Isu SemasaTempatan

Memberi Peluang Kepada Yang Memiliki Kekurangan Untuk Bekerja

Sebagai ibubapa atau penjaga, sudah pasti akan risau dengan masa depan anak yang memiliki kekurangan fizikal dan juga pembelajaran: Adakah mereka mampu berdikari dan hidup sendiri jika anda sudah tiada?

Namun semuanya jika disalurkan pada tempat yang betul, pasti ada jalannya.

Seperti sebuah pusat vokasional di Mambau, Negeri Sembilan.

 

Memberi Peluang Pekerjaan Kepada OKU Sejak 1977

Mereka memiliki 46 pekerja yang bekerja di Bengkel Seri Sembilan yang telah dibuka sejak tahun 1977 untuk memberi latihan kemahiran serta peluang pekerjaan kepada komuniti yang memiliki kekurangan fizikal.

-Pekerja-pekerja OKU bergambar ceria dihadapan bangunan Bengkel Seri Sembilan di Mambau.
Gambar: utusan.com.my

Pusat ini menawarkan pekerjaan mudah seperti percetakan dan melipat surat dan juga pertanian, perladangan serta menjahit.

Bengkel ini dikelola oleh 10 orang pekerja dengan tiga daripada mereka adalah juga dari golongan OKU.

Bagi yang ingin bekerja di bengkel ini, mereka perlu melalui proses temuramah dan melalui latihan selama tiga bulan.

“Semasa latihan, kami akan beri mereka pelbagai tugasan supaya kita boleh tahu keupayaan mereka. Yang mana boleh lakukannya mereka akan diambil bekerja setelah dua minggu hingga sebulan latihan,” jelas Harunarrsheed Mohd Ibrahim yang merupakan pengurus di Bengkel Seri Sembilan.

 

Boleh Bekerja Selamanya Di Sini

Mereka yang bekerja di bengkel ini diberi peluang untuk bekerja selama yang mereka mahu dan mereka memiliki pekerja yang sudah bekerja di situ selama 38 tahun sehingga meninggal dunia pada usia 67 tahun.

Bengkel yang dibuka untuk orang kekurangan fizikal, sukar belajar, tidak boleh bertutur, mendengar ataupun kekurangan mental ini mengambil mereka yang telah berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat serta berusia 18 tahun ke atas.

 

Pusat Latihan Pekerjaan Untuk Golongan Autisme

Di Pulau Pinang pula terdapat sebuah pusat ‘LemmeLearn Empowerment Centre‘ di Pulau Tikus yang memberi peluang kepada pelajar autisme untuk mendapatkan latihan pekerjaan.

Pusat ini akan bekerjasama dengan kafe di sekitar Pulau Pinang untuk memberi pelajar autisme mereka peluang bekerja dan berinteraksi dengan pelanggan.

Salah satu kafe yang telah mengambil pelatih (intern) dari kalangan autisme ini ialah Let’s Meat cafe yang terletak di Tanjung Bungah.

 

Pengalaman Bukan Hanya Mengajar Pelatih Autisme

Pengalaman ini bukan hanya mengajar pelajar autisme tersebut tetapi juga pihak pengurusan tentang cara untuk mengendali pekerja dengan lebih baik.

“Pada awalnya saya sangat kecewa jika Jennifer (pelatih autisme) terlupa beberapa perkara sewaktu kerja. Namun akhirnya saya sedar saya harus menukar diri saya dan tidak marah atau paksanya untuk berubah.

Saya belajar bahawa dengan memuji mereka (golongan autisme) boleh membantu mereka memperbaiki diri dan menggalakkan mereka untuk melakukan kerja dengan lebih baik,” kata Penolong Pengurus Kafe, Muhammad Arieff Zarif.

 

Bukan Sekadar Untung Tetapi Harus Membuka Peluang Pekerjaan

“Kami percaya perniagaan lebih dari sekadar mendapatkan keuntungan tetapi harus juga memberi peluang kepada orang lain untuk mendapatkan pekerjaan. Walaupun mereka (golongan autisme) memiliki kekurangan tetapi ia tidak bermakna mereka tidak boleh bekerja,” jelas Pengurus Kade, Chris Lim.

Lim berkata mereka diberi latihan bagaimana cara untuk berkomunikasi dengan orang autisme sebelum menerima pelatih autisme tersebut.

“Saya lihat keyakinan pelatih autisme ini semakin tinggi apabila mereka sudah rasa selamat dan rasa seperti sebuah keluarga di sini,” kongsi Lim.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close