Isu SemasaSains

Beruk Boleh Bantu Memerangi Tikus Di Ladang Kelapa Sawit?

Saintis tempatan telah menemukan mekanisma semulajadi untuk mengurangkan penggunaan racun di ladang kelapa sawit negara.

Hasil kajian mereka ini telah menemukan sesuatu yang agak mengejutkan apabila beruk yang sering dikaitkan sebagai penceroboh tanaman kelapa sawit itu sebenarnya membantu memerangi musuh utama ladang kelapa sawit.

Pemerhatian Dua Tahun

Penemuan yang dilakukan setelah mengadakan pemerhatian selama dua tahun oleh sekumpulan pengkaji dari Universiti Sains Malaysia (USM) di ladang kelapa sawit di Segari Melintang, Perak.

“Kami sangat kagum dengan penemuan bahawa beruk (Macaca nemestrina) yang selalunya kita fikir memakan buah-buahan dan adakalanya cicak dan juga burung ternyata juga memakan tikus.

Sumber Imej: businessinsider.sg

Saya tidak menyangka mereka memburu tikus besar malah memakan sangat banyak daging haiwan tersebut,” kata pensyarah kanan USM, Dr Nadine Ruppert kepada TheStar.

Data yang dikutipnya dari Januari 2016 hingga September 2018 telah menunjukkan bahawa setiap kumpulan yang terdiri daripada 44 beruk itu telah membunuh lebih kurang 3,000 tikus setiap tahun.

“Tumbuhan yang dimakan oleh beruk ini pula adalah sangat sedikit. Ia adalah kurang daripada 0.6% dari jumlah keseluruhan tanaman,” katanya.

Jika dibandingkan dengan tikus yang memakan 10% daripada tanaman kelapa sawit, sudah tentu tikus dilihat sebagai musuh utama tanaman kelapa sawit.

Beruk Boleh Bantu Kurangkan Penggunaan Racun?

“Jika kita membenarkan beruk ini untuk menjadi pemangsa bagi tikus ini, industri kelapa sawit boleh jimat dalam pembelian racun selain daripada melindungi hidupan liat,” tambah Dr Nadine.

Sebuah laporan yang dikeluarkan oleh Current Biology, sebuah jurnal saintifik pada bulan Oktober yang lalu telah melaporkan bahawa beruk ini telah disalah anggap sebagai penceroboh dan pemusnah ladang kelapa sawit.

Dalam laporan itu turut mengatakan bahawa beruk ini boleh menyumbang kepada aktiviti hijau di mana ia boleh digunakan sebagai agen kawalan biologi. Laporan itu juga telah menyatakan bahawa kerosakan yang dilakukan oleh beruk ini adalah kurang dibandingkan tikus.

Menurut laporan, kerosakan yang dilakukan oleh tikus boleh dinilaikan sebanyak RM3.9bilion setiap tahun.

Kajian tersebut telah dijalankan oleh pelajar PhD University of Leipzig, Anna Holzner yang turut diketuai oleh Nadine.

Tiga Tahun Untuk Mendekati Beruk Di Ladang Kelapa Sawit

“Tidak banyak informasi ataupun kajian tentang beruk dan ia mengambil masa tiga thaun untuk kami mendekati beruk ini,” tambah Nadine.

Ia hanya setelah haiwan primat tersebut sudah terbiasa dengan kehadiran mereka, para pengkaji ini boleh mengikuti mereka ke dalam hutan,” jelas Nadine.

“Kami tidak memberi mereka makanan atau menyentuh mereka ini adalah supaya mereka masih berkelakuan semulajadi.

Kami mahu memelihara primat ini dan juga habitat semulajadi mereka serta menghasilkan koridor semulajadi di landskap ladang kelapa sawit itu,” ujar Nadine.

 

Boleh Bantu Pekerja Di Ladang Menangani Kehadiran Beruk

Apabila dipersoalkan tentang para pekerja yang sering mengalami kejadian negatif semasa berhadapan dengan beruk di ladang, Nadine berkata dia dan pasukannya sudah bersedia untuk memberi solusi terbaik untuk mengatasi masalah tersebut.

“Kami akan mengajar mereka cara terbaik untuk berhadapan dengan primat tersebut,” kata Nadine.

Menurut Nadine, beruk ini tinggal di dalam hutan dan hanya akan memasuki ladang kelapa sawit pada jarak 500meter dari kawasan hutan sebelum kembali ke habitat mereka setelah kenyang.

Mereka tidak menyerang manusia kecuali jika diancam atau sering diberi makanan oleh manusia ataupun disimpan di dalam sangkar sebagai haiwan peliharaan.

Nadine berkata beruk ini boleh melakukan hal yang sama dilakukan oleh burung hantu.

“Kedua-dua beruk dan burung hantu ini boleh mencari makanan di dalam ladang kelapa sawit. Burung hantu melakukannya di malam hari manakala beruk melakukannya pada siang hari,” tambah Nadine.

 

Sime Darby Lebih Memilih Burung Hantu

Namun begitu, syarikat kelapa sawit terbesar dunia, Sime Darby Plantation Bhd berkata mereka masih menggunakan burung hantu sebagai haiwan pilihan untuk mengatasi masalah tikus di ladang kelapa sawit.

“Menurut peladang, pemangsa yang paling efektif ialah burung hantu diikuti oleh ular dan burung helang.

Kami memiliki beberapa kotak burung hantu di setiap hektar ladang kelapa sawit milik kami, kata pegawai eksekutif pengurusan kualiti dan kelestarian, Nur Aida Ab Ghani.

Nur Aida berkata kajian lebih mendalam perlu dilakukan untuk melihat kadar keberkesanan haiwan tersebut dalam membantu membasmi tikus ini termasuk keupayaan mereka untuk bersatu di dalam sesebuah kawasan.

“Kami perlukan lebih input tentang perbandingan di antara keberkesanan dalam kepelbagaian haiwan untuk menangani masalah populasi tikus ini serta potensi kemusnahan yang mungkin terjadi,”jelas Nur Aida.

Show More

Related Articles

Back to top button