Sukan

Siapa Pula Buat Andaian Ada Yang Nak Sabotaj Pemain Badminton No. 1 Dunia?

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menegaskan tiada elemen sabotaj dalam insiden kemalangan jalan raya membabitkan pemain badminton nombor satu dunia, Kento Momota dan tiga individu semalam.

Beliau menegaskan insiden itu tidak diduga dan tiada pihak mahukan perkara itu berlaku dan ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja.

“Kita tak menduga ini berlaku. Tak akan kita nak itu berlaku. Tak ada elemen sabotaj. Kemalangan berlaku terhadap sesiapa walaupun dia bukan juara,” katanya kepada pemberita selepas melawat Momota di Hospital Putrajaya.

Sumber Imej : pakdin.my

Hadiah Madu Kelulut Untuk Kento Momota

“Saya telah melawat Momota dan dapati dia stabil. Kita menyesal insiden yang berlaku. Saya juga sempat ucapkan tahniah kepada Momota atas kejayaannya memenangi kejohanan badminton terbuka Malaysia. Apa-apa pun kita kesal ini (kemalangan) berlaku.

“Alhamdulillah, dia stabil dan doktor katakan apa yang dia alami boleh diatasi. Dia memerlukan sedikit masa untuk bengkak surut dan bertambah baik.

“Saya juga bertemu tiga individu lain, seorang alami sedikit kecederaan di kaki, seorang patah tulang. Semua diberikan perhatian serta rawatan terbaik. Alhamdulillah, semua stabil dan dijangka akan dapat pulih tak lama lagi,” katanya

Beliau turut menghadiahkan madu kelulut kepada Momota dan tiga mangsa terbabit kemalangan itu.

 

‘Adakah Saya Boleh Terus Beraksi?’ – Kento Momota

TheStar melaporkan bahawa persoalan pertama yang diajukan oleh Kento Momota sewaktu sedar dan melihat ketua jurulatihnya, Park Joo-bang ialah ‘adakah dia boleh terus beraksi?’

Beliau telah mengalami kecederaan di bahagian muka dengan retak tulang hidung, retak tulang pipi dan menerima dua jahitan di bahagian bibir.

Walau bagaimanapun beliau terpaksa melupakan aksi berentap di Indonesian Masters yang seharusnya beliau turut serta bermula hari ini.

Menurut BeritaHarian, Momota perlu menjalani rawatan satu hari lagi di Hospital Putrajaya sebelum dibenarkan pulang.

 

4 Cedera Ringan, 1 Mati Di Tempat Kejadian

Momota terlibat dalam kemalangan jam 4.45 pagi apabila van dinaiki lima mangsa berlanggar dengan sebuah lori 30 ton yang bergerak perlahan ketika dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Selain Momota, tiga mangsa lain adalah Pegawai Teknikal Persekutuan Badminton Dunia (BWF), William Thomas, 30, dari England; pembantu jurulatih Jepun, Hirayama Yu, 35 dan Pegawai Fisioterapi Jepun, Marimoto Akifumk, 42.

Pemandu van berkenaan, B Nageswarau, 24, yang tersepit di tempat duduknya, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

 

Ramai Wakil Media Jepun Tiba Di Malaysia

Menurut laporan SinarHarian, ramai wakil media Jepun kini berada di kawasan Hospital Putrajaya untuk mengetahui perkembangan tentang pemain badminton handalan mereka.

Mereka juga dilihat telah ‘memborong’ suratkhabar tempatan termasuk akhbar berbahasa Melayu di kedai serbaneka hospital untuk melihat gambar-gambar dan laporan mengenai Momota.

Wakil media Jepun juga dilihat mengambil gambar akhbar Malaysia selain membuat ‘stand upper’ dengan memegang akhbar tempatan yang memaparkan laporan mengenai Momota sambil membuat ulasan.

Antara yang media Jepun yang dilihat membuat ulasan mengenai liputan media tempatan mengenai Momota di sini ialah Asahi TV, Fuji TV dan Kyodo News.

Ketua Biro Kyodo News Singapura dan Malaysia Risa Suzuki berkata beliau tidak menjangka berita mengenai nahas melibatkan pemain badminton itu akan mendapat liputan yang meluas.

“Ia dilaporkan di muka hadapan. Saya tidak tahu yang Momota ada ramai peminat di Malaysia,” tambahnya.

 

Mampukah Kento Momota Kembali Menyinar Serta Kemalangan Ini?

Sudah pasti Jepun sudah meletakkan harapan yang tinggi untuk Kento Momota menyumbangkan pingat emas untuk negara matahari terbit itu di Olimpik Tokyo.

Sebuah peluang yang dilepaskan olehnya sewaktu Olimpik yang berlangsung di Rio De Janeiro apabila sebuah kejadian di mana telah menjejaskan persiapan ke kejohanan sukan berprestij tersebut.

Pada tahun 2016, Kento yang masih berusia 21 tahun ketika itu terpaksa menarik diri dari Kejuaraan Terbuka Malaysia apabila berita beliau dan rakan senegaranya Kenichi Tago telah berjudi di sebuah kasino haram di Jepun pada tahun 2015 keluar.

Kerjaya Momota yang pada ketika itu sedang meningkat naik terpaksa pulang pada pusingan kedua kerana berjudi adalah sebuah perbuatan jenayah di Jepun.

Ketua jurulatih badminton Jepun Park Joo-bong masih terkejut dengan kejadian yang menimpa Momota tetapi sempat melahirkan rasa simpati terhadap pemandu yang terkorban dalam kejadian.

 

Ramai Datang Melawat & Memberi Sokongan Kepada Kento Momota

Bekas jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei turut menyempatkan diri untuk mengunjungi Momota di Hospital Putrajaya.

Sumber Imej: BERNAMA

“Saya ada bercakap dengan beliau dan melihat keadaan dia, saya pun kasihan, apa lagi kemalangan berlaku selepas dia menang kejuaraan dan dalam perjalanan untuk pulang ke Jepun.

“Saya tahu semua peminat badminton bimbang dengan keadaan ini. Mari sama-sama doakan untuk Momota kembali sihat dan beraksi semula di gelanggang,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat pemain itu di Hospital Putrajaya.

Selain Chong Wei dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Menteri Belia Dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan timbalannya Steven Sim serta Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad serta Presiden Persatuan Badminton Malaysia Datuk Seri Norza Zakarian turut mengunjungi mangsa-mangsa yang terlibat dalam kemalangan dan memberi sokongan moral kepada Kento Momota.

 

 

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close