Isu SemasaSains

Terdapat Bukti Saintifik Bahawa Sup Air Tangan Ibu Mampu Mencegah Malaria

Sering kali jika kita jatuh sakit, kita akan digalakkan untuk makan sup yang direneh sama ada dengan ayam, daging mahupun sayur-sayuran.

Selalunya kita akan fikir perkara ini adalah hanya petua orang tua dan belum ada bukti saintifik serta penjelasan khas tentangnya.

Namun sebuah kajian yang dijalankan oleh Imperial College of London telah menemukan bahawa sup-sup ini memiliki elemen yang boleh mencegah malaria.

Jake Baum, yang telah melakukan kajian ini telah meminta beberapa kanak-kanak daripada pelbagai latar belakang untuk membawa sup yang direneh dari rumah hasil resipi turun-temurun untuk mengubat demam.

Sampel ini telah disaring dan diinkubasi dalam kultur Plasmodium falciparum, parasit yang terdapat dalam 99.7% kes malaria di Afrika menurut Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).

Daripada 56 sampel yang diuji, lima memiliki 50% hasil efektif dalam mencegah pertumbuhan parasit tersebut sama dengan dua ubat yang digunakan untuk mengubati malaria.

Empat lagi sup telah mendapati lebih daripada 50% efektif dalam menghalang daripada parasit tersebut menjadi matang sehingga boleh menyebabkan jangkitan pada nyamuk yang menularkan penyakit tersebut.

“Semasa kami memulakan eksperimen ke atas sup tersebut dalam makmal yang sangat dikawal ketat, kami sangat teruja untuk melakukannya,” kata Baum kepada AFP.

Namun beliau berkata masih belum jelas bahan apakah yang digunakan yang memiliki elemen antimalaria itu.

“Jika kami serius dalam mengetahui kandungan yang magis ini, seperti seorang saintis yang baik, kami perlu mengikuti standard dan prosedur yang betul,” jelas Baum yang mengeluarkan laporan penemuan ini di Archives of Disease in Childhood.

Sup ini datang daripada keluarga yang memiliki pelbagai latar belakang seperti bangsa Eropah, Afrika Utara dan Timur Tengah. Mereka juga menggunakan pelbagai bahan asas termasuk ayam, daging lembu, kubis dan ubi bit.

Baum menambah bahawa sup yang memiliki kandungan sayur sahaja juga memiliki elemen sama seperti yang memiliki daging di dalamnya.

Melalui kajian ini, Baum mahu mengajar kanak-kanak proses yang kajian saintifik lakukan mampu menukar ubat herba ataupun resipi keluarga menjadi ubatan sintetik.

Beliau berkata sebelum ini kejayaan Profesor Dr Tu Youyou dari China pada tahun 1970an yang telah menemukan bahan dalam quinhao, sebuah herba yang digunakan dalam perubatan untuk mengubat demam sejak 2000 tahun yang lalu.

Isolasi serta pengekstrakan quinhao telah membolehkan ubat sintetik dihasilkan yang kini digunakan secara global untuk mengubati malaria dan Prof Tu telah memenangi hadiah Nobel pada tahun 2015 kerana penemuannya itu.

Dengan kerintangan bakteria semakin meningkat saban hari, para saintis perlu mencari ubat baharu untuk mengatasi masalah yang semakin meningkat ini.

Melalui kajian ini, Baum juga telah mendapat pelajaran berguna untuk dirinya bahawa terdapat pelbagai resipi di dunia ini yang mampu mengubati pelbagai penyakit tetapi ia masih belum lagi diterokai.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button