AntarabangsaIsu Semasa

Apa Yang Menarik Di Korea Selatan Sehingga Ramai Remaja ASEAN Mahu Tinggal Di Sana?

Seiring dengan meningkatnya populariti artis dan budaya Korea Selatan, semakin ramai anak muda dari pelbagai negara di ASEAN ingin merealisasikan impian mereka di negara tersebut.

 

Arena Muzik Lebih Maju

Lily Sirin Opasanon, seorang pemain biola dari Thailand merupakan antara belia yang telah pindah ke bandar Seoul sejak empat tahun yang lalu setelah kagum melihat bagaimana hebatnya didikan dan latihan yang dijalani oleh orang Korea Selatan untuk bersinar di pentas antarabangsa.

Dengan itu, Lily berhijrah untuk setanding dengan mereka di bawah didikan seorang profesor Korea.

“Lebih kurang separuh daripada peserta peringkat akhir dalam pertandingan yang saya sertai adalah orang Korea dan saya sangat terkejut dengan kehebatan mereka bermain piano, biola, menari dan pelbagai lagi acara kesenian,” ujar Lily yang berusia 23 tahun.

“Ia menjadi impian saya untuk melanjutkan pelajaran di Korea kerana arena muzik klasik di Thailand terhad,” jelasnya.

 

K-pop & Drama

Bagi Maggie Yang, 25 tahun yang berasal dari Indonesia, cintanya terhadap K-pop dan drama telah menyebabkan dirinya mula mempelajari bahasa Korea.

Dek kerana itu juga kini Maggie sedang mengikuti program sarjana dalam kajian antarabangsa di Universiti Korea yang juga merupakan salah satu kolej ternama di sana.

Maggie berharap dia boleh mendapatkan pekerjaan yang membolehkan dirinya menjadi jambatan di antara Korea dan negara kelahirannya.

 

Kaya Sejarah, Makanan Menarik & Festival Sepanjang Tahun

Lain pula ceritanya oleh Pham Thi My Hanh, 27 tahun dari Vietnam. Dia telah didorong oleh ibunya untuk mengikut jejak langkah ibu untuk tinggal di Korea.

“Ibu saya tinggal di Korea sejak tujuh tahun yang lalu dan dia sangat menyukainya,” kata Pham.

“Saya juga sangat mencintai budaya Korea serta trend mereka. Mereka juga kaya dengan sejarah serta makanan yang menarik dan memiliki festival yang berlangsung sepanjang tahun,” katanya yang mahu mencari pekerjaan di Korea Selatan.

Tiga wanita muda ini adalah di antara kumpulan belia dari Asia Tenggara yang mahu melanjutkan impian mereka di Korea Selatan.

 

Populasi Asean Meningkat Dua Kali Ganda

Lebih dari sekadar tempat asal usulnya K-pop dan kimchi, Korea Selatan merupakan ekonomi ke-4 terbesar di Asia dan baru-baru ini telah meningkat naik sebagai negara yang memberi peluang kepada anak muda dari Asia Tenggara untuk melanjutkan pelajaran serta mendapatkan pekerjaan.

Berdasarkan statistik di Pusat Asean-Korea yang berpangkalan di Seoul, populasi Asean di negara tersebut telah meningkat dari 440,681 di tahun 2016 menjadi 597,300 pada tahun 2018 yang mana satu pertiga daripadanya datang daripada Thailand dan satu pertiga yang lain ialah dari Vietnam manakala 10% merupakan warga Filipina.

Kebanyakan warga Asean yang tinggal di Korea Selatan ini merupakan pekerja dan telah berkahwin dengan orang tempatan.

Namun buat masa ini, kumpulan yang paling banyak hadir ke negara tersebut merupakan pelajar dan ia telah berganda dua kali sejak tahun 2016.

 

Meningkat Sejak 2016

Peningkatan jumlah pendatang dari Asia Tenggara ke negara Korea Selatan ini telah berlangsung setelah Presiden Moon Jae-in mengumumkan ‘Dasar Selatan Baharu’ yang mensasarkan hubungan baik di antara Asia Tenggara dan mengembangkan diplomasi Korea Selatan lebih daripada empat kuasa besar iaitu Amerika Syarikat, China, Rusia dan Jepun.

Perdagangan di antara Asean-Korea mensasarkan US$200bil (RM818.1bil) tahun ini dan ini merupakan peningkatan daripada US$160.5bil pada tahun 2018.

Industri pelancongan di antara dua pihak juga telah meningkat sebanyak 11.4juta pada tahun tersebut.

 

Korea Selatan Ikrar Jalin Hubungan Baik Dengan ASEAN

Oleh itu dengan ikrar Korea Selatan untuk mendalami hubungan dengan Asean terutamanya dengan ekonomi rantau kian meningkat, para belia dalam rantau ini turut mengambil kesempatan untuk tinggal, belajar dan bekerja di Korea Selatan.

Pihak kerajaan Korea Selatan juga telah berjanji untuk meningkatkan jumlah biasiswa untuk pelajar Asean daripada 280 menjadi 700 menjelang 2022.

Salah satu pelajar Filipina, Joash Pante yang baru menamatkan sarjana muda perniagaan di Daegu berkata dia kini memegang visa ‘satu tahun pencarian kerja’ yang membantu pelajar Asean mencari pekerjaan di Korea Selatan setelah tamat pelajar di universiti tempatan mereka.

Namun menurut Joash, kebanyakan syarikat di Korea Selatan tidak mahu menaja visa pekerja untuk warga asing. Tetapi Joash tidak mengelak idea untuk berkahwin dengan warga Korea untuk mendapatkan visa jangka panjang dan bekerja di sana.

Bagi yang tidak mahir bertutur dalam bahasa Korea juga menjadi penyebab ramai yang tidak dapat pekerjaan di sana kerana kebanyakan iklan pencarian kerja adalah di dalam bahasa Korea dan terdapat banyak ruang mencari pekerjaan di atas talian. Ini menyebabkan para pencari kerja sering keliru terutamanya bagi mereka yang kurang mahir dengan bahasa Korea.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close