Sukan

Jurulatih Bisu Menang Anugerah UK Coaching Awards

Ben Lampert, satu-satunya jurulatih yang bisu di UK telah memenangi anugerah UK Coaching Awards.

Ia merupakan acara anugerah berprestij tahunan untuk meraikan jurulatih yang hebat sehingga mampu mengubah hidup dan memberi inspirasi kepada orang ramai.

Ben yang kini bertugas sebagai jurulatih di Brentford FC Community Sports Trust telah membawa pulang anugerah ‘Changing Lives’ (Mengubah hidup) yang disokong oleh Sport England.

 

Penggerak Untuk Golongan Senasib

Melalui projek ‘Deaf Sports Plus’ bersama yayasan komuniti Brentford FC, Ben telah berjaya memberi latihan aktiviti sukan kepada kanak-kanak bisu. Beliau juga bekerjasama dengan kanak-kanak di sekolah Barat London yang mengalami cacat pendengaran serta bisu di mana beliau menjadi jurulatih bola sepak serta mengajar bahasa isyarat.

Anugerah mengubah hidup ini pertama kali diadakan pada tahun 2019 ini dan ia diberikan kepada beliau kerana menjadi penggerak dalam memberi semangat dan menghubungkan orang daripada pelbagai latar belakang untuk mengatasi kesukaran hidup yang dialami melalui kuasa ‘Great Coaching’ (jurulatih hebat) yang dijalankannya.

Ben yang juga merupakan pembantu pengurus pasukan bisu England berkata,”Menjadi jurulatih tidak sama dengan bermain. Anda perlukan kemahiran yang berbeza untuk menjadi seorang jurulatih. Kami telah mengelola skema bola sepak bisu di Brentford (Pusat Komuniti Sukan) selama sepuluh tahun dan pada awalnya kami mengalami kesukaran tetapi akhirnya kita sedar bahawa sukan adalah sama tidak kira siapa yang mengambil bahagian.”

 

Mantan Juara Deaflympics

Jurulatih berusia 34 tahun ini pernah menganggotai pasukan bola sepak bisu dan menjuarai kejohanan Deaflympics pada tahun 2005 di Australia.

Beliau bercita-cita untuk menjadi jurulatih bagi pasukan profesional pada masa akan datang.

“Ia merupakan impian saya untuk menjadi jurulatih di peringkat atas bola sepak tidak kira di akademik ataupun di kelab,” katanya kepada AFP.

Beliau mahu menjadi inspirasi kepada orang lain terutamanya yang bisu sepertinya dan satu hari mereka boleh berkata ‘Ben telah melakukannya, mengapa tidak saya?’.

 

Mahu Mengubah Persepsi

Ben yang juga ayah kepada dua orang anak lelaki berkata terdapat persepsi bahawa ia adalah sukar untuk orang bisu menyampaikan mesej tetapi beliau percaya perkara ini tidak benar.

“Mereka fikir ia sesuatu yang tidak boleh dilakukan tetapi ia boleh dilakukan. Apabila saya mendapat peluang untuk bercakap dengan mereka, baharu mereka menyedarinya.

Semuanya adalah komunikasi. Pada hujungnya, terdapat cara untuk berkomunikasi dan ia bukanlah hubungan sehala sahaja,”katanya yang bercakap melalui seorang penterjemah.

Ben pernah mengambil bahagian dalam larian obor semasa Olimpik 2012 berkata berkomunikasi dalam bahasa isyarat ialah perkara sama yang mereka perlu lalui dengan pengurus yang tidak fasih bercakap dalam bahasa Inggeris.

“Mereka memiliki kemahiran sebagai pengurus hebat tetapi hanya memiliki halangan bahasa. Perkara ini adalah satu-satunya yang menjadi penghalang. Jadi bagi saya, ia adalah sama untuk orang bisu,” jelasnya.

 

Tidak Ada Alasan Tidak Boleh Berkomunikasi

Perkara ini juga disokong oleh Jamie Tompkins, pengurus pembangunan bola sepak di yayasan Brentford yang juga bermain di Kejuaraan tahap kedua England.

“Tidak ada alasan mengapa perkara ini tidak boleh berlaku di arena bola sepak utama kerana dia masih boleh berkomunikasi dengan pemain melalui cara yang betul,”katanya.

Ben percaya Britain masih terbelakang dibandingkan Amerika Syarikat (AS) dari segi kesedaran tentang isu orang bisu.

Ben memetik kes pemain ‘fullback’ NFL, Derrick Coleman yang bisu tetapi berjaya memenangi Super Bowl bersama Seattle Seahawks.

“Saya tabik Amerika kerana kesedaran mereka pada tahap yang sangat saya hormati,” kata Ben.

“Di England, saya rasa kita patut melakukan hal yang sama. Jika ia boleh dilakukan di Super Bowl, mengapa kita tidak boleh lakukannya di sini? Kesedaran adalah kuncinya di sini,” jelas Ben.

Ben percaya bahawa untuk berjaya kita harus kekal positif.

“Saya mahu menyampaikan mesej di luar sana bahawa orang bisu juga boleh melakukan apa sahaja dan saya adalah contohnya,”ujar Ben Lampert.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close