AntarabangsaIsu Semasa

Adakah Myanmar Akan Betul-Betul Melindungi Rohingya Seperti Perintah Mahkamah Keadilan Antarabangsa Atau…

Pada 23 Januari yang lalu, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) meluluskan langkah sementara seperti dimohon Gambia berhubung Konvensyen Pencegahan dan Hukuman Jenayah Genosid.

Sumber Imej: IOWA Public Radio

Dengan tegas dan sokongan penuh, ICJ mengarahkan Myanmar untuk mengambil semua langkah dalam keupayaannya untuk melindungai warga Rohingya yang dianggap tidak memiliki kewarganegaraan dan tinggal di bahagian barat Rakhine.

Rohingya di Rakhine telah mengalami kesengsaraan yang hebat sejak berdekad yang lalu sehingga menerima tindakan ganas daripada pihak ketenteraan sehingga menyebabkan ribuan terbunuh termasuk pembunuhan beramai-ramai, rogol, seksaan dan perkampungan di bakar sejak 2017.

 

Ini Dia Perintah Mahkamah Yang Harus Myanmar Penuhi

Para hakim di ICJ mahu langkah termasuk melindungi penduduk Rohingya daripada aksi genosid dan juga aksi ganas yang lain serta melindungi bukti genosid.

Kerajaan Myanmar juga dikehendaki melapor kepada mahkamah dalam masa empat bulan yang akan datang dan sekali lagi enam bulan kemudian dan ini bakal menekan pihak kerajaan selama setahun.

Keputusan diumumkan Presiden Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) Hakim Abdulqawi Ahmed Yusuf, susulan tindakan Gambia memulakan prosiding di mahkamah tertinggi PBB itu pada November tahun lalu, dengan menuduh Myanmar melanggar Konvensyen Genosid PBB 1948 kerana melakukan pembunuhan beramai-ramai etnik Rohingya.

 

Myanmar Sudah Terikat Dengan Undang-Undang Antarabangsa Tetapi…

Lebih daripada 780,000 warga Rohingya terpaksa melarikan diri ke Bangladesh dan negara jiran demi keselamatan mereka.

Kini Myanmar terikat secara undang-undang untuk memenuhi perintah mahkamah dan ia bakal memberi tekanan signifikan kepada mereka untuk memenuhi tuntutan yang dikeluarkan oleh mahkamah tertinggi di dalam sistem Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mana sistem kuasa mereka telah pun diiktiraf.

Namun apakah yang bakal berlaku jika Myanmar tidak memenuhi persyaratan ICJ kerana pihak kerajaan Myanmar mendakwa tidak ada bukti yang menunjukkan bahawa terdapat kejadian genosid di negara mereka?

Menurut Priya Pillai, pakar dalam undang-undang antarabangsa dan juga ketua Sekretariat Pakatan Keadilan Asia, Majlis Keselamatan PBB yang harus menangani masalah ini.

 

Sehari setelah ICJ menjatuhkan keputusan tersebut, Malaysia menerusi Wisma Putra telah mengeluarkan kenyataan rasmi yang menyokong tindakan ICJ.

Malaysia turut menggesa Myanmar memenuhi obligasi di bawah Konvensyen Genosid Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) 1948 bagi memastikan krisis kemanusiaan di Myanmar itu tidak berlarutan.

“Keputusan itu mencerminkan kebimbangan serius komuniti antarabangsa terhadap keperluan menangani dengan efektif penderitaan yang dialami Rohingya, di samping menampilkan akauntabiliti serta keadilan berhubung dakwaan pelanggaran hak asasi manusia yang serius terhadap Rohingya,” kata kenyataan itu yang disiarkan di BeritaHarian.

Penindasan terhadap etnik itu menyebabkan mereka membuat keputusan keluar dari wilayah mereka dan mencari perlindungan di negara berhampiran termasuk Malaysia.

“Kira-kira 100,000 pelarian Rohingya kini berada di Malaysia selepas meninggalkan Myanmar susulan krisis yang melanda,” katanya.

Malaysia juga katanya, terus menyokong usaha Gambia, yang membawa kes berkenaan kepada ICJ selaras kedudukannya sebagai Pengerusi Ad Hoc Jawatankuasa Kementerian berhubung Pelanggaran Hak Asasi Manusia, yang ditubuhkan di bawah Pertubuhan Kerjasama Islam.

