AntarabangsaIsu Semasa

Apakah Nasib Orang Islam Di India Pada Masa Akan Datang?

Disebalik jaminan yang diberikan PM India kepada orang Islam di negara tersebut, masih timbul rasa ragu dikalangan rakyat Islam di India.

Rikat Hashmi seorang penuntut universiti menjelaskan kenapa dia berasa cemas dengan masa depannya sebagai seorang India Muslim.

Seperti kebanyakan orang Islam di India, kini dia sering tertanya-tanya tentang nasibnya pada masa akan datang.

Adakah dia akan dinafikan pekerjaan kerana agama? Adakah dia akan diusir dari rumahnya? Adakah dia akan dibunuh kumpulan perusuh? Adakah ketakutan itu akan berakhir?

 

Bersabarlah…

“Bersabarlah,” kata ibu Rikat selepas kejadian keganasan di kampus universiti, Jamia Millia Islamia di ibu negara.

Penuntut di universiti tersebut didakwa dipukul pihak berkuasa untuk menghentikan mereka mengadakan protes terhadap undang-undang kewarganegaraan kontroversi yang diluluskan kerajaan pada 11 Disember lalu.

Akta Pindaan Kerakyatan (CAA) tersebut mencetuskan kemarahan banyak pihak berikutan ia membuka laluan kepada rakyat teraniaya bukan Islam dari Bangladesh, Pakistan dan Afghanistan untuk mendapatkan kerakyatan.

Orang Muslim dikecualikan dan ia jelas satu bentuk diskriminasi terhadap golongan tersebut.

 

Bermula Dengan Protes Aman Kini Menjadi Mangsa Kekerasan Polis

Menurut Rikat, gadis yang sedang melanjutkan pengajian ijazah dalam bidang pergigian di universiti itu, dia hanya pernah menyaksikan demonstrasi aman.

Kini, dia menjadi mangsa tindakan kekerasan polis selepas protes di universiti tersebut bertukar ganas.

“Saya masih ingat bagaimana polis menyerbu hostel kami. Kami terus mematikan lampu dan bersembunyi. Saya terselamat pada masa itu. Tetapi, apa yang jelas, tidak kira anda suarakan kritikan atau tidak. Anda tetap jadi sasaran kerana anda adalah orang Muslim,” ujarnya.

 

Kehidupan Sebagai Minoriti Di India

Rikat turut mengimbas semula cerita ketika zaman kanak-kanaknya.

“Lena saya sering dikejutkan dengan lagu keagamaan Hindu. Ini kerana kami satu-satunya keluarga orang Islam yang tinggal di kawasan kejiranan majoriti penganut Hindu di negeri Orissa tersebut,” jelasnya.

Menurut gadis itu, mereka sering meraikan perayaan bersama jiran yang lain tidak kira ketika sambutan Aidilfitri atau festival keagamaan Hindu.

 

PM Minta Rakyatnya Bertenang Tetapi…

Situasi yang semakin tegang menyebabkan Perdana Menteri, Narendra Modi menggesa rakyat supaya bertenang.

“Ini adalah masa untuk mengekalkan keamanan, perpaduan dan persaudaraan. Mereka yang membakar dan merosakkan harta benda boleh dikenal pasti menerusi pakaian mereka,” katanya di hadapan penyokongnya.

Pemimpin nasionalis tersebut tidak memperincikan tentang ‘pakaian’ itu, namun Rikat melihat ia seperti satu bentuk serangan terhadap agama.

‘Saya berusia 16 tahun ketika mula memakai tudung dan saya dikelilingi ramai rakan berhijab selepas melanjutkan pengajian di Universiti Aligarh Muslim. Jadi, saya memutuskan untuk terus bertudung,” jelas gadis itu lagi.

 

Diskriminasi Pakaian Wanita Islam

Pada usia 22 tahun, Rikat berasa sudah tiba masanya untuk beliau bersuara tentang dasar diskriminasi di negara itu.

