Sukan

Amaran Terakhir Buat Melaka United, Kelantan & PDRM FA Tapi Apakah Nasib JDT Pada Bulan Mac Ini?

Melaka United, Kelantan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM FA) diberi amaran terakhir oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung isu tunggakan gaji pemain dan pegawainya.

Mereka diberi hingga 31 Januari ini untuk menyelesaikan isu tunggakan gaji atau bakal berdepan pemotongan mata dan disingkirkan daripada saingan Liga Malaysia (Liga-M).

 

Dua Minggu Untuk Langsaikan Hutang

“FAM semalam telah mengeluarkan surat kepada tiga pasukan berkenaan dengan memberikan tempoh masa kira-kira dua minggu bagi melangsaikan hutang berkenaan atau mencapai persetujuan pelan penyelesaian tunggakan bersama pemain atau pegawai yang terbabit.

“Namun, jika mana-mana pasukan di atas didapati gagal untuk berbuat demikian pada tarikh akhir yang ditetapkan iaitu pada 31 Januari 2020, masing-masing akan dikenakan hukuman pemotongan tiga mata secara serta merta.

 

Gagal Pada Akhir Feb Dipotong Mata

“Selepas itu, masih juga gagal diselesaikan sehingga tarikh akhir kedua yang ditetapkan iaitu pada 28 Februari, pasukan berkenaan akan dikenakan pula hukuman tambahan iaitu pemotongan sebanyak enam mata lagi,” kata Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam dalam kenyataan yang dilaporkan oleh SinarHarian.

Menurutnya, jika pembayaran gaji tersebut tetap tidak dapat diselesaikan pada tarikh akhir ketiga yang ditetapkan iaitu pada 30 Mac 2020, pasukan berkenaan akan dikeluarkan terus secara serta merta dari saingan Liga-M.

“Bagaimanapun, tiada sebarang hukuman pemotongan mata akan dikenakan jika tunggakan gaji berkenaan dapat diselesaikan sepenuhnya atau persetujuan bersama di antara pasukan dan pemain atau pegawai berjaya dicapai sebelum atau pada 31 Januari 2020.

 

Persetujuan Di Antara Kedua Pihak Tidak Bermakna Akan Terlepas

“Ingin juga diingatkan, mana-mana pasukan di atas yang telah mencapai persetujuan pelan penyelesaian tunggakan sebelum tarikh akhir pertama mereka tetap boleh dikenakan hukuman pemotongan tiga mata jika tidak membayar tunggakan kepada pemain atau pegawai berkenaan mengikut tarikh yang telah pun dipersetujui,” katanya.

 

Nasib JDT Pada Awal Mac

Akhyar Rashid. Sumber Imej: astroawani

Berhubung dengan nasib pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) tentang isu perpindahan kontroversi pemain muda negara Akhyar Rashid daripada pasukan Kedah FA ke JDT yang didakwa menggunakan kaedah ‘tapping up’ atau pintu belakang akan diketahui selewat-lewatnya pada awal Mac ini.

Stuart Ramalingam menegaskan, kelewatan Jawatankuasa Statut membincangkan keputusan unsur ‘tapping up’ yang dikemukakan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) terhadap JDT disebabkan kekangan masa serta isu-isu lain yang dilaporkan kepada badan induk itu.

 

Perbicaraan Masih Berjalan

Jelasnya, proses perbicaraan kes Akhyar sedang berjalan dan beliau mengesahkan suatu keputusan rasmi akan diketahui dalam masa terdekat.

JDT yang didakwa ‘mencuri’ dengan menggunakan pintu belakang bakal berdepan hukuman berat sekiranya didapati bersalah dalam kes ini.

Sementara itu, CAS (Mahkamah Timbang Tara Sukan) yang berpangkalan di Switzerland mengesahkan masih belum menerima apa-apa aduan rasmi daripada KFA berhubung isu Akhyar.

Mengulas mengenai perkembangan itu, Setiausaha Kehormat KFA, Mohd Asmirul Anuar Aris mengesahkan pihaknya sememangnya belum memanjangkan kes itu kepada CAS kerana mahu mengikut saluran yang ada pada setiap peringkat terlebih dahulu.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close