Bisnes & Ekonomi

Adakah Kita Bakal Lihat Mata Wang Kripto Halal Dalam Masa Terdekat?

Setelah Presiden Iran, Hassan Rouhani mencadangkan negara Islam memperkenalkan mata wang kripto bersama dalam memperkukuhkan hubungan kewangan dalam dunia Islam sewaktu perbincangan meja bulat bertema “Keutamaan Pembangunan dan Cabaran” sempena Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019, ramai masih tertanya-tanya sama ada mata wang kripto ini adalah halal atau haram.

Presiden Iran, Dr Hassan Raohani. Sumber Imej: nationalinterest.org

Beliau berkata cadangan yang sama juga dibuat oleh Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini dalam mesyuarat antarabangsa untuk memperkenalkan dinar Islam bagi menggantikan dolar Amerika dalam urusan perdagangan antarabangsa.

“Mungkin hari ini dengan teknologi yang sedia ada, kita dapat memiliki mata wang (digital) untuk negara-negara Islam…serta memperoleh manfaat dan keuntungan hasil penggunaan mata wang kripto bagi mengurangkan birokrasi turun naik pasaran dunia yang teruk,” katanya dalam bahasa Parsi yang diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris.

 

Pandangan Mufti Wilayah Persekutuan Tentang Mata Wang Kripto

Jika dilihat dari hujah Mufti Wilayah Persekutuan, SS Dato’ Seri Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri setelah dinilai pandangan ulama dan sarjana Islam berkenaan bitcoin, maka didapati mata wang ini tidak menepati ciri-ciri mata wang yang ditetapkan dalam Islam apabila ia tidak mampu menyimpan nilai secara konsisten. Meskipun masyarakat umum boleh menerimanya sebagai mata wang namun ketidakstabilan nilai pada mata wang ini boleh mengundang kemudaratan kepada pengguna pada masa akan datang.

Selain itu, ketiadaan badan berautoriti yang mengawal selia mata wang ini juga boleh mengundang pelbagai perkara negatif seterusnya mampu mengganggu-gugat sistem mata wang rasmi dalam sesebuah negara.

Berdasarkan pemerhatian terhadap amalan semasa, bitcoin lebih dilihat sebagai satu aset pelaburan, dan ia tidak menepati tujuan asal penciptaan bitcoin itu sendiri, iaitu sebagai mata wang alternatif kepada sistem mata wang fiat yang sedia ada.

 

Belum Patuh Syari’iy Namun…

Maka mata wang bitcoin dalam bentuk yang ada pada masa sekarang adalah tidak syar’iy kerana ia tidak menepati sepenuhnya ciri-ciri mata wang yang digariskan oleh Islam, dan ia mampu memberikan pelbagai ancaman terhadap kemaslahatan umum.

Namun begitu, hukum ini boleh berubah jika penambahbaikan dilakukan terhadap bitcoin samada dari sudut pengeluaran, pengawalan harga, sistem keselamatan di bursa dan regulasi untuk mengelakkannya daripada diekploitasi oleh pihak tidak bertanggungjawab.

 

Jika Ramai Sokongan Mungkin Boleh Terjadi

Menurut Prof Dr Mohamad Akram, dari Akademi Kajian Shariah Antarabangsa (ISRA), satu atau lebih daripada seorang individu kerajaan Islam harus menjalankan matawang halal ini sebelum ia menjadi realiti.

“Jika lebih banyak kerajaan Islam menyokong idea ini, saya rasa ia memiliki potensi di pasaran,” katanya kepada The Malaysian Reserve.

Mohamad Akram percaya bahawa cabaran yang besar bakal dihadapi jika benar matawang kripto halal ini diperkenalkan kerana ia harus memiliki kawalan selia, orang bijak pandai dalam sektor ini dan badan berkuasa yang memhami selok-belok dalam memiliki mata wang yang selari.

“Matawang yang sama tidak akan memiliki pengaruh pertukaran kerana tidak akan wujud persaingan mata wang untuk ditukar.

