Sukan

Apa Terjadi Dengan Atlet Malaysia Di Sukan SEA 2019?

Sebelum pembukaan Sukan SEA 2019, kita mendengar pelbagai perkara tidak memuaskan hati tentang temasya sukan yang pada kali ini dianjurkan di Filipina.

Ia juga telah menyebabkan trending di media sosial #SEAGamesfail2019 dan #SEAGames2019fail.

Daripada tempat tinggal yang tidak selesa, tempat berlangsungnya acara sukan yang belum siap, pengadil yang berat sebelah serta semangat kesukanan di antara atlet yang kurang baik.

Temasya tersebut telah menutup tirainya hari ini dengan Malaysia menduduki di tangga kelima setelah Filipina, Vietnam, Thailand dan Indonesia.

 

Malaysia Tersasar Jauh

Malaysia telah jauh tersasar daripada meraih 70 pingat emas yang diburu.

Pada hari terakhir ini, Malaysia hanya berjaya mengutip 56 emas, 57 perak dan 71 gangsa.

Jumlah itu jelas jauh tersasar daripada apa yang dijangkakan kontinjen negara sebelum ini iaitu meraih 70 emas, 51 perak dan 105 gangsa.

“Seperti saya katakan dulu, paling kurang atlet kena dapat 76 pingat emas, baru sama pencapaian di Korat. Tapi sekarang tak sampai 60 pingat emas… terburuk dalam sejarah kerana kita belanja banyak duit dan hantar atlet paling ramai.”

Itu luahan bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Seri Zolkples Embong mengenai kegagalan kontinjen negara meraih 70 pingat emas pada temasya Sukan Sea ke-30 kepada HarianMetro.

 

70 Emas Bukan Pencapaian Terbaik Juga

Beliau turut mengulangi kenyataannya bahawa sasaran 70 pingat emas bukan pencapaian terbaik luar negara dan perlu dinilai mengikut peratusan berbanding jumlah keseluruhan pingat.

“Di Korat hanya 475 acara dipertandingkan, tapi di Manila 531 acara dan 68 pingat emas dimenangi adalah 14.31 peratus daripada jumlah keseluruhan pingat.

“Jika menang 70 pingat emas daripada 531 acara, tidak sampai 14 peratus atau 13.18 peratus saja,” katanya.

Zolkples berkata, kegagalan itu amat mengecewakan kerana Malaysia menghantar kontinjen kedua terbesar bertanding di luar negara selepas edisi Korat 2007 dengan penyertaan 773 atlet membabitkan 52 daripada 56 acara dipertandingkan.

 

Banyak Acara Dijangka Emas Telah Tersasar

Katanya, banyak acara sukan lubuk emas tersasar seperti memanah yang hanya mendapat satu emas daripada lima disasarkan, selain tenpin boling sekadar dua daripada empat pingat emas, manakala skuad pelayaran hanya memperoleh gangsa.

“Kita sasar tempat keempat, tapi capai nombor lima dan beza 20 pingat emas dengan negara di tangga keempat.

“Bagi saya pencapaian ini memang teruk pada saat kita nak menghadapi Sukan Olimpik tahun depan. Ini bukan petanda baik untuk sukan negara dan sesuatu mesti dilakukan. Ini ‘wake-up call’ dan bukan masanya berbulan madu.

“Saya tidak terfikir, perbelanjaan tinggi dikeluarkan untuk sukan, misalnya pelayaran. Kita ada dua atlet layak ke Olimpik iaitu Khairulnizam Mohd Affendy dan Nur Syazrin Mohd Latif tapi hanya menang gangsa,” katanya.

 

Apa Nasib Atlet Yang Bakal Ke Olimpik?

Menurut beliau, pencapaian skuad memanah mengecewakan dengan satu emas, dua perak dan satu gangsa berbanding sasaran lima emas.

“Saya tidak ingat bila kita tidak pernah tidak menang emas. Kali ini memanah recurve ada atlet layak ke Olimpik, hanya satu emas menerusi trio lelaki,” katanya.

Sementara itu, katanya, tiga emas daripada skuad badminton adalah ‘ihsan’ Thailand dan Indonesia berikutan pemain utama mereka beraksi di saingan akhir Jelajah Persekutuan Badminton Dunia (BWF) di Guangzhou, China.

Sukan SEA 2019 selama 11 hari itu akan melabuhkan tirai dengan upacara penutupan rasmi di Stadium Olahraga New Clark City yang dijangka akan disempurnakan oleh Presiden Filipina, Rodrigo Duterte.

Vietnam bakal menjadi hos Sukan SEA pada 2021.

Tags
Show More

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button
Close