Sukan

Hanya Dua Pilihan Untuk Orang Filipina: ‘Menang Atau Tidak Makan’

Bermain pool bukanlah hanya sekadar sebuah sukan untuk orang Filipina. Tetapi ia merupakan jalan keluar dari kemiskinan.

Ia merupakan sukan dengan pesaingan yang sangat tinggi di negara tersebut hingga mampu melahirkan pemain dunia.

Filipina kini memiliki pemain terbaik dunia dengan pemain wanita dan lelakinya berada di tangga kelima ranking Persatuan Pool-Billiard Dunia (WPA).

“Jika anda gagal untuk mengena sasaran, anda mungkin tidak dapat makan,” kata Ted Lerner yang membuat kesimpulan tentang arena sukan tersebut di Filipina, seorang wartawan kelahiran Amerika yang telah menetap di sana.

 

Filipina Bakal Mara Di 4 Acara Semasa Sukan SEA 2019

Ini juga bermakna Filipina bakal mendapat tempat yang selesa untuk acara seperti biliard, pool, snooker dan karom di mana 10 pingat emas bakal dipertandingkan semasa Sukan SEA 2019 yang bakal membuka tirai pada hari ini.

Contoh terbaik yang diberikan oleh wartawan AFP ialah Efren “The Magician” Reyes atau gelaran dalam Bahasa Melayu ialah ahli silap mata.

Beliau merupakan mantan juara dunia dalam bola lapan pool dan juga bola sembilan dan diperkirakan merupakan paling handal dalam mengatur bola.

 

Kemiskinan Membuat Mereka Menjadi Juara Dunia

Efren adalah anak kelapan daripada sembilan adik-beradik yang miskin. Beliau meninggalkan rumahnya di utara Manila untuk tinggal bersama pakciknya yang memiliki dewan pool di ibu kota.

Beliau mula bermain sejak berusia 8 tahun dengan harapan mencari jalan keluar dari kemiskinan.

“Saya melihat ayah saya memenangi wang setelah memenangi pertandingan biliard dan saya sedar bahawa saya boleh hidup daripada sini,” katanya yang kini berusia 65 tahun.

Reputasi Efren meningkat apabila beliau bermain untuk mendapatkan wang dan hidup di Amerika Syarikat semasa zaman yang dipanggil “penaklukan Filipina” yang mengambil tempat pada tahun 1980an.

“Mereka menjuluki Filipina sebagai ibu kota pool dunia,” kata Marissa Guinto, seorang profesor dalam bidang psikologi sukan di Universiti Filipina.

“Malah orang Amerika juga sukar untuk mengalahkan orang Filipina,” tambahnya.

 

Bagaimana permainan ini boleh bertapak di Filipina?

Menurut sejarahnya, ia bermula pada tahun 1900an apabila askar Amerika yang berpangkalan di Filipina bermain pool di masa terluang mereka.

Daripada itu, sukan tersebut telah berkembang dan menyebar di serata Filipina.

Ini juga termasuk amalan untuk pertaruhan yang terkait dengan sukan itu. Perkara ini justru telah membuat ramai orang mencuba sukan tersebut kerana mereka laparkan kemenangan.

 

Bermula Dengan Menang RM1.63 Kini Menjadi Pemain Lima Teratas Dunia

“Kami tidak dapat mencari duit untuk makanan sehari-hari,” kata Carlo Biado yang kini berada di tangga ke-4 dunia.

“Saya bermula dengan hanya pertaruhan 20 pesos (RM1.63) dan akhirnya saya boleh hidup dengan bermain biliard,”cerita Biado yang berusia 36 tahun.

Biado memenangi kejuaraan bola-sembilan pada tahun 2017 dan memecahkan kemarau tujuh tahun juara dari Filipina.

 

Mereka Menjadi Inspirasi Orang Ramai

Kehebatan pemain Filipina telah menukar persepsi bahawa pool adalah permainan orang miskin dan mereka telah membantu membina masa depan orang lain untuk mengikut jejak menjadi juara dunia seperti Biado dan Rubilen Amit yang kini ditangga ketiga terbaik kategori wanita di WPA yang membesar dengan menonton perlawanan pool di kaca televisyen.

Salah satu yang menginspirasikannya ialah apabila menonton detik di mana Reyes memenangi kejuaraan dunia dalam bola sembilan pada tahun 1999, di mana perlawanan tersebut disiarkan secara langsung di Filipina pada ketika itu.

Sikap menang atau berlaparan adalah kunci bagi pemain-pemain ini untuk terus melakukan yang terbaik.

“Pemain di komuniti miskin tidak memilih jika permukaan meja pool mereka tidak rata. Malah, keadaan permukaan itu juga mungkin telah menyebabkan kelahiran juara dunia,” kaat Severino Sarmento, profesor dan penulis sukan veteran.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button