Isu SemasaTempatan

OIC Disindir & Dianggap Gagal di KL Summit 2019?

KL Summit 2019 membuka tirainya pada 18 Disember 2019 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dengan kehadiran 450 delegasi dari 56 negara dan secara rasmi disempurnakan pada pagi ini dengan kehadiran Emir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani, Presiden Recep Tayyip Erdogan dari Turkey, dan Presiden Hassan Rouhani dari Iran.

 

Tujuan KL Summit 2019

Sidang Kemuncak Kuala Lumpur (KL Summit) 2019 merupakan antara inisiatif negara Islam, berfungsi sebagai medan bagi berkongsi idea dan mencari penyelesaian berkesan ke arah pembangunan umat Islam sejagat.

Sebelum ini, beberapa media antarabangsa termasuk Al-Jazeera dan Reuters, melaporkan Arab Saudi kurang senang dengan penganjuran KL Summit ini, sehingga Raja Salman Abdulaziz Al-Saud mengambil keputusan untuk tidak menghadiri sidang kemuncak itu.

Arab Saudi juga bertegas bahawa sebarang perbincangan mengenai isu negara Islam sebenarnya harus berlaku di pentas OIC sahaja.

Selain Raja Salman, Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan turut membatalkan kehadirannya di saat-saat akhir, didakwa ekoran tekanan yang dikenakan Arab Saudi ke atas negara itu.

 

Hadi Awang Hadir Dijemput Oleh Tun M

Namun begitu, hadir di persidangan ini ialah Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Mantan Timbalan Presiden Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia.

Baginya, penganjuran sidang kemuncak ini yang diadakan di Asia Tenggara jelas membuktikan rantau ini lebih aman.

“Ia satu langkah yang proaktif untuk memperkasakan kerjasama dalam kalangan negara-negara umat Islam.

“Sebenarnya, ia bagi memangkin kelemahan-kelemahan majlis Kerjasama Islam (OIC) yang gagal menangani banyak masalah antarabangsa khususnya di Asia Barat,” katanya kepada astroawani.

Beliau yang mengakui dijemput secara peribadi oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Pengerusi Sidang Kemuncak KL bagi menghadiri sidang kemuncak empat hari itu menzahirkan ucapan tahniah dan gembira di atas kedatangan negara luar khususnya Turki, Qatar, Iran serta Uzbekistan mewakili Asia Tengah.

 

Tun M Mengingatkan Siapa Pencetus ‘Islamophobia’

Semasa ucaptama yang disampaikan oleh Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini, beliau mengingatkan bagaimana Islamophobia itu menjadi satu trend pada masa kini dan semuanya adalah akibat sesetengah penganut Islam sendiri, kononnya atas nama “jihad”, yang akhirnya digunakan oleh musuh Islam untuk menimbulkan kebencian ke atas agama itu.

“Kita dakwa kita melakukan jihad, tetapi keputusannya lebih ke arah penindasan terhadap kaum Muslim di serata dunia. Kita diusir dari negara kita, permohonan pelindungan kita ditolak, kita ditindas dan dilaknat. Kita sendiri menimbulkan ketakutan hingga akhirnya Islamophobia itu wujud,” katanya lagi.

Perdana Menteri berkata, mudah untuk mendakwa Islamophobia itu dilakukan oleh sesetengah mazhab, tetapi katanya lagi, bagi musuh di luar sana, semua penganut Islam adalah sama sahaja.

 

Persidangan Beberapa Negara Islam Untuk Elak Menjadi Tidak Terkawal

Atas sebab itu, Dr Mahathir berkata, persidangan ini telah mengumpulkan pemimpin, golongan pemikir serta ilmuan hanya dari beberapa negara Islam sahaja, supaya ia tidak menjadi tak terkawal, sehingga perbezaan pendapat itu akhirnya mengakibatkan penyelesaian tidak terlaksana.

“Kami berharap, sidang ini dapat memulakan perbincangan untuk mencapai beberapa program dan sasaran yang spesifik, agar jumlah negara yang kecil yang terbabit dapat memulakan langkah perlaksanaan dengan segera,” katanya lagi.

 

Erdogan Kritik OIC?

Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan dalam ucapannya di pentas pula mengkritik pertubuhan yang sepatutnya menjaga kebajikan negara-negara Islam.

Walaupun tidak menyebut secara terang-terangan nama pertubuhan itu, Erdogan dipercayai menuju kritikannya ke arah Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), yang berpangkalan di Jeddah, Arab Saudi.

Senada dengan Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad, Erdogan berkata, pertubuhan berkenaan hanya ditubuhkan untuk menjaga kebajikan beberapa negara tertentu, tanpa mengambil kira tekanan dan permasalahan yang dialami negara Islam yang kurang bernasib baik.

“Kita masih tidak melihat sebarang kemajuan mengenai nasib rakyat Palestin, kita masih gagal menghentikan eksploitasi ke atas sumber kita, dan kita masih gagal mengatakan ‘sudah’ kepada perpecahan yang berlaku dalam Islam ekoran perbezaan mazhab. Itulah sebabnya,” katanya ketika menyampaikan ucaptama sewaktu pembukaan Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 (KL Summit 2019), di sini.

Bagi Presiden Erdogan, sidang ini boleh dijadikan platform untuk negara Islam bercakap tentang pelbagai isu dari pertelingkahan dalam sehingga konflik antara mazhab dan etnik.

Show More

Related Articles

Back to top button