Bisnes & Ekonomi

Anting-anting Buatan Tangan Mereka Dapat Membantu Pelarian Terus Belajar Di Malaysia

Sebuah projek yang pada awalnya hanya untuk meningkatkan dana bantuan supaya pendidikan percuma dapat diberikan kepada kanak-kanak pelarian di ‘Fugee School’ Malaysia telah menjadi sebuah jenama aksesori yang semakin dikenali dan berkembang baik.

Fugeelah, sebuah perniagaan sosial yang menjual aksesori buatan tangan oleh para pelajar sekolah Fugee ini telah sedikit sebanyak membantu dalam kelangsungan persekolahan mereka.

 

200 Pelajar Di Sekolah Fugee

“Ini membantu sekolah mereka berjalan dan memberi pendidikan percuma untuk 200 pelajar yang menuntut di sekolah tersebut. Melalui cara ini, kami berharap ia boleh menjadikan Sekolah Fugee menjadi organisasi yang mampu menampung diri sendiri dan keluar dari tekanan untuk keperluan untuk sentiasa mengadakan pengumpulan dana,” kata Deborah Henry, mantan Miss Malaysia World 2007 yang telah lebih 10 tahun membantu sekolah pelarian ini.

Antara anting-anting hasil rekaan pelajar Fugee School. Sumber Imej: unplugged.my

“Kini kami menggaji empat pelajar perempuan dari Sekolah Fugee yang mana kami memberi mereka elaun RM10 setiap jam mereka membuat perhiasan dan bekerja di bazar Fugeelah.

Sedikit kebebasan yang diberikan yang disokong dengan bantuan kewangan ini sudah pasti memberi perbezaan yang besar untuk mereka,” jelas Henry yang menambah bahawa melibatkan mereka dalam aspek perniagaan ini telah memberi mereka kemahiran tambahan yang boleh mereka gunakan di mana sahaja belahan dunia yang mereka mahu tinggal secara tetap pada satu hari nanti.

 

Bagaimana Miss Malaysia World 2007 Ini Boleh Terlibat Dengan Fugeelah

Deborah Henry mula bergiat aktif dalam selok-belok persekolah di Sekolah Fugee ini apabila menjadi sebahagian daripada dokumentari program yang dikelolakan oleh Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) lebih 11 tahun yang lalu.

Deborah Henry bersama pelajar di Sekolah Fugee. Sumber Imej: malaymail.com

Deborah Henry yang ditugaskan sebagai hos ketika itu tidak menyangka dirinya kini menjadi tulang belakang bagi sekolah tersebut.

“Apabila kali pertama saya berjumpa mereka, saya tidak hanya melihat mereka sebagai sebuah keluarga. Apa yang saya lihat ialah kesan yang bakal berlaku jika mereka tidak dapat menerima pendidikan, tidak memiliki harapan dan tidak ada sokongan. Saya meninggalkan rumah mereka pada hari tersebut dan beritahu diri saya bahawa saya tidak boleh hanya berlalu pergi,” katanya kepada The Malaysian Reserve.

Setelah Henry meningggalkan rumah keluarga Somalia itu pada tahun 2008, kini beliau telah memberi impak kepada lebih 1000 pelarian dalam masa 10 tahun.

 

“Saya Harus Lakukan Sesuatu!”

“Saya masih ingat beredar dari situ dan berfikir saya perlu melakukan sesuatu yang lebih. Saya memutuskan untuk datang semula dan mengajar kanak-kanak itu sendiri. Dan pada tahun 2009, rakan universiti saya, Shikeen dan saya mula memberi tuisyen kepada mereka.

Setelah itu, komuniti pelarian yang berada di sekitar situ mula tahu kehadiran kami dan ketika itulah Sekolah Fugee bermula sedekad yang lalu,” cerita Deborah Henry.

Kini sekolah tersebut memberi pendidikan dari sekolah rendah, sekolah menengah dan juga peluang pendidikan pengajian tinggi untuk kanak-kanak pelarian dan para pencari suaka terutamanya yang datang dari Somalia dan Timur Tengah.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by FUGEE (@fugee_org) on

 

Sukar Mendapat Sokongan Pihak Berkuasa

“Sewaktu permulaan sekolah Fugee, saya rasa terdapat kurang sokongan daripada pihak kerajaan kerana pada ketika itu mereka tidak tahu bagaimana cara untuk menangani masalah pelarian dan mereka pura-pura tidak tahu masalah ini muncul di negara ini. Malah setiap kali permasalahan tentang para pelarian ini diutarakan, ia akan senyap begitu sahaja,” kata Henry.

Menurutnya, Malaysia perlu mengiktiraf masalah pelarian ini terjadi di Malaysia kerana ia tidak akan selesai ataupun berakhir pada masa dekat. Jika kita bersama melihat permasalahan ini, sudah tentu ia akan diselesaikan dengan lebih cepat.

Ini kerana pada ketika ini Malaysia masih belum memiliki garis panduan untuk menangani masalah pelarian yang datang ke perairan negara.

Perkara ini juga membuat pihak UNHCR sukar untuk mewujudkan persekitaran yang selamat bagi pelarian di negara ini yang kini sudah mencecah nilai 1.5 juta orang.

 

Malaysia Tiada Undang-Undang Perlindungan Kepada Mangsa Pelarian Yang Datang

Dari segi undang-undang Malaysia, status pelarian ini hampir sama dengan pendatang asing tanpa izin oleh itu mereka juga boleh ditangkap, dipenjara, diadili, disebat dan diarahkan pulang.

Walau bagaimanapun status mereka sebagai pelarian sudah pasti sukar apabila mereka dipaksa pulang ke negara yang sedang bergolak. Bagaimana pula dengan nyawa mereka nanti? Adakah mereka akan selamat? Apakah masa depan mereka nanti terutamanya mereka yang masih kecil dan belum mampu berdikari.

Deborah Henry mencadangkan supaya supaya status pelarian mereka perlu didaftar dan semua data mereka perlu diketahui oleh setiap pihak berwajib supaya kekeliruan tidak akan terjadi.

Buat masa kini hanya kad yang dikeluarkan oleh UNHCR sahaja yang mereka miliki dan apabila mereka dirompak, untuk mendapatkan kad baru dan potensi ditangkap oleh pihak berkuasa kerana tidak memiliki kad tersebut adalah tinggi.

 

Teknologi Sudah Canggih, Marilah Lakukan Sesuatu

Deborah Henry menegaskan dengan sistem teknologi yang canggih pada masa kini, sudah tentu sebuah sistem yang lebih sistematik mampu dilakukan oleh negara kita untuk mereka yang datang ke negara kita yang dikatakan aman.

Malah jika mereka diberikan peluang untuk bekerja di Malaysia ia akan memberi mereka lebih keselamatan dan kestabilan hingga mampu menjadi kebajikan dan pendidikan masing-masing.

Sebuah laporan yang dikeluarkan pada bulan April 2019 juga telah menggariskan bahawa potensi positif dari segi ekonomi yang mereka boleh bawa ke Malaysia boleh mendatangkan lebih RM3 bilion kepada GDP negara dan RM50 juta dalam bentuk cukai dalam masa limat tahun akan datang.

Buat masa sekarang, kebanyakan daripada pelarian ini bekerja secara tidak rasmi dan selalunya dalam skop kerja yang dikategorikan berbahaya.

“Saya sangat berharap kerajaan akan membenarkan mereka untuk bekerja. Ia akan memberi mereka maruah dan rasa hormat diri yang pada masa sama menyumbang kepada ekonomi negara,”ujar Deborah Henry.

Show More

Related Articles

Back to top button