Bisnes & Ekonomi

Setelah 9 Tahun, Akhirnya Proton Mendapatkan Keuntungan!

Akhirnya di tahun 2019 Proton telah mencapai keuntungan setelah sembilan tahun! Malah ia menjadi pengeluar kereta kedua terbesar di Malaysia memintas Honda dan Toyota yang muncul ketiga dan keempat.

Ketua Pegawai Eksekutif, Li Chunrong yang dilantik oleh Geely untuk memulihkan semula Proton di Malaysia pada tahun 2017 setelah pembuat kereta dari China, Geely membeli 49.9% daripada saham Proton pada tahun tersebut.

Ia mengambil masa dua tahun sahaja untuk dirinya mengatasi Honda dan Toyota di Malaysia, dan kini Geely mahu bos Proton itu mengembangkan sayapnya ke luar negara.

 

Mahu Berkembang Ke Luar Negara

Menurut Reuters, mereka bercadang untuk memasuki pasaran Thailand, Indonesia, Singapura dan Brunei tetapi lebih menumpukan Thailand dan Indonesia dalam waktu terdekat.

Li juga mempunyai pasaran Timur Tengah di fikiran terutamanya di Mesir tetapi Li belum mempunyai tempoh masa untuk mengembangkan pasaran individu tetapi lebih menumpukan penjualan pasaran antarabangsa yang buat masa ini telah terjual 1000 buah kereta yang bersamaan dengan 1% keseluruhan jualan yang mana beliau mahu melihat empat kali ganda penjualan tahun ini.

Proton menyasarkan 40% penjualan datangnya daripada pasaran antarabangsa menjelang 2027.

Li juga masih merahsiakan strategi pemasaran yang bakal dilakukan oleh Proton untuk menembus pasaran antarabangsa tetapi mengakui bahawa mereka memiliki dasar yang kukuh.

“Kami memiliki asas yang kukuh. Kami komited terhadap itu, setiap tahun kami akan melancarkan model yang baharu,” kata Li.

Perjalanan Proton Masih Jauh Menurut Pandangan Penganalisis

Walau bagaimanapun, pakar dari IHS Markit berkata Proton masih merupakan pemain kecil jika dibandingkan dengan jenama Jepun. Oleh sebab itu mereka mungkin akan mengalami kesukaran untuk bersaing di pasaran luar Malaysia.

Penjualan di rantau Asean diketuai oleh Toyota yang memiliki 30% pasaran diikuti oleh Honda 13% dan Mitsubishi 10%. Proton berada di tangga ke-11 dengan 3% yang mana penjualan utamanya datang daripada Malaysia.

Misi Proton adalah sangat tinggi dan mereka mungkin bakal mengalami kesukaran dalam kapisiti pengeluaran kata Mayuree Chaiyuthanaporn, penganalisis senior IHS.

“Dari segi penjualan, Proton berkemungkinan tidak akan mendapat pulangan yang lebih lumayan di luar Malaysia.”

 

Taktik Proton Untuk Meraih Keuntungan

Proton yang kini masih dipegang secara majoriti oleh konglomerat DRB-HICOM telah memberhentikan kebanyakan model lama mereka pada tahun pertama Geely bergabung dengan mereka. Mereka kemudiannya melancarkan enam model baharu dalam masa lapan bulan termasuk Proton X70 berdasarkan rekaan Boyue oleh Geely.

Li optimis untuk memintas Perodua yang menduduki tangga teratas di Malaysia menjelang 2022, lima tahun lebih awal daripada sasaran awal ketika Geely melabur ke dalam Proton.

Proton telah berkongsi dengan Reuters beberapa tindakan pemotongan kos yang membolehkan syarikat tersebut mendapat keuntungan yang lumayan dan ini berkemungkinan besar menjadi kunci kepada pemacuan perniagaan mereka.

 

Perubahan Ketara Proton

Di antara perubahan ketara yang dilakukan oleh syarikat ini sejak Geely membeli saham Proton mungkin telah mengguriskan sensitiviti warga tempatan yang besar kemungkinan bakal menjadi masalah jika memasuki pasaran asing yang lain.

Pengeluar kereta ini telah melakukan tindakan untuk mengambil komponen lebih mudah daripada China dan melepaskan pengedar kecil tempatan sehingga tercetusnya perasaan tidak puas hati.

Mereka juga telah cuba untuk mendapatkan vendor dari Malaysia untuk bekerjasama dengan pengedar dari China supaya mereka boleh mengurangkan kos sebanyak 30%.

Proton telah berjaya memotong RM250juta kos pada tahun 2018 yang menyaksikan 12 daripada 16 gudang mereka ditutup, 1000 daripada 1500 kereta syarikat dijual serta menamatkan langganan surat khabar untuk kesemua eksekutif kecuali timbalan Li.

 

Menyinggung Perasaan Orang Melayu?

Proton juga telah berdepan dengan tuduhan dari ahli politik dan juga kumpulan industri bahawa mereka lebih menggemarkan pengedar berbangsa Cina.

Ini setelah menyaksikan 47 pengedar telah meninggalkan Proton sejak Geely mengambil alih yang mana kesemua daripada pengedar tersebut adalah syarikat Melayu menyebabkan pengedar Proton dikalangan orang Melayu telah turun daripada 42% menjadi 32% sahaja.

Menurut Persatuan Pengimpot & Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia, kebanyakan daripada mereka meninggalkan Proton kerana tidak boleh memenuhi tuntutan untuk melabur US$1juta untuk menaik taraf pusat penjualan kereta yang turut menawarkan perkhidmatan setelah pembelian kereta.

“Ia merupakan kejutan budaya,” kata Datuk Nik Izani Nik Ibrahim, timbalan presiden persatuan tersebut yang turut menambah bahawa kebanyakan pengedar telah kehilangan wang sebelum Geely memasuki Proton.

Namun, Li telah menafikan bahawa terdapat diskrimnasi perkauman dan mengatakan bahawa keputusan tersebut dilakukan atas dasar logik perniagaan.

Li berkata ramai menteri di Malaysia telah mengutarakan kekhuatiran mereka terhadap isu pengedar Melayu ini pada tahun pertama Geely memasuki Proton tetapi kini isu ini semakin reda.

Show More

Related Articles

Back to top button