Gaya HidupKesihatan

Daripada Seorang Pengurus Bank, Kini Menjadi Sukarelawan Yang Mendapat Pengiktirafan Dunia

Sara L.H. Lew merupakan seorang mantan pengurus bank dan berada dalam industri perbankan selama 20 tahun. Namun dia meninggalkan kerjaya tersebut setelah dirompak dua kali!

Sara harus mengatasi tekanan akibat trauma tersebut dan mula lebih menghargai kehidupannya dan memutuskan untuk berhenti kerja dari bank.

“Saya tidak mahu melalui kejadian perompakan untuk kali ketiga!,” katanya sambil ketawa sewaktu ditemuramah oleh TheStar.

Setelah itu Sara telah menyambung pengajian dalam Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) tetapi pada masa yang sama tetap aktif dalam aktiviti sukarelawan di Persatuan Penyakit Parkinson Malaysia (MPDA) kerana mendiang ayahnya menghidap penyakit tersebut sejak tahun 1990.

 

Aktif Dalam Persatuan Kerana Ayahnya

Sara aktif di dalam pertubuhan tersebut sejak 1995 untuk menemani ayahnya ke persatuan tersbut.

Pada tahun 2000, Sara dilantik sebagai Presiden MPDA untuk dua tahun dan dilantik semula pada tahun 2006 setelah tiga tahun berhenti sebagai pengurus bank.

“Saya ragu-ragu untuk mengambil jawatan tersebut pada awalnya kerana saya mahu melanjutkan pengajian saya tetapi saya rasa saya tidak boleh meninggalkan mereka (pesakit Parkindon) kerana persatuan tersebut telah memberi harapan kepada ayah saya,” kata Sara.

 

Seiring waktu berjalan, Sara sedar akan kepentingan dirinya dalam MPDA.

“Saya menyukai semua ahli persatuan itu dan saya menjalin hubungan yang sangat rapat dengan mereka. Saya ‘lihat’ ayah saya (sebagai pesakit Parkinson) dan juga ibu saya serta saya (sebagai penjaga) dan saya boleh merasai apa yang mereka sedang lalui,” jelasnya yang kehilangan ayahnya pada tahun 2011 dan ibunya baru sahaja meninggalkannya tahun ini.

Ibu Sara meninggal dunia pada usia 89 tahun, tiga minggu sebelum dia menerima anugerah daripada Kongres Ke-5 Parkinson Dunia di Kyoto, Jepun.

Beliau mendapat anugerah WPC Robin A. Elliott untuk perkhidmatan kepada komuniti di atas usahanya membantu pesakit Parkinson dan para penjaga mereka selama 24 tahun.

 

Usaha Selama 24 Tahun Diiktiraf Dunia

Mereka juga menghargai usahanya untuk mengutip dana sebanyak RM630,000 dalam masa enam bulan sehingga boleh membeli sebuah rumah teres satu tingkat di Taman Gembira, Kuala Lumpur pada tahun 2014 yang kini menjadi premis untuk MPDA.

Sara tidak menyangka usahanya itu boleh mendapat pengiktirafan dunia dan beliau mendedikasikan penghargaan tersebut kepada MPDA.

Sejak 2012, Sara telah melibatkan diri dalam Kongres Parkinson Dunia serta menjadi jawatankuasa forum kepimpinan kongres tersebut.

Sara melibatkan diri dalam forum tersebut melalui telekonferens.

 

Pentingnya Persatuan Seperti MPDA Untuk Komuniti

MPDA didirikan pada 12 September 1994 dan memiliki hampir 300 ahli yang aktif melibatkan pesakit Parkinson dan juga penjaga mereka yang kebanyakannya tinggal di kawasan Lembah Klang.

Ia merupakan persatuan Parkinson terbesar di Malaysia dan mereka berjalan hasil daripada sumbangan orang ramai.

Selama 10 tahun mereka tidak memiliki premis sehingga pada tahun 2005, mereka menyewa sebuah rumah di Kuala Lumpur yang pada akhirnya mereka berhasil membelinya dan menyewa rumah disebelah rumah tersebut untuk menjalankan aktiviti.

“Bersama MPDA, ayah saya telah mampu melakukan aktiviti sosial dan berkongsi pengalaman dengan orang lain sehingga beliau menjadi buta akibat glaukoma,” kenang Sara.

Menurut Sara, kebanyakan pesakit Parkinson akan selalunya memilih untuk tinggal dirumah dan menjadi anti-sosial sehingga ada yang menjadi tertekan.

Kumpulan sokongan seperti MPDA inilah akan memberi sokongan moral kepada mereka yang berdepan dengan penyakit ini dan ini membolehkan penjaga serta pesakit berkongsi informasi yang mungkin boleh membantu sesama sendiri.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close