Isu SemasaTempatan

Pengusaha Petrol Masih Belum Dapat Maklumat Perlaksanaan Kad95

Hanya seminggu lebih untuk kita melangkah ke tahun 2020 dan pelbagai pembaharuan akan dijalankan salah satunya ialah subsidi petrol.

Walau bagaimanapun, menurut The Malaysian Reserve pengusaha pam minyak masih belum jelas tentang mekanisme kad petrol yang bakal dilaksanakan bagi yang bakal mendapatkan subsidi tersebut.

Siapa Yang Layak?

Pihak kerajaan telah mengumumkan bahawa setiap rakyat yang memiliki tidak melebihi dua kereta dan dua motosikal yang layak, berhak menerima PSP untuk satu kenderaan sahaja.

Berdasarkan laporan mStar, kenderaan yang layak untuk Program Subsidi Petrol (PSP) adalah seperti berikut:

1. Kereta dengan kapasiti enjin 1,600cc dan ke bawah, atau

2. Kereta dengan kapasiti enjin melebihi 1,600cc yang berusia lebih 10 tahun; atau

3. Motosikal dengan kapasiti enjin sehingga 150cc dan ke bawah; atau

4. Motosikal dengan kapasiti enjin melebihi 150cc yang berusia lebih 7 tahun.

Ia bakal dilancarkan di Semenanjung Malaysia dengan dua kategori kelayakan.

 

B40 Menerima BSH Dapat Tunai

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, bagi penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) bagi kumpulan (B40) yang layak, subsidi petrol yang diberikan untuk setiap penerima adalah sebanyak RM30 sebulan untuk pemilik kereta atau RM12 sebulan untuk pemilik motosikal.

“Subsidi ini akan diberi dalam bentuk pemindahan tunai dan akan dikreditkan terus ke akaun bank penerima setiap empat bulan. Pembayaran pertama akan dibuat pada April 2020 bagi tempoh Januari hingga April 2020.

 

Layak Tapi Tak Terima BSH Dapat Kad95

“Bagi semua pemandu lain yang layak dan bukan penerima BSH, mereka akan menerima Kad95 yang membolehkan mereka menikmati subsidi petrol 30 sen per liter terhad kepada 100 liter sebulan bagi kereta atau 40 liter sebulan bagi motosikal,” katanya.

Menurutnya, Kad95 akan dilaksanakan secara berperingkat pada suku pertama 2020.

Guan Eng berkata, apabila skim subsidi bahan api dilaksanakan, harga runcit RON95 dan diesel akan diapungkan secara beransur-ansur.

 

Pengusaha Petrol Masih Belum Dapat Maklumat

Namun menurut Presiden Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Bumiputera, Datuk Abu Samah Bachik, pengusaha petrol masih tidak mengetahui bagaimana proses pembayaran menerusi Kad95 akan dijalankan.

Beliau berkata terdapat beberapa kebimbangan tentang sistem ini sama ada kad baru yang dikeluarkan itu boleh diterima pakai oleh semua stesen petrol yang ada di negara atau mereka perlu memasang terminal kad yang baharu khas untuk pengguna Kad95.

“Stesen minyak masih belum menerima maklumat tentang pembayaran secara kad tersebut kecuali apa yang dilaporkan di dalam berita.

“Kami tidak pasti tentang sistem baharu ini dan pihak kerajaan masih belum memberi kami maklumat lanjut tentangnya. Jika kami memerlukan terminal yang baharu, kami perlu tahu bagaimana prosesnya kerana hanya tinggal kurang daripada dua minggu sahaja lagi sehingga tahun baru,”katanya kepada The Malaysian Reserve.

 

M40 Turut Layak Terima PSP

Pada bulan Oktober yang lalu, pihak kerajaan turut memaklumkan bahawa golongan berpendapatan dalam kategori M40 (pendapatan isi rumah RM6,725 sebulan) yang memiliki dua kenderaan masih layak menerima program subsidi petrol (PSP) yang dibentangkan pada Belanjawan 2020.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata kepada SinarHarian, bagaimanapun syarat utama salah satu kenderaan tersebut mesti berusia 10 tahun dan ke atas serta mempunyai kapasiti enjin 1,600cc dan ke bawah bagi kereta atau 150cc dan ke bawah bagi motosikal.

Bagi golongan M40 ini, pihak kerajaan akan melaksanakan subsidi tersebut sebelum bulan Mac 2020.

 

Wang Tunai Vs Kad

Sebelum ini pihak berkepentingan telah mengeluarkan pendapat bahawa adalah lebih baik untuk memberi wang tunai kepada penerima berbanding mekanisme kad petrol untuk memudahkan transaksi kedua belah pihak.

Bagi salah seorang pengusaha stesen minyak, subsidi ini tidak akan menjejaskan mereka jika ia diberikan melalui wang tunai tetapi jika memerlukan pertukaran dalam sistem, dia risau ia akan menyebabkan kelewatan dalam pengendalian di stesen petrol.

Malah jika kad tersebut turut diberikan kepada golongan M40, sudah pasti ia akan melibatkan transaksi kad yang sangat banyak di stesen petrol.

“Tidak seperti golongan B40, mereka yang berada di M40 adalah golongan yang lebih sering memerlukan petrol. Oleh itu bilangan transaksi akan lebih banyak dan kami sangat risau dengan sistem baharu ini bakal memberi impak kepada stesen petrol serta proses pembayaran yang lewat,” jelas pengusaha tersebut.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close