Isu SemasaTempatan

Ini Mengapa Seorang Non-Muslim Menyokong Penuh Pemimpin Yang Menjiwai Nilai-Nilai Murni Islam

Membaca penulisan Nathaniel Tan, perunding komunikasi strategik di TheStar telah membuka mata tentang bagaimana perspektif seorang bukan Islam di Malaysia yang mahu mendengar suara majoriti daripada kita yang beragama Islam.

Menurutnya, dia yang menjadi ahli dalam beberapa kumpulan WhatsApp yang dihuni oleh bukan Islam atau Melayu merasa semakin percaya bahawa Islamaphobia (fobia dengan agama Islam) adalah perkara yang benar-benar berlaku.

Namun, rakan Melayu/Islamnya juga berkata perkara ini turut terjadi di dalam kumpulan WhatsApp di mana pengisian anti bukan Melayu dan Islam dikongsikan oleh ahli di dalam kumpulan tersebut.

Ia merupakan trend global di mana xenofobia atau perasaan tidak suka ke atas orang berlainan bangsa ini semakin ketara.

 

Seorang Non-Muslim Menyokong Penuh Pemimpin Menjiwai Islam

Namun bagi Nathaniel, dia lebih gemar dengan pandangan yang kurang popular bagi orang sekelilingnya dan lebih menyokong pemimpin yang memiliki sifat benar-benar Islam untuk mengelola kerajaan.

Nathaniel turut menegaskan perkataan ‘benar-benar’ dalam penulisannya.

Baginya apabila seseorang pemimpin itu memiliki sifat benar-benar Islam, pemimpin tersebut sudah pasti akan membawa negara ke jalan yang benar dengan integriti yang tinggi.

Dia akan lebih gembira apabila orang Islam yang betul-betul memegang kepada ajaran Islam mengetuai tampuk pemerintah negara kerana pemimpin seperti ini takut akan Tuhan dibandingkan perkara lain.

 

Pemimpin Yang Takut Kepada Tuhan Pasti Akan Membawa Ke Jalan Benar

Apabila mereka takutkan Tuhan bermakna pemimpin Islam itu yakin bahawa mereka sentiasa diperhatikan dan dinilai setiap saat oleh Tuhan.

Oleh itu mereka akan senantiasa berhati-hati untuk mengambil tindakan yang bakal menyebabkan mereka menjawab di akhirat dan takut terjerumus ke neraka jika salah bertindak.

Tidak ada insentif lebih besar untuk rakyat dengan mendapat pemimpin yang boleh memastikan tindakan bijak, jujur dan pengasih dalam pemerintahan.

Jika kita boleh menerima kepimpinan yang betul-betul memiliki nilai murni Islam serta prinsip yang ditegaskan sudah pasti ia akan menjadi sesuatu positif dalam kerajaan dan juga untuk Malaysia.

Nilai-nilai yang mungkin ada di atas ini telah terlihat oleh Nathaniel hadir pada dua pertubuhan yang menurutnya mungkin 50-90% orang bukan Islam tidak pernah dengar tentang kewujudan mereka.

 

Dua Pucuk Kepimpinan Islam Di Malaysia Memiliki Nilai Murni Islam

Pertubuhan ini merupakan Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dan Pertubuhan Ikran Malaysia (Ikram).

Kedua-dua organisasi ini memiliki akar umbi dalam kebangkitan semula Islam yang muncul pada tahun 1920-30an.

Abim merupakan pertubuhan diasaskan belia pada tahun 1971 di mana Presiden PKR, Anwar Ibrahim pernah menduduki tampuk kepimpinan Abim satu ketika dahulu yang juga menyebabkan dirinya menyerlah sebagai pemimpin sebelum memasuki dunia politik.

Ikram pula adalah pertubuhan berasaskan penyatuan pendidikan dan kemanusian NGO yang bermula dan berkait dengan Jamaah Islah Malaysia yang ditubuhkan pada tahun 1990 dan mula dikenali sebagai Ikram pada tahun 2009.

Kedua-dua pertubuhan ini memiliki kesamaan di mana mereka mempromosikan kebangkitan Islam dan memiliki pengikut yang kuat serta aktif di akar umbi yang mengaitkan diri mereka dengan cara memperbaiki kehidupan sehari-hari orang Malaysia di lapangan.

Dan apa yang utama bagi Nathaniel ialah kedua-dua pertubuhan ini telah konsisten dalam menyuarakan pendapat mereka kepada umum dengan memberi pendirian yang sederhana dan pada masa yang sama progresif.

 

Mendengar Intipati Pendapat Abim & Ikram Pasti Ramai Akan Terkejut

Bagi Nathaniel, jika seseorang itu meluangkan masa untuk mendengar intipati pendapat Abim dan Ikran sudah pasti akan terkejut dengan naratif yang disampaikan oleh kedua-dua pergerakan Islam ini.

Daripada Ikram, mereka pernah mengeluarkan kenyataan tentang pengiktirafan UEC (Unified Examination Certificate atau sijil lepasan Sekolah Menengah Persendirian Cina) dan kempen beli buatan Islam dahulu (BMF-Buy Muslim First).

Kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh mereka tentang UEC telah mencerminkan bagaimana seriusnya usaha yang diambil untuk mendekati pendidik berbangsa Cina ini dan memahami UEC dari hujung rambut ke hujung kaki sebelum membuat kenyataan tidak berasas.

Kenyataan mereka adalah lebih seimbang dan memiliki unsur perdamaian yang mana perkara ini tidak dilihat oleh Nathaniel di mana-mana organisasi yang majoritinya Melayu.

Malah pemimpin belia Ikram, Hafiz Abd Hamid pernah menulis tentang kempen BMF bahawa dengan membeli barangan buatan Islam adalah baik tetapi memboikot produk agama serta kaum lain adalah perbuatan yang negatif dan sama sekali tidak membantu Malaysia dalam pelbagai peringkat.

Abim turut dilihat mengambil posisi yang sama dengan menyatakan mereka menyokong kempen BMF tetapi mereka tidak bersetuju dengan tindakan memboikot produk bukan Islam.

Setelah kejadian pertikaian tentang isu Icerd tempoh lalu, setiausaha agong Abim, Faisal Aziz yang kini merupakan Presiden Abim pernah mengambil tindakan berada di posisi tengah walaupun Icerd telah ditolak, menurutnya kerajaan juga sepatutnya memasukkan beberapa elemen daripada Icerd ke dalam undang-undang baharu yang menolak diskriminasi dan pada masa yang sama sejajar dengan Perlembagaan Negara.

 

Konsep Negara Rahmah Adalah Tindakan Bijak

Dari segi program bantuan, Ikram adalah ahli utama Gabungan Bertindak Malaysia (GBM) yang merupakan kerjasama yang unik dengan beberapa NGO yang mewakili komuniti yang luas dalam spektrum etnik serta agama.

Ini merupakan sejajar dengan konsep Negara Rahmah yang diperjuankan Ikram iaitu sebuah negara berasaskan belas kasihan dan kebajikan.

Abim pula telah menganjurkan sebuah acara pada bulan Oktober yang lalu di Bangi yang dipanggil Seminar Bangsa Malaysia. Terma ‘Bangsa Malaysia’ itu sendiri telah menjadi kontroversi di kalangan komuniti Melayu dan ramai di antara merka yang tidak bersetuju dengan konsep tersebut seraya berkata ia bakal mengakis ‘Bangsa Melayu’.

Walau bagaimanapun, Abim telah bertindak berani dan tetap menganjurkan acara tersebut. Malah Nathaniel mengambil peluang tersebut untuk mendengar para pemimpin Abim berucap pada hari Sabtu pagi itu dan baginya jelas menunjukkan bahawa pendekatannya kepada Islam dan kepimpinan mereka telah menanamkan semangat inklusif dan keterbukaan ke atas orang bukan Melayu dan juga bukan Islam.

Di samping mengiktiraf dan komited untuk menegakkan hal berkaitan Islam dan Melayu, namun pendekatan mereka telah mengiktiraf sumbangan yang dilakukan oleh orang bukan Melayu dan dengan jelas mengatakan bahawa mereka mahu bekerjasama bukan hanya untuk keuntungan satu pihak atau kaum tetapi untuk semua orang.

 

Mereka Jelas & Memiliki Sokongan Akar Umbi Yang Sangat Kuat

Kedua-dua pertubuhan ini telah mengambil langkah yang jelas dan umum bahawa mereka tidak mengambil jalan politik perpecahan dan mengiktiraf bahawa kita semua berada dalam perahu yang sama dan perlu mencari jalan penyelesaian bagi menggantikan ketidakpercayaan dengan sifat empati dan saling memahami antara satu sama lain.

Dalam peringkat yang lebih praktikal, organisasi ini mewakili demografik yang signifikan.

Di Malaysia terdapat pergerakan Melayu yang sangat liberal dan progesif yang mana tindakan mereka adalah lebih agresif dan berani sehingga ramai yang bukan Melayu sangat menyukai gerakan mereka itu.

Namun “masalah” yang diketengahkan oleh Nathaniel dengan pergerakan mereka walaupun baginya mereka sesungguhnya adalah orang yang baik juga ialah mereka jarang sekali mewakili dan memiliki pengikut dari kalangan kebanyakan demografi orang Melayu. Malah jauh sekali pengikut mereka dengan yang dimiliki oleh pertubuhan seperti Abim dan Ikram.

Ini menjadikan Abim dan Ikram unik dalam memberi naratif yang kontras dan kehadiran mereka penting bagi mematikan api yang semakin marak dan kontras di kalangan masyarakat berbilang kaum di Malaysia ini.

Bagi Nathaniel, sudah-sudahlah kita dengan membatu apikan sesama rakyat Malaysia. Sudah tiba masanya kita memiliki pemimpin yang memiliki nilai dan kelayakan untuk melahirkan rasa saling hormat-menghormati dan belas kasihan di antara satu sama lain.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button