AntarabangsaIsu Semasa

Kisah Disebalik Pembunuhan Politik Paling Dahsyat Di Selatan Filipina: Mengapa Mereka Dibunuh?

Pada 19 Disember 2019, Andal Ampatuan Jnr bersama empat lagi saudaranya didapati bersalah membunuh 57 orang termasuk sekumpulan petugas media pada 23 November 2009, bertujuan menyekat pesaingnya dalam pilihan raya tempatan dan dijatuhi hukuman penjara 30 tahun tanpa parol.

Ampatuan Jr. sewaktu di dalam mahkamah. Sumber Imej: alJazeera

Polis mendakwa 58 orang dibunuh, namun mayat mangsa ke 58 itu tidak pernah ditemui.

Ia merupakan pembunuhan beramai-ramai atas kerakusan kuasa politik paling kejam di Filipina.

 

Pembunuhan Terancang

Perancangan yang dilakukan di sebuah hotel megah di Filipina sambil ketawa riang seperti merancang sebuah pesta yang sebenarnya membincangkan pelan pembunuhan beramai-ramai hingga empat bulan setelah itu 58 mangsa dibunuh di atas bukit di pinggir sebuah perkampungan di wilayah selatan yang bergolak.

Keluarga Ampatuan ini merupakan keluarga sangat berpengaruh di wilayah selatan Maguindanao. ayah kepada Andal Ampatuan Jnr, Andal Ampatuan Sr memiliki kemampuan untuk menculik sesiapa pun di jalanan dan membunuhnya menggunakan gergaji elektrik dan orang lain tidak mampu bersuara tentangnya.

 

Bagaimana Keluarga Ampatuan Jadi Sangat Berpengaruh Di Selatan Filipina

Tengah: Andal Ampatuan Sr. , Sumber Imej: Voice of America.

Semua ini berlaku apabila Andal Ampatuan Sr melihat peluang terbuka sewaktu diktator Ferdinand Marcos telah melarikan diri dari Filipina pada tahun 1986 dan kesemua pengawal regime Marcos turut hilang melarikan diri.

Pada tahun 1988, Ampatuan Sr mencalonkan diri dan menang sebagai Datuk Bandar di perkampungannya, Shariff Aguak. Pada tahun itu juga dia pernah dituduh membunuh pesaingnya tetapi pertuduhan tersebut tidak diteruskan.

Pada ketika itu Maguindanao sudah pun berbelah bahagi kerana pertempuran berdarah di antara puak pemisah Islam.

Kuasa di kawasan tersebut terletak pada Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) yang memiliki sokongan daripada populasi lebih daripada satu juta orang yang kebanyakannya terdiri daripada orang Islam.

Walaupun pihak tentera juga hadir di kawasan tersebut namun kehadiran mereka selalu dikalahkan oleh MILF.

 

Ampatuan VS MILF

Ampatuan mengambil kesempatan dengan bersekutu dengan pihak kerajaan dan pihak tentera pula melihat keberanian Ampatuan dalam mengendali para pemberontak dengan cara yang brutal telah menyebabkan Ampatuan mampu membina kumpulan militia dengan angka hampir mencecah 2000 orang.

Walau bagaimanapun, persepakatan ini juga telah mengorbankan anak sulung Ampatuan setelah pihak pemisah membunuh anak sulung itu dengan peledakan bom pada tahun 2002.

Sebagai balasan, Ampatuan telah membunuh lebih 100 wanita, lelaki dan kanak-kanak, sesiapa sahaja yang diperkirakan menjadi suspek, telah dibunuhnya.

Salah satu fakta yang telah didapati oleh penyelidik ialah terdapat satu kejadian di mana tujuh orang dibawa masuk ke dalam rumah agamnya dan telah dibunuh menggunakan gergaji elektrik.

 

Kejadian Pembunuhan Beramai-Ramai Turut Melibatkan Mangsa Tidak Berkaitan

Kejadian pada 23 November 2009 pula terjadi apabila Mangudadatu, yang kini menjadi ahli dewan perwakilan telah menghantar isteri serta dua kakaknya untuk memfailkan pencalonan ke atas dirinya untuk menjadi Datuk Bandar wilayah Maguindanao sekaligus mencabar keluarga Ampatuan sewaktu pilihan raya.

Datuk Bandar Maguindanao terkini, Esmael Mangudadatu. Sumber Imej: mindanaonewsmakers.wordpress

Konvoi tersebut yang turut disertai oleh para wartawan disekat oleh sekumpulan lelaki bersenjata dan dibawa ke sebuah bukit berdekatan di mana mereka dibunuh beramai-ramai dan ditanam bersama kenderaan yang mereka naiki.

Enam mangsa yang menaiki motor yang tidak memiliki kaitan dengan konvoi tersebut turut menerima nasib yang malang apabila mereka tidak sengaja melalui sekatan jalanan tersebut.

Kisah pembunuhan ini telah menyebabkan dunia melihat Filipina sebagai sebuah negara yang membenarkan kuasa terhadap ahli politik kaya dan juga hartawan untuk bertindak melanggar undang-undang.

Keluarga Ampatuan ini memiliki kekuatan berpolitik yang kuat terutamanya sewaktu pemerintahan Presiden Gloria Arroyo yang membenarkan mereka membina kumpulan militia tersendiri sebagai penampan ke atas pemberontakan pihak militan yang berlarutan di Selatan Filipina.

Kawasan pembunuhan beramai-ramai yang telah digali untuk bukti. Sumber Imej: waves.ca

Setelah 10 Tahun Akhirnya Dijatuhkan Hukuman

Sebelum Ampatuan dijatuhkan hukuman oleh pihak mahkamah, keluarga mangsa terkorban sempat megadakan perarakan menuntut keadilan setelah 10 tahun pembunuhan sadis tersebut yang juga mengorbankan 32 anggota media.

“Kami sudah lama tahu siapakah dalang disebalik semua ini. Mereka perlu mendapatkan pembalasan yan adil,” kata Jergin Malabanan yang mana ibunya merupakan di antara wartawan yang terbunuh pada kejadian tersebut.

Malabanan yang sewaktu itu masih berusia 15 tahun terpaksa menjadi tulang belakang keluarga dan menjadi empat adik-beradik yang lain setelah kematian ibunya, Gina de la Cruz yang telah berpisah dengan suaminya.

Sebahagian daripada kawasan tempat kejadian pembunuhan beramai-ramai. Sumber Imej: subselfie.com

Kes yang ditangguhkan selama bertahun-tahun lamanya kerana terdapat unsur rasuah dan taktik penangguhan ke atas tertuduh melihat perbicaraannya berakhir pada bulan Julai yang lalui tetapi mahkamah Agung memberi hakim mahkamah rendah hingga 20 Disember untuk memperlihatkan kes berdasarkan bukti dan 100 defendan.

Sebuah helikopter tentera turut menjatuhkan bunga ke atas bukit yang mana 58 mangsa pembunuhan beramai-ramai itu ditemui.

Akhirnya Andal Ampatuan Jr dijatuhkan hukuman 30 tahun penjara tanpa parol bersama 43 orang yang lain termasuk tujuh daripada mereka merupakan saudaranya sementara dua lagi ahli keluarga Ampatuan didapati tidak bersalah.

Walaupun kini kuasa keluarga Ampatuan sudah tidak lagi ada kerana mereka tidak lagi memegang jawatan tertinggi di wilayah Maguindanao namun terdapat 25 saudara-mara keluarga tersebut telah memenangi kerusi di pilihanraya bulan Mei yang lalu.

Show More

Related Articles

Back to top button