AntarabangsaIsu Semasa

Perbezaan Silat Malaysia & Pencak Silat Indonesia Yang Kedua-duanya Diiktiraf UNESCO

Pada 12 Disember yang lalu, silat Malaysia diiktiraf oleh Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai warisan budaya tidak ketara kemanusiaan (intangible cultural heritage in humanity) sebagai milik negara.

Namun pada masa yang sama, tradisi pencak silat Indonesia turut diakui UNESCO sebagai warisan budaya tidak ketara kemanusiaan milik Indonesia.

Jadi apakah perbezaan di antara Silat dan Pencak Silat?

Menurut Dirjen Kebudayaan Kementerian Pendidikan dan Kebudayaan (Kemendikbud) Indonesia, Hilmar Farid; Indonesia mengemukakan tradisi pencak silat kepada nilai-nilai budaya yang lebih luas seperti seni, falsafah hidup, nilai rohani dan juga sebagai bela diri.

Malaysia pula mengemukakan silat sebagai bela diri dan sukan olahraga.

“Apa yang diajukan Indonesia dan Malaysia adalah dua hal yang berbeza. Perbezaannya Malaysia fokus pada seni bela diri. Kalau yang diajukan Indonesia, bela diri menjadi salah satu komponen di dalamnya,” kata Hilmar yang dipetik dari tirto.id

Pencak Silat Sebagai Pembangunan Modal Insan & Bukan Komersial

Tradisi pencak silat yang dikemukakan oleh Indonesia adalah cara masyarakat Indonesia secara turun-temurun membentuk pengendalian diri, melalui tradisi pencak silat.

Hilmar berpendapat pengendalian diri melalui silat tidak ubah seperti pembangunan modal insan dan bukan bertujuan untuk komersial.

“Pengakuan ini adalah atas usulan yang disampaikan masyarakat kita. Jadi bukan bentuk pengakuan hak cipta atas pencak silat kerana pencak silat tidak ada hak ciptanya,” ujar Hilmar.

Menurut Hilmar yang dipetik dari liputan6.com, hal ini karena pencak silat adalah tradisi yang berkembang secara turun-temurun dari generasi ke generasi di pelbagai wilayah yang ada di Indonesia.

“Dia adalah sebuah tradisi yang berkembang selama berabad-abad dan kita sudah tidak boleh lagi mengembalikan itu siapa pencipta awalnya. Jadi tidak ada urusan untuk komersial,” ujar Hilmar.

 

Kita Serumpun, Janganlah Kita Bergaduh

Walaupun Pencak Silat dan Silat asal Malaysia juga diakui UNESCO, Hilmar berharap masyarakat menghilangkan fanatisme. Bagi Hilmar, Indonesia dan Malaysia masih dalam satu rumpun yang sama.

“Jadi jangan seolah-olah kita bergaduh dengan Malaysia,” ujar Hilmar.

Semasa taklimat media oleh Kebudayaan Kementerian Pendidikan dan Kebudayaan Indonesia. Sumber Imej: koranjuri.com

Menurut beliau lagi usul ke dua-dua negara adalah perkara yang wajar dan mengingatkan masyarakat agar tidak terlalu risau soal perbezaan perkara ini kerana yang penting adalah usaha melestarikan tradisi pencak silat menjadi lebih hebat.

Sebelum usulan ini dihantar ke UNESCO, sebenarnya Indonesia telah mengajak Malaysia untuk mengajukan silat sebagai warisan budaya tidak ketara kemanusiaan bersama-sama, seperti saat keduanya mengajukan pantun ke UNESCO.

Namun, kata Hilmar, kerana terdapat perbezaan pendapat maka kedua negara akhirnya menghantar usulan masing-masing ke UNESCO.

“Ini adalah usulan masyarakat Indonesia. Jadi pemilikinya adalah masyarakat Indonesia. Ini bukan hak cipta bahwa silat milik Indonesia. Lebih tepatnya ini adalah pengakuan UNESCO terhadap tradisi pencak silat sebagai sumbangan Indonesia kepada dunia dalam hal kemanusiaan,” kata Hilmar.

 

‘Pencak Silat’ dipersetujui oleh Masyarakat Pencak Silat Indonesia

Sementara itu, dari Masyarakat Pencak Silat Indonesia Wahdad M.Y mengatakan kata “Pencak Silat” sudah menjadi kesepakatan masyarakat Indonesia untuk menyebut seni bela diri yang banyak tersebar di Sumatera Barat, Melayu, Banten dan Jawa Barat itu.

“Ini adalah kata yang dipersetujui semua untuk menyebut seni bela diri tersebut. Setelah ini masuk daftar UNESCO maka kita harus melakukan strategi-strategi untuk pengembangan pencak silat,” katanya kepada tirto.id

Menurut Asia News Network, Indonesia memiliki banyak sekolah pencak silat yang kini sedang semakin popular di luar Indonesia dengan penampilan pengamal seperti Iko Uwais, Yayan Ruhian dan Cecep Arif Rahman yang telah melakukan penampilan di filem antarabangsa seperti Star Wars, John Wick dan juga The Raid.

Pencak Silat, Warisan ke-9 Untuk Indonesia

Dari senarai pendaftaran warisan budaya tidak ketara kemanusiaan UNESCO, Indonesia kini memiliki 9 elemen budaya yang diiktiraf UNESCO dan satu program terbaik iaitu Pendidikan dan Pelatihan Batik di Muzium Batik Pekalongan (2009).

Antaranya ialah Wayang (2008); Keris (2008); Batik (2009); Angklung (2010); Tari Saman (2011); Noken Papua (2012); Tiga Genre Tari Tradisional di Bali (2015) dan Pinisi, seni pembuatan perahu dari Sulawesi Selatan (2017).

Manakala pesembahan mak yong dan dondang sayang untuk Malaysia telah disenarai pendaftaran warisan budaya tidak ketara kemanusiaan UNESCO sebelum silat ini diumumkan pada persidangan mesyuarat jawatankuasa di Bogota, Colombia.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close