Isu SemasaSainsTempatan

Mari Lakukan Sesuatu Untuk Menyelamatkan Harimau Kita Sebelum Terlambat

Pada tahun 1950-an, Malaysia memiliki 3,000 ekor harimau di hutan kita tetapi kini dianggarkan kita hanya memiliki 200 ekor harimau yang menjadi simbol negara kita.

Bagi Ketua Pegawai Eksekutif WWF, Sophia Lim, kita perlu lakukan sesuatu dengan kadar segera sebelum kita kehilangan haiwan yang menjadi lambang Jata Negara kita.

 

Tidak Mahu Berulang Seperti Badak Sumatera Kita

Kehilangan badak sumbu Sumatera di Malaysia telah menjadi titik bangun bahawa kita berkemungkinan besar bakal kehilangan harimau kita jika kita tidak melakukan sesuatu untuk melindungi harimau di Malaysia.

Menurut TheStar, ancaman utama terhadap pemuliharaan harimau di Malaysia datangnya daripada pemburuan haram.

Ramai pemburu haram yang datang dari Indochina ini masuk ke hutan kita diiringi oleh orang tempatan untuk memburu harimau kerana terdapat permintaan yang tinggi terhadap haiwan tersebut yang selalunya digunakan sebagai perubatan tradisional Cina dan perkara lain.

Apa yang menyebabkan keadaan ini menjadi lebih teruk ialah apabila kerajaan China telah menarik balik larangan yang dilakukan selama 25 tahun untuk melakukan perdagangan tulang harimau yang digunakan sebagai ubatan tradisional.

Menurut Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, jika pemburuan haram ini tidak ditamatkan segera, kita bakal kehilangan harimau kita yang kini diklasifikasikan di bawah haiwan terancam kritikal oleh Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Sekitar (IUCN) dalam masa 5 hingga 10 tahun akan datang.

 

Hutan Belum- Temenggor Kawasan Panas

Salah satu kawasan yang perlu dititik beratkan ialah Hutan Belum-Temenggor yang mana jumlah harimau yang tinggal disitu berada pada paras kritikal.

Menurut Jabatan Hutan Perak, terdapat hanya 23 ekor hutan yang tinggal di Royal Belum dan Temenggor. Walhal enam hingga tahun yang lalu terdapat 60 ekor yang menghuni kawasan hutan simpan tersebut.

Ini telah menyebabkan WWF Malaysia semakin bergiat aktif dalam memerangi para pemburu haram sejak pertengahan 2018.

WWF Malaysia melancarkan sebuah pasukan rondaan sendiri yang dikenali sebagai Project Stampede.

 

Ranjer Orang Asli Sangat Membantu

Pasukan rondaan ini merangkumi 80 ranjer yang majoritinya merupakan orang asli kawasan tersebut di mana mereka tahu keadaan hutan dan mahir serta telah dilatih untuk melakukan rondaan serta mematahkan jerat dan pada masa yang sama mengumpul data aktiviti pemburuan.

“Perkara pertama ialah kami mahu juga untuk menyokong komuniti orang asli tetapi mereka juga tahu selok-belok muka bumi hutan ini dengan sangat baik,” jelas Lim.

Selain daripada jerat pemburu yang dipasang untuk menangkap harimau di dalam hutan ini, jerat ini turut mengena mangsa yang menjadi makanan harimau tersebut. Kekurangan makanan harimau turut menyumbang kepada kekurangan jumlah harimau di kawasan ini.

 

89% Jerat Berjaya Dilumpuhkan

Dari Julai 2016 sehingga Jun 2018, sejumlah 167 jerat telah dilumpuhkan dengan 518 jerat yang tidak aktif telah ditemui di sekitar kawasan rondaan.

“Terima kasih dengan Project Stampede kita berjaya mengurangkan 89% jerat dan perkara inilah yang kami boleh lakukan dengan segera,” kata Lim kepada TheStar yang juga berharap sokongan daripada pihak kerajaan serta sektor swasta dan awam turut meningkat.

 

Kita Harus Contohi India & Nepal

Sophia Lim mengambil contoh daripada kejayaan India dan Nepal sebagai inspirasi untuk dirinya apabila mereka telah berjaya bangkit daripada krisis hampir kehilangan harimau tempatan mereka sepuluh tahun lalu.

Mereka kini memiliki 50 pusat pemuliharaan di serata negara dan Times of India melaporkan sebanyak 1,411 ekor harimau telah direkodkan pada tahun 2006 telah meningkat menjadi 2,967 ekor pada tahun 2018.

Di Malaysia, Lim berkata Ops Bersepadu Khazanah merupakan antara kejayaan apabila polis melancarkan operasi dengan bekerjasama dengan Perhilitan untuk membanteras pemburuan haram.

 

Kerjasama Dengan Pihak Polis Banyak Membantu

Menurut pihak polis, seekor harimau ini boleh memperoleh ratusan ribu ringgit di pasaran gelap tetapi sejak operasi Ops Bersepadu Khazanah dijalankan yang juga melibatkan batalion Senoi Praaq yang terdiri daripada pegawai orang asli yang berkemahiran tinggi dalam menelusuri hutan belantara.

Inspektor General Polis (IGP) Datuk Seri Abdul Hamid Bador turut lantang bersuara soal melindungi hidupan liar di Malaysia turut mengemukakan hukuman yang tinggi dikenakan ke atas pesalah yang memburu haiwan liar negara.

Oleh sebab ranjer WWF-Malaysia tidak memiliki kuasa untuk bertindak ke atas pemburu haram, tindakan polis menerusi Ops Bersepadu Khazanah ini telah banyak membantu dalam perlindungan haiwan liar terancam ini.

“Kami bekerjasama dengan pihak polis dan berkongsi informasi dengan mereka jika kami melihat jejak yang berpotensi menjadi pemburu haram,” kata Lim yang sangat bersyukur dengan bantuan serta kerjasama polis.

 

Berharap Malaysia Serius Dalam Masalah Ini

Melihat kepada masa depan, WWF-Malaysia berharap pemuliharaan harimau ini boleh dimasukkan ke dalam rancangan Malaysia ke-12 yang mana mereka juga sedang melakukan kempen bagi Akta Pemuliharan Hidupan Liar 2010 akan dikuatkan supaya mesej membanteras pemburu haram ini lebih kukuh.

Selain itu, WWF-Malaysia juga sedang memohon kepada pihak kerajaan untuk mendirikan Pasukan Petugas Harimau Kebangsaan yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri serta Ops Bersepadu Khazanah untuk dijadikan perkara yang tetap supaya projek ini boleh dilanjutkan.

“Apabila semua orang bekerjasama dengan baik, dan terdapat usaha politik, sudah pasti kita mampu membanteras pengurungan bilangan harimau dalam negara. Oleh itu kami perlukan kerjasama daripada semua pihak,” ujar Lim.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close