Isu SemasaTempatan

Apa Beza Minyak Petrol RON95 EURO4M Dengan Yang Ada Sekarang?

Pada 18 Ogos 2014, kerajaan sudah bersetuju dengan pelaksanaan spesifikasi kualiti bahan api petrol EURO4M dan EURO5 iaitu Petrol RON97 EURO4M pada 1 September 2015, RON95 E4M (1 Oktober 2018), Diesel EURO5 (1 September 2020) dan Petrol EURO5 (1 September 2025).

Namun pada 5 Oktober 2018, Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata kerajaan memutuskan tarikh pelaksanaan RON95 E4M ditangguhkan dari 1 Oktober tahun itu ke 1 Januari 2020 bagi menjajarkan perubahan harga kos produk bagi RON95 E4M dengan permulaan kerja-kerja transisi kepada produk RON95 E4M di peringkat depoh minyak dan stesen minyak.

Pada 12.12.2019 pengumuman oleh pihak kerajaan telah mengesahkan Malaysia bakal mendapat gred petrol RON95 berkualiti tinggi dengan spesifikasi standard bahan bakar Eropah EURO4M (E4M) tersebut bermula 01.01.2020.

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Muez Abd Aziz, berkata E4M yang merupakan petrol berkualiti setanding RON97, akan menggantikan standard E2 yang sedang digunakan.

Apa Beza RON95 EURO4M Dengan Yang Biasa?

Menurut NST, RON95 EURO4M ini mengandungi kurang sulfur yang sekaligus bakal mengurangi pembebasan gas sulfur ke udara dan memperbaiki udara.

Pada masa kini kita sedang menggunakan RON95 EURO2M yang mengandungi sulfur 500ppm.

EUR04M ini hanya memiliki kandungan sulfur sebanyak 50ppm.

Selain itu menurut Datuk Muez, RON95 EURO4M ini boleh membantu penjagaan enjin yang lebih bersih.

Janji Manifesto ke-39 Dicapai Melalui Ini

Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebelum ini dilaporkan berkata, pengenalan kualiti bahan api yang lebih tinggi adalah salah satu usaha untuk mencapai matlamat Dasar Teknologi Hijau Negara 2009 iaitu mengurangkan pencemaran alam sekitar serta kesan kepada kesihatan orang awam.

Matlamat itu juga menjadi janji ke-39 “Mengimbangi Pembangunan Ekonomi Dengan Perlindungan Alam Sekitar” dalam manifesto Pakatan Harapan, katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button