AntarabangsaIsu Semasa

Firma Reka Bentuk Malaysia Antara Yang Terpilih Dalam Pembangunan Ibu Kota Indonesia Yang Baharu

Sebuah firma reka bentuk Malaysia, Veritas Architects yang bekerjasama dengan PT. Mitra Adhi Reka Utama dari Jakarta telah dipilih di antara tiga firma arkitek untuk memberi perkhidmatan perancangan utama bagi Indonesia membina ibu kota mereka yang baharu yang dirancangkan bakal berlangsung pada penghujung tahun hadapan.

Gabungan dua firma Malaysia-Indonesia itu telah mengemukakan visi mereka untuk “Ibu Kota Negara” yang bakal didirikan di Utara Penajam Paser dan Kutai Kartanegara, Timur Kalimantan.

Kedua-dua firma tersebut telah melakukan penyampaian bersama di dalam sebuah pertandingan reka bentuk antarabangsa yang telah menarik 292 peserta dari seluruh dunia.

 

Kesemua Reka Bentuk Dipersembahkan Di Hadapan Presiden Jokowi

Ia merupakan sebuah pertandingan yang dianjurkan oleh pihak Kementerian Pekerjaan Umum dan Perumahan Rakyat Republik Indonesia dengan hadiah bernilai RM1.4juta untuk lima konsep terbaik yang boleh menciptakan karya segaris dengan bandar hutan pintar.

Kesemua peserta telah menyampaikan visi mereka di hadapan Presiden Joko Widodo pada 20 Disember yang lalu sebelum para juri menyenarai pendek mereka menjadi tiga.

Tiga pemenang teratas ini akan bekerjasama untuk memperhalusi pelan utama bersama pasukan Indonesia dan arkitek antarabangsa beserta perancang bandar tersebut.

Pihak juri yang terdiri daripada arkitek serta perancang bandar termasuk Gabenor Jawa Barat, Ridwan Kamil, pemahar hebar I Nyoman Nuarta yang merekacipta patung Garuda Wisnu Kencana di Bali dan Masjaya, dekan dari Universiti Mulawarman dari Samarinda.

 

Kota Seribu Galur

Pasukan Veritas yang diketuai oleh Michael Tan sebagai ketua projek dengan sokongan oleh Naib Presiden Veritas, Lillian Tay sebagai ketua reka bentuk dan Ng Yiek Seng sebagai pengarah perancangan.

Karya mereka telah memperlihatkan budaya yang pelbagai yang disertakan dengan tradisi tenunan kepulauan Indonesia yang mereka beri nama “Kota Seribu Galur”.

Sumber Imej: astroawani

 

Bandar Hutan Pintar

Bandar hutan pintar yang digariskan oleh pihak kerajaan Indonesia ini juga menegakkan strategi pembangunan termasuk pemuliharaan dan penanaman semula hutan untuk persekitaran yang alami di pusat Kalimantan itu setelah berdekad mengalami aktiviti perlombongan dan perladangan.

Mereka juga mahukan sebuah reka bentuk yang mencirikan identiti bangsa mereka sejajar dengan kelestarian dari pelbagai aspek yang pada akhirnya membantu penduduk hidup dalam kebahagiaan.

Ini adalah supaya sebahagian daripada warisan alami boleh dipulihkan dan mencegah daripada hilangnya khazanah alam pada masa akan datang.

“Kami menyokong iltizam Presiden Joko Widodo untuk menjadikan impian ini sebuah realiti untuk bangsa Indonesia,” kata Tay dalam sebuah kenyataan yang dipetik dari TheStar.

“Sebagai firma dari Malaysia, kami berasa bangga untuk dipilih menjadi pasukan teratas untuk bekerjasama dalam sebuah pendekatan kolaborasi yang unik dan membangunakan ibu kota yang baharu. Kedua-dua negara memiliki persamaan dalam kepelbagaian warisan dari segi tradisi budaya, bahasa, kesusasteraan, amalan, makanan, sosial dan budaya popular.

Oleh itu kami percaya kami juga mampu memberi reka bentuk lestari dengan pengalaman serta pengajaran yang kami dapat melalui pembangunan infrastruktur Putrajaya sebagai ibu kota baharu,” kata Tay.

Tay menambah bahawa bandar ini akan menjadi sebuah bandar di mana orang boleh berjalan kemana sahaja sama ada ke tempat kerja, ke sekolah dan juga ke taman.

 

 

Pemindahan Ibu Kota Dari Jakarta Ke Kalimantan

Pada bulan Ogos yang lalu, Presiden Jokowi mengesahkan ibu negara Indonesia akan dipindahkan dari Jakarta ke Kalimantan.

Salah satu faktor keputusan itu dibuat adalah kerana kawasan ibu negara tersebut yang berdataran rendah yang terdedah kepada banjir dan berisiko tenggelam.

Menurut SinarHarian, rancangan tersebut pernah disuarakan buat pertama kali pada 1940-an.

“Idea untuk memindahkan ibu negara telah muncul sejak era pemerintahan bekas Presiden Sukarno. Malah, idea itu sering disuarakan pada setiap penggal pemerintahan presiden.

“Tetapi, ia tidak pernah diputuskan atau dibincangkan,” kata Jokowi pada April lalu.

Sebelum ini, pakar telah memberi amaran langkah itu akan menelan kos berbilion Dolar, namun Menteri Perancangan, Bambang Brodjonegoro memaklumkan kerajaan terpaksa menanggung kerugian 100 trilion Rupiah (RM29.5 bilion) akibat kesesakan trafik di Jakarta.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close