 

5 Permohonan Gambia di ICJ

Malaysia juga melihat dengan penuh minat prosiding ICJ seterusnya berhubung permohonan Gambia terhadap lima perkara.

“Ia terdiri daripada pengisytiharan Myanmar sebagai melanggar obligasi di bawah Konvensyen Genosid; untuk menghentikan segera apa-apa perbuatan salah yang sedang berlaku dan menghormati sepenuhnya obligasinya di bawah Konvensyen Genosid.

“Juga bagi memastikan orang yang melakukan genosid dihukum oleh tribunal yang kompeten; untuk melaksanakan kewajipan membayar ganti rugi demi kepentingan mangsa perbuatan genosid yang merupakan dari kaum Rohingya; dan memberikan jaminan bahawa pelanggaran Konvensyen Genosid tidak akan berulang,” kata kenyataan itu.

 

Mungkin Memakan Masa Bertahun Untuk Isu Ini Selesai

Pihak Human Rights Watch berkata memenuhi arahan mahkamah adalah sangat penting namun kemungkinan besar ia akan memakan masa bertahun untuk ICJ mengambil keputusan sama ada kerajaan Myanmar dan pihak ketenteraan untuk memenuhi ketetapan polisi genosid tersebut memandangkan tidak ada tarikh yang tetap diberikan oleh mahkamah.

Buat masa ini terdapat 600,000 warga Rohingya yang masih tinggal di Rakhine dan pakar risau dengan arahan ICJ ini, pihak ketenteraan Myanmar bakal marah dan bertindak balas ke atas mereka yang masih berada di Rakhine.

 

Pihak Tentera Myanmar Bertindak Balas Ke Atas Rohingya Setelah Keputusan Mahkamah?

Seperti yang diduga, pada 3 Februari yang lalu, Berita.Mediacorp.sg melaporkan Myanmar sekali lagi menguatkuasakan sekatan Internet di dua wilayah yang terletak di bahagian barat negara itu selepas menarik balik sebahagian sekatan tersebut lima bulan yang lalu, menurut pengendali telko utama.

Telenor Group dari Norway memberitahu dalam satu kenyataan bahawa kementerian pengangkutan dan perhubungan negara itu mengarahkan sekatan Internet di lima bandar di wilayah Rakhine dan Chin selama tiga bulan.

Sekatan Internet selama berbulan-bulan di empat buah bandar di Rakhine – Maungdaw, Buthidaung, Rathedaung and Myebon – dan satu bandar di Chin ditarik balik pada September lalu di tengah-tengah rundingan damai yang bermatlamat untuk menamatkan pertikaian antara tentera pemerintah dengan kumpulan-kumpulan pemberontak.

Para pegawai menukil “keperluan keselamatan dan kepentingan awam” sebagai sebab di sebalik penguatkuasaan sekatan tersebut sekali lagi, menurut Telenor. Menurut syarikat telko itu lagi, empat bandar lain masih di bawah sekatan asal yang dikuatkuasakan sejak Jun tahun lalu.

Tun Tun Nyi, seorang jurucakap tentera Myanmar, berkata pihak tentera tidak tahu-menahu tentang sekatan itu.

 

Pegawai Kementerian Myanmar “Tiada Komen”

Para pegawai kementerian bagaimanapun tidak mahu memberikan komen kepada Reuters.

Perintah itu dikeluarkan di tengah-tengah keganasan yang semakin memuncak. Dua wanita terbunuh dan tujuh yang lain cedera bulan lalu apabila sebuah kampung kaum Rohingya di wilayah Rakhine terkena bedilan meriam.

Tentera Myanmar menolak tuduhan bahawa pihaknya bertanggungjawab atas serangan itu, yang berlaku dua hari selepas mahkamah tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memerintahkan Myanmar supaya melindungi kaum Rohingya.

Myanmar telah menunjukkan mereka tidak mahu mengadakan penyiasatan terhadap isu ini. Oleh itu adalah sangat kritikal supaya pihak berkuasa antarabangsa mengambil inisiatif untuk meneruskan penyiasatan.

Namun untuk Myanmar membenarkan perkara tersebut berlaku ia masih menjadi tanda tanya.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close