Bisnes & Ekonomi

Ini Dia Cerita Jerih Payah Membesarkan Jenama Jakel Hingga Dikenali Ramai

Jika kita sebut nama Jakel sudah pasti ramai akan mengenali gedung jualan tekstil yang terkenal dengan jualan murah mereka menjelang hari raya.

Namun mungkin tidak ramai yang tahu asal usul syarikat tersebut yang didirikan pada tahun 1983 di Muar, Johor itu.

 

Bukan Dari Keluarga Kaya-Raya

Menurut Pengarah Urusun Jakel, Datuk Mohamed Faroz Mohamed Jakel beliau sebenarnya bukanlah daripada keluarga berada.

“Keluarga kami miskin dan situasi menjadi lagi sukar apabila di tahun 1980 pemilik kedai yang mana ayah saya sedang menyewa mahu mengambil semula premis tersebut dan menjualnya kepada orang lain,” imbas Datuk Mohamed yang merupakan anak sulung daripada 12 adik-beradik.

Arwah ayah beliau, Mohamed Jakel Ahmad merupakan pengasas Jakel Trading yang menjual permaidani untuk masyarkat sekitar situ dan pada masa yang sama menjadi tempat pemborong untuk penjual lain.

Masih segar di ingatan Datuk Mohamed apabila tuan rumah mereka memarahi ayahnya kerana tidak dapat melangsaikan sewa rumah selama enam bulan sehingga memalukan ayahnya dan mengugut untuk membakar rumah tersebut kerana tidak mampu membayar sewa.

“Sejak daripada itu, saya berazam untuk mengubah nasib keluarga saya dan tidak mahu keadaan sebegitu berulang kembali.”

 

Mula Berniaga Sejak Usia 8 Tahun

Datuk Mohamed Faroz mula berkerja sejak usianya masih 8 tahun lagi. Beliau menjual gula tarik di sekolah dan mendapat untung sekitar RM15 seminggu. Hasil jualan ini beliau berikan kepada ibunya untuk memulakan perniagaan makanan kecil-kecilan.

Ini telah membolehkan ayah beliau bangkit dan memulakan perniagaan permaidani yang baharu.

Setahun setelah pembukaan kedai mereka yang baharu, Almarhum Jakel sedar bahawa terdapat potensi besar jika mereka membuka perniagaan di Segamat, Johor kerana sebuah perkampungan Felda yang baharu dibuka di daerah tersebut.

Pada waktu itu juga perniagaan mereka di Muar agak perlahan kerana orang lebih gemar membeli barangan di Melaka atau Batu Pahat.

Ini menyebabkan ayahnya memindahkan perniagaan mereka ke Segamat pada tahun 1985 dengan menyewa suku daripada lot kedai.

Ia tidak mengambil masa yang lama sehingga mereka berjaya mengambil alih keseluruhan kedai dan menyebabkan seluruh keluarga berpindah ke Segamat.

 

Daripada Permaidani Menjadi Pemborong Tekstil

Adik-beradik lain turut membantu dalam mengelola kedai tersebut dan mereka berjaya mengajak ayah mereka untuk menukar kepada perdagangan tekstil kerana mereka lihat terdapat potensi yang lebih besar melaluinya.

Di tahun 1992, Jakel mula berjinak-jinak dalam perniagaan setengah pemborong apabila menjadi pengedar untuk tekstil dari Singapura kepada peniaga pasar malam.

Namun seperti mana-mana perniagaan, sudah pasti akan menerima dugaan. Mereka telah mengalami kesukaran sewaktu krisis ekonomi apabila pihak pembekal di Singapura tidak dapat menghantar bekalan seperti biasa.

Datuk Mohamed Faroz tahu hanya satu jalan penyelesaian terhadap situasi ini iaitu dengan mengimport secara langsung dari Korea Selatan dan Jepun.

Walau bagaimanapun, perkara ini mengalami kesukaran kerana mereka telah terikat dengan pemborong di Singapura.

Namun beliau tidak berutus asa untuk memujuk mereka dalam masa enam bulan akhirnya pembekal tersebut mahu membekalkan mereka dengan kain namun pada harga yang lebih tinggi.

“Sejak daripada itu Jakel memiliki pengimport tekstil tersendiri dan di akhir tahun 1990an, kami menjadi pemborong utama dan pengedar di Malaysia,”katanya.

 

Tahun 2000 Jakel Mula Dikenali

Pada tahun 1997, Jakel berjaya mendapatkan pinjaman bank sebanyak RM1.6juta untuk membeli bangunan Teater Rex Shaw Brothers di Segamat yang mereka tukar menjadi kedai runcit dan semi borong untuk para pelanggan.

Pada tahun 2000, mereka membina bangunan baru di tapak sebesar 40,000 kaki persegi dengan tiga tingkat dan berhawa dingin yang menjadi gudang bagi pelanggan yang mahu membeli barangan dalam pukal.

Ia merupakan titik permulaan Jakel mula dikenali ramai.

“Setiap hujung minggu kami akan mendapat rombongan 100 hingga 150 bas dari seluruh negara termasuk Singapura,” kata Datuk Mohamed Faroz.

Pada tahun 2004, mereka membuka francais pertama mereka di Kuantan di bawah Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) melalui sebuah program mentor-mentee.

 

Semakin Berkembang Di Masjid India, KL

Mereka mula meningkat naik satu lagi anak tangga apabila berjaya membeli Wisma Jakel di Jalan Bunus, Masjid India sebesar 100,000 kaki persegi yang bernilai RM13juta.

Datuk Mohamed Faroz di hadapan kedai Jakel. Sumber Imej: mstar

Mereka berbelanja RM50juta lagi untuk mengubahsuai dan menambahkan bekalan di pusat baharu mereka ini.

Di tahun 2009, Wisma Jakel Shah Alam sebesar 80,000 kaki persegi dibuka dengan jumlah pelaburan sebanyak RM40juta dan pada tahun 2013, Jakel telah membeli Cap Square yang berkeluasan 800,000 kaki persegi lengkap dengan 2,500 tempat letak kenderaan.

Cap Square kini dikenali sebagai Jakel Square yang menempatkan Jakel Mall, Lulu Hypermarket dan juga premis perniagaan kecil-kecilan.

 

Kini Lebih Dari Sekadar Perniagaan Tekstil!

Selain daripada menjadi pemborong tekstil dan sebagainya, Jakel Group ini juga sempat membeli banyak hartanah dan menjadi tuan bangunan kepada pelbagai kawasan perniagaan di Kuala Lumpur, Shah Alam, Cheras, Senawang, Bangi, Johor Bahru dan juga di lokasi strategik di sekitar Lembah Klang.

“Kita lihat industri hartanah adalah selari dengan perniagaan kami kerana apabila perniagaan kami baik, nilai bangunan tersebut juga akan meningkat,” kata Mohamed Faroz sewaktu di wawancara TheStar.

Kini Jakel group memiliki 22 cawangan Jakel dan semakin mengembangkan portfolio perniagaan mereka kepada hartanah, industri makanan halal dan juga industri pertahanan.

Show More

Related Articles

Back to top button