AntarabangsaIsu Semasa

Rakyat Di Seluruh Dunia Semakin Lantang Memprotes Kerajaan

Rakyat yang berang telah membanjiri jalan-jalan di bandar seluruh dunia pada tahun ini, menentang pelbagai dasar yang agak berbeza tetapi sering kali sama iaitu kegagalan kerajaan untuk memberikan masa depan yang lebih adil.

Walaupun protes jalanan bukanlah sesuatu yang baru, pakar mengatakan protes pada tahun 2019 mencerminkan sentimen bahawa kontrak sosial antara kerajaan dan rakyat telah rosak di mana rakyat memberontak tetapi tidak dapat mempengaruhi sebarang perubahan.

“Protes di seluruh dunia adalah kerana perasaan tidak berpuas hati, ketakutan terhadap masa depan, dan rasa ditindas oleh golongan elit,” kata Jake Werner, seorang ahli sejarah di University of Chicago.

Krisis kewangan pada tahun 2007-08 khususnya, telah mendedahkan kegagalan sistem dan menggugat keamanan bagi berjuta-juta orang.

Ia juga menghasilkan rasa tidak adil, khususnya di kalangan orang muda yang melihat prospek mereka untuk memperoleh kehidupan yang lebih baik, merosot dengan setiap kenaikan harga atau potongan manfaat.

Akibatnya, langkah yang kecil akan mencetuskan protes yang besar. Di Chile, kenaikan tiket metro, di Iran dan Perancis adalah kos bahan api yang lebih tinggi, dan ini telah menjadi punca pemberontakan yang menuntut standard hidup yang lebih baik.

Di tempat lain, seperti di Hong Kong dan Algeria, seruan untuk kebebasan politik telah menjadi punca protes yang berlarutan.

“Kepercayaan bahawa demokrasi mampu mengubah kehidupan rakyat kini telah merosot,” kata Erik Neveu, seorang ahli sosiologi di universiti sains politik Sciences Po di Rennes, Perancis barat.

Bagi Olivier Fillieule, pakar dalam pergerakan sosial di University of Lausanne di Switzerland, protes tahun ini dibina atas dinamik yang sama yang menghasilkan pergerakan yang sama seperti Occupy Wall Street, Arab Spring, atau bangkangan Rusia kepada Presiden Vladimir Putin.

“Penolakan neo-liberalisme adalah pemacu utama kebanyakan pergerakan ini,” katanya.

Syarikat besar dan kaya yang mendapat keuntungan hanya mengembangkan lagi rasa amarah di kalangan rakyat.

Dan jika masih terus dipinggirkan, pakar mengatakan lebih ramai orang akan merasakan bahawa protes dan kemungkinan keganasan, adalah satu-satunya jalan keluar.

Di Perancis, contohnya, kemarahan kumpulan “yellow vest” atas kos hidup yang tinggi dengan cepat merangsang rusuhan dan pertempuran dengan polis dan akhirnya memaksa kerajaan untuk menjanjikan berbilion euro dalam pemotongan cukai dan kenaikan gaji.

Kemudian pada bulan Disember, kesatuan-kesatuan Perancis yang disokong oleh “yellow vest” memulakan protes di seluruh negara untuk membantah pembaharuan pencen yang menjejaskan negara.

Pakar mengatakan banyak protes jangka panjang, yang telah dijalankan selama berminggu-minggu atau bahkan selama berbulan-bulan, dapat memberi inspirasi untuk pergerakan baru.

“Sudah jelas bahawa protes dan aktiviti pergerakan lain telah meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dan mungkin tahun ini khususnya,” kata Doug McAdam, seorang ahli sosiologi di Stanford University di California.

Di sesetengah negara seperti Iran dan Mesir, kerajaan telah cuba membendung pergerakan sosial dengan memotong internet, tetapi tidak memberi kejayaan dalam jangka masa panjang.

Ini bukan sahaja “revolusi Facebook”, kata Geoffrey Pleyers, profesor sosiologi di Belgium dan Perancis. Ini adalah pergerakan yang mendalam di mana orang muda sering memimpin.

Protes tanpa pemimpin seperti di Hong Kong juga menjadikannya lebih sukar bagi pihak berkuasa untuk menghalang, berunding atau menangkap perusuh dalam usaha untuk memadamkan kemarahan para penunjuk perasaan.

Sekalipun kerajaan menunaikan tuntutan rakyat, mereka berisiko menghadapi lebih banyak protes melainkan mereka mengatasi punca sesuatu rusuhan itu berlaku.

Show More

Related Articles

Back to top button