Pihak berkuasa Shariah juga belum memiliki badan yang boleh memberi cadangan dalam mewujudkan piawai bagi mata wang kripto yang mematuhi shariah Islam. Malah kebanyakan kerajaan risau terhadap potensi kestabilan mata wang ini namun pada masa yang sama tidak mahu kehilangan peluang mendapat manfaat daripada teknologi baru,” kata Mohamad Akram.

Sememangnya pada masa kini terdapat bidang kuasa global sedang mempertimbangkan mereka mata wang kripto mereka sendiri untuk mengelak sekatan dari Amerika Syarikat (AS).

 

Mata Wang Kripto Oleh Negara Luar

Seperti yang dilaporkan Cointelegraph pada bulan September 2019, pihak berkuasa Korea Utara telah mengumumkan hasrat untuk mengeluarkan matawang digital mereka dengan pakar percaya bahawa inisiatif tersebut disasarkan untuk membantu negara mengelak sekatan yang dilakukan oleh AS.

Pengeluar minyak Venezuela menjadi salah satu contoh negara yang cuba untuk mengelak sekatan AS dengan menggunakan matawang kripto mereka sendiri.

Matawang yang dilancarkan pada Februari 2018 itu melihat Petro menjadi syarikat minyak pertama di dunia memiliki sokongan mata wang kripto.

 

Malaysia Ada HelloGold

Buat masa sekarang banyak syarikat yang cuba lari daripada perdebatan ketidak tentuan mata wang kripto ini dengan melancarkan instrumen berdasarkan aset fizikal dan persijilan yang dikira sah oleh penasihat Islam.

Di Malaysia contohnya, HelloGold Sdn Bhd telah melancarkan tawaran matawang kripto yang bersandarkan pada emas di bulan Oktober 2019 dan ini telah mendapat kelulusan daripada pakar Islam di Kuala Lumpur iaitu Amanie Advisors Sdn Bhd.

Menurut CMO HelloGold, Manuel Ho, matawang mereka ini dikira ‘Islamik’ kerana transaksi yang terjadi ditetapkan pada satu masa tertentu dan ia mengurangkan ketidakpastian dan isu harga samar-samar.

Tetapi perdebatan sama mata wang kripto ini haram atau halal ini masih menjadi perbualan dan masih belum ditetapkan.

 

Kertas Kerja Mata Wang Kripto & Blockchain Berdasarkan Mufti Muhamamd Abu Bakar

Di Indonesia, Blossom Finance turut mengeluarkan kertas kerja berhubung dengan bitcoin yang dibolehkan oleh Islam termasuk mata wang kripto dan blockchain.

Kajian dan pembangunan kertas kerja yang diketuai oleh Mufti Muhammad Abu Bakar, penasihat Shariah dalaman Blossom dan juga pegawai patuh Shariah syarikat tersebut telah membuat kesimpulan bahawa bitcoin mematuhi definisi wang Islam di bawah beberapa keadaan dan secara umumnya ia boleh digunakan di bawah Shariah.

Penulis kertas kerja tulis tersebut telah mengeluarkan fakta bahawa bitcoin diterima pakai sabagai matawang yang dibenarkan undang-undang Jerman oleh itu ia layak sebagai matawang Islam di negara tersebut.

“Bitcoin dibenarkan dalam prinsip kerana ia dianggap bernilai dalam pasaran pertukaran global dan ia diterima untuk melakukan pembayaran dalam pelbagai perdagangan. Malah ramai individu persendirian menerima bitcoin sebagai medium pertukaran dalam transaksi peribadi mereka,” jelas kajian tersebut.

Setelah kajian tersebut dikeluarkan pada April 2019, harga bitcoin dilihat naik mendadak menjadi lebih bernilai sebanyak US$1000 dalam masa kurang satu jam setelah ia dilihat menurun untuk berbulan-bulan.

Ini juga telah membuat spekulasi para analisis bahawa berita tentang bitcoin patuh shariah ini telah menyumbang kepada peningkatan harga bitcoin yang naik secara mendadak.

Show More

Related Articles

Back to top button