BudayaGaya Hidup

Ini Sebabnya Mengapa Mereka Memakai Kavadi & Menjunjung Belanga Di Hari Thaipusam

Setiap perayaan disambut sudah pasti ada kisah atau alasan disebalik mengapa ia menjadi hari penting tersebut. Seperti itu juga perayaan Thaipusam.

Thaipusam merupakan hari menunaikan nazar atau memohon keampunan di atas dosa yang pernah dilakukan sebelum ini oleh orang beragama Hindu.

Thaipusam ini dirayakan pada bulan keseputuh dalam kalendar Tamil yang juga dikenali sebagai bulan ‘Thai’.

 

Golongan Yang Membayar Nazar

Jika ada yang ingin memohon hajat atau bernazar kepada Dewa Murugan dan ia telah dikabulkan, mereka akan mengadakan sebuah acara untuk menandakan rasa syukur mereka pada hari Thaipusam.

Sumber Imej: vamam.my

Mereka akan membawa susu putih yang diisikan ke dalam belanga kerana ia dianggap paling suci. Belanga tersebut dijunjung di atas kepala dari luar kuil hinggalah ke dalam kuil.

Bagi yang berjantina lelaki, selalunya mereka akan mencukur rambut dan menyapu campuran serbuk cendana serta air di atas kepala untuk membayar balik nazar mereka.

 

Golongan Yang Mohon Keampunan

Bagi penganut Hindu yang ingin memohon pengampunan dosa, mereka inilah yang membawa kavadi yang dijunjung di atas bahu dan kepala mereka.

Kavadi ini diperbuat daripada beberapa rod besi atau kayu yang di atasnya terletak patung dewa Murugan dengan pelbagai saiz dan bentuk.

Sumber Imej: trippingunicorn.com

Berat dan saiz kavadi ini bergantung kepada kemampuan seseorang.

Selain itu pembawa kavadi akan diiringi oleh beberapa orang pembantu khas dari tempat masing-masing.

Ada yang diiringi dengan kumpulan muzik , mangkuk perasap kemenyan dan lain-lain. Dari semasa ke semasa, pembawa kavadi akan berehat di tangga-tangga tertentu , berehat dan diberi minum.

Selain membawa kavadi ada yang menebus dosa mereka dengan berjalan di atas kasut berpaku. Mereka melangkah perlahan-lahan mendaki tangga-tangga kuil hingga tiba ke sisi patung Dewa Murugan di dalam gua Batu Caves.

Ada juga yang mencucuk panah besi pada lidah dan pipi dari kiri ke kanan dengan panah pendek dan panjang.

Yang lain pula mencucuk belakang mereka dengan puluhan mata pancing yang bersaiz 10 sm. Mata pancing itu disangkut dengan buah limau nipis yang teramat pedih rasanya.

Ada juga mata pancing itu bertali dan ditarik oleh para pembantu.

Menurut pelbagai sumber mereka lakukan ini dalam keadaan separuh sedar.

 

Mengapa Kebanyakannya Disambut Di Batu Caves?

Di Malaysia, Batu Caves sering menjadi tumpuan semasa perayaan Thaipusam kerana di situ terdapat kuil yang khusus Dewa Murugan yang juga dikenali sebagai Dewa Subramaniam.

Terdapat patung Dewa Murugan setinggi 42.7 meter di bawah tangga Batu Caves dan ia merupakan patung Dewa Murugan tertinggi di dunia!

Sumber Imej: kebudayaankaumIndia.blogspot

Batu Caves telah diperkenalkan sebagai tempat ibadat oleh K. Thamboosamy Pillai, seorang pedagang India.

Pada tahun 1890, Pillai, yang juga telah mengasaskan Kuil Sri Maha Mariamman, Kuala Lumpur, telah memasang Arca Dewa Murugan yang masih terdapat sehingga sekarang di ‘Temple Cave’.

Untuk sampai ke gua ini, pengunjung perlu menaiki 272 anak tangga.

Kompleks kuil Batu Caves terdiri daripada tiga gua utama dan beberapa gua kecil. Gua yang terbesar dikenali sebagai Cathedral Cave atau Gua Kuil. Didalamnya tedapat sebuah kuil Hindu.

Terdapat dua gua kuil di kaki bukit yang menyimpan arca dan lukisan Hindu yang menggambarkan kisah Dewa Murugan.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close