Isu SemasaSains

Adakah Serangga Bakal Menjadi Penyelamat Industri Kelapa Sawit?

Patrick Crowley, pengasas Chapul, sebuah perniagaan pertama di dunia yang menghasilkan makanan berasaskan protein serangga di Amerika Syarikat sedang membentangkan cadangan untuk mewujudkan “ekonomi pekeliling” bagi peladang kelapa sawit supaya sisa hasil mereka boleh digunakan dalam sektor penternakan serangga.

Patrick percaya serangga ini mampu membantu meningkatkan reputasi industri kelapa sawit yang sudah sekian lama dituduh menjadi punca terjadinya penebangan hutan, kehilangan habitat haiwan dan sebagainya.

“Masalahnya ialah kerana perbuatan manusia yang memusnahkan hutan dan paya. Ia bukannya salah kelapa sawit itu sendiri. Amalan yang digunakan itu yang tidak betul. Itu yang saya lihat,” kata Patrick kepada Yayasan Thomson Reuters.

 

Pelan Rancangan Serangga Sebagai Penyelamat Industri Sawit Dirancang Sejak 4 Tahun Lalu

Minyak kelapa sawit merupakan minyak yang boleh dimakan paling luas digunakan dan ditemukan di kebanyakan perkara dari marjerin hingga ke sabun.

Walau bagaimanapun ia telah menerima kritikan yang hebat sejak kebelakangan ini oleh aktivis alam sekitar dan pengguna yang menyalahkan pengeluaran kelapa sawit ini sebagai penyebab kehilangan hutan, kebakaran dan eksploitasi pekerja.

Patrick memiliki pelan rancangan serangga yang telah pun dicuba sejak empat tahun lalu di Indonesia yang merupakan pengeluar terbesar minyak sawit di dunia.

Setelah minyak dari biji sawit ini diambil dan diproses, sisa yang tidak dipakai selalunya akan dibakar atau dibiarkan mereput.

Sisa ini selalunya tidak memiliki nilai pasaran tetapi sangat tinggi serat.

Namun jika diintegrasikan ke penternakan serangga ia bakal memiliki nilai apabila fungi semula jadi dan bakteria ditambahkan ke sisa biji sawit ini untuk memulakan fermentasi dan seterusnya meningkat kandungan protein dan sekali gus memudahkan ia dicerna oleh serangga, kata mantan pakar hidro yang menjadi ketua pegawai eksekutif Chapul.

 

Lalat Askar Hitam Mampu Menyelamatkan Ekosistem!

Lalat askar hitam. Sumber Imej: https://dlh.jepara.go.id

Lalat askar hitam yang mampu menukar sisa buangan menjadi protein akan diberi sisa biji sawit tersebut sebelum mereka menghasilkan larva yang mana larva ini boleh dijadikan makanan ikan ternakan yang merupakan di antara sektor pembuatan makanan yang terpantas di dunia.

Serangga ini telah berjaya untuk mengganti makanan ikan yang dahulunya mereka mendapat protein dengan memakan ikan kecil tetapi kini semakin sukar untuk didapati dan menjadi lebih mahal.

Oleh sebab itu, ladang kelapa sawit dilihat memiliki tarikan untuk menyumbang kepada ekosistem ini dan menjadi sebuah kitaran yang kondusif dan konsisten.

Saintis berkata sisa daripada serangga ini yang lebih dikenali sebagai frass juga baik untuk dijadikan baja dan ini boleh di hantar balik ke ladang kelapa sawit untuk meningkatkan produksi mereka pula.

“Kami melihat peningkatan produktiviti dan pengurangan racun serangga melalui ujikaji awal yang telah kami lakukan,” kata Patrick yang kini berusia 40 tahun.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button