“Tetapi, saya digelar ‘antinasional’ dan ‘anti-Hindu’ apabila cuba untuk memperjuangkan perkara itu dan mereka mula menggunakan isu Hindu-Muslim sebagai cara menutup mulut kami. Kita berada di era baharu yang berbahaya yang mana agama dan nasionalisme saling berkaitan.

“Kadangkala saya rasa orang sekeliling akan memandang sinis hanya kerana saya berhijab,” tambahnya.

 

Islamofobia Sedang Merebak Di India?

Ia mungkin dianggap sebagai ketakutan tidak rasional, namun hakikatnya atmosfera Islamofobia sedang merebak.

Parti pemerintah secara terang-terangan menyokong ideologi nasionalis Hindu dan beberapa undang-undang diskriminasi agama manakala kumpulan pelampau diberi kuasa untuk melakukan jenayah kebencian terhadap orang Islam yang mana populasi Muslim kini mencecah 200 juta orang di India.

 

Modi: Penduduk Islam Asal India Tidak Perlu Bimbang

Menurut laporan SinarHarian, Perdana Menteri India, Narendra Modi yang berdepan tekanan hebat susulan protes ganas yang membantah undang-undang kerakyatan kontroversi cuba meredakan keadaan dengan memberi jaminan kepada orang Muslim di negara itu.

“Penduduk Islam yang berasal daripada nenek moyang mereka orang India tidak perlu bimbang dengan Akta Pindaan Kerakyatan (CAA) itu dan rancangan untuk mendaftarkan rakyat,” katanya di hadapan ribuan penyokongnya hari ini.

 

Tuduhan Ke Atas Parti Pembangkang

Pemimpin nasionalis itu turut menuduh parti pembangkang, Parti Kongres menerima keganasan itu dan mereka didakwa menyebarkan khabar angin semua orang Islam akan dihantar ke pusat tahanan.

“Tiada kem tahanan seperti itu. Semua cerita itu adalah pembohongan semata-mata,” katanya.

Terdahulu, parti pemerintah pimpinan Modi didakwa sedang memperluaskan program di seluruh negara untuk meraih sokongan terhadap undang-undang kerakyatan kontroversi yang telah mencetuskan bantahan ganas di negara itu.

Parti Bharatiya Janata (BJP) merancang untuk mengadakan lebih 250 sidang media dan mengedarkan bahan bercetak dalam bahasa India tempatan untuk menentang protes besar-besaran tersebut yang didakwa kumpulan demonstrasi sebagai serangan terhadap perlembagaan sekular negara itu.

Dalam perhimpunan sebelum ini, pemimpin nasionalis terbabit telah mencetuskan kemarahan orang Islam selepas beliau dengan lantang berkata penunjuk perasaan boleh dikenal pasti melalui pakaian mereka yang merujuk kepada tudung dan pakaian orang Muslim.

 

Apakah Langkah Modi Seterusnya?

Semalam, Modi dilaporkan bertemu Majlis Menteri untuk membincangkan langkah bagi menghentikan keganasan yang tercetus susulan protes membantah undang-undang kewarganegaraan kontroversi yang diluluskan pada 11 Disember lalu.

“Sesi tersebut dipanggil untuk menilai keadaan semasa akibat bantahan besar-besaran terhadap undang-undang berkenaan,” kata pegawai kerajaan.

Difahamkan, ia adalah protes terbesar terhadap kerajaan nasionalis Parti Bharatiya Janata (BJP) pimpinan Modi sejak beliau dilantik pada tahun 2014.

Uttar Pradesh, negeri paling ramai penduduk yang dipimpin BJP menyaksikan keganasan paling buruk.

Siri demonstrasi terus melanda beberapa bahagian negara itu termasuk negeri timur laut, Assam selepas penduduk mendakwa undang-undang itu memudahkan migran bukan Islam dari Afghanistan, Bangladesh dan Pakistan yang menetap di India sebelum 2015 untuk mendapatkan kewarganegaraan.

Sementara itu, pihak berkuasa memaklumkan angka kematian protes ganas sejak 10 hari lalu kini mencecah sekurang-kurangnya 25 orang manakala lebih 7,000 individu telah diberkas di bawah undang-undang darurat atau atas kesalahan merusuh.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close