masa panjang ia boleh menjadi sesuatu yang berfaedah,” kata Zainal.

Veritas juga melihat kesan karbon ini secara serius. Dana daripada aktiviti kitar semula selalunya akan diberikan semula kepada pekerja melalui pelbagai inisiatif seperti memberi hadiah kepada mereka yang menggunakan pengangkutan awam ke tempat kerja tetapi pada masa yang sama, jika ada yang membawa kereta untuk ke tempat kerja, mereka perlu menyumbang kepada dana tersebut.

“Penyumbang tertinggi kami kepada dana tersebut sebelum ini adalah Ketua Pegawai Eksekutif kami sehinggalah beliau menukar kepada Tesla,” kata Zainal sambil ketawa.

“Ini menunjukkan bahawa beliau serius terhadap perkara ini dan ini termasuk semua orang di dalam syarikat kami. Kami juga memiliki tempat pengecas di kawasan pejabat,”tambah Zainal.

 

Para Pekerja Juga Harus Menerapkan Gaya Hidup Hijau

Sejak dua tahun yang lalu, mereka juga memperkenalkan tumbuhan dalam ruangan untuk para pekerja menjaganya dan buletin mingguan untuk memberi maklumat dan mendidik para pekerja tentang trend hijau di seluruh dunia.

“Kami menggalakkan pekerja kami untuk memberi idea hijau dan ia juga adalah satu kejayaan kerana kami cuba untuk menjadikannya sesuatu yang menggembirakan dan ceria di tempat kerja,”katanya.

Syarikat ini juga bekerjasama dengan DBKL untuk mengubah kawasan terbiar menjadi kawasan berlanskap ataupun ladang bandar.

Veritas juga membuka inisiatif kepada organisasi lain bekerjasama dan mencantikkan lagi kawasan bandar.

Selain itu, Veritas juga sangat rajin mengikuti program penanaman pokok dan pembersihan kawasan awam.

Syarikat ini mengambil peluang untuk memastikan impak positifnya itu bukan hanya kepada alam sekitar sahaja tetapi turut diberikan kepada masyarakat.

“Kami bekerjasama dengan beberapa organisasi dan menyumbang panel solar boleh ubah kepada sebuah perkampungan orang asli. Kami juga merupakan sebahagian daripada kumpulan itu yang mana kami menggunakan bahan alam semulakadi dan mengajar mereka bagaimana untuk mengekalkan panel solar tersebut secara peribadi,” kongsi Zainal.

“Kami tidak pernah berpuas hati dengan hanya menjadi baik kami mahu menjadi yang terbaik. Ini juga akan memberi kesedaran kepada orang ramai tentang apa yang kami lakuklan. Semuanya tentang hal-hal kecil. Ia merupakan perkara biasa untuk kakitangan kami dan ketetapan minda ini harus bermula dengan yang paling atas,” kata Zainal.

Azlina juga berharap budaya hijau ini bakal diterapkan kakitangan mereka di luar pejabat dan menjadikannya gaya hidup mereka.

Show More

Related Articles

Back to top button