AntarabangsaIsu Semasa

Setelah 6 Bulan, Protes Di Hong Kong Tidak Menunjukkan Tanda-Tanda Akan Reda

Setelah hampir enam bulan, hab kewangan Asia itu belum berakhir dengan protes semakin mengganas pada awal minggu ini dan penunjuk perasaan bertindak membakar pintu masuk Universiti Politeknik Hong Kong (PolyU).

Penunjuk perasaan bertindak membakar pintu masuk universiti di bandar raya terbabit selepas polis mengepung kampus terbabit dan memberi amaran mungkin akan menggunakan peluru hidup ke atas kumpulan protes terbabit jika ia terus menggunakan senjata berbahaya menyasarkan pasukan keselamatan.

Beberapa letupan kuat kedengaran sekitar waktu subuh sebelum api marak memusnahkan pintu masuk Universiti Politeknik Hong Kong (PolyU) tersebut hingga memaksa polis melepaskan tiga tembakan peluru hidup, namun tidak mencederakan mana-mana individu.

Keadaan semakin tegang apabila polis turut melepaskan tembakan gas pemedih mata terhadap ratusan peserta protes yang bersenjatakan bom petrol dan senjata lain di dalam kampus tersebut.

 

Rayuan Ibu Untuk Melepaskan Anak Dari ‘Zon Perang’ PolyU

Sewaktu kejadian wartawan sempat merakam insiden menyentuh hati apabila seorang wanita melutut merayu pihak polis antirusuhan supaya menyelamatkan anaknya ketika pihak berkuasa mengepung PolyU.

Anak wanita itu dipercayai terperangkap dalam kampus ‘zon perang’ tersebut.

Dia turut meraung sambil menjerit berulang kali ‘lepaskan anak saya’.

Wanita itu terdesak membuat rayuan itu selepas dua penuntut menyerah diri kepada polis.

Beberapa ibu lain turut berada di luar kampus terbabit menunggu anak masing-masing.

 

Carrie Lam Gesa Penunjuk Perasaan Serah Diri

Sementara itu, Ketua Eksekutif Hong Kong, Carrie Lam berkata, penunjuk perasaan di kampus itu perlu menyerah diri jika mereka mahu krisis itu diselesaikan secara aman.

Menurutnya, beliau percaya terdapat kira-kira 100 individu masih dikepung dalam PolyU itu.

“Objektif hanya boleh dicapai jika mendapat kerjasama penuh daripada kumpulan protes itu termasuk perusuh perlu menghentikan keganasan dan menyerahkan senjata mereka. Mereka perlu mengikut arahan polis. Kerajaan sangat bimbang dengan situasi berbahaya itu,” ujarnya.

Laporan masih menunjukkan berpuluh penunjuk perasaan masih bertahan di Universiti Politeknik Hong Kong (PolyU) yang tidak menunjukkan tanda-tanda akan reda.

 

Masih Ada Penunjuk Perasaan Di PolyU, Ramai Yang Melarikan Diri Dengan Terjun & Laluan Pembentung

Dilaporkan kira-kira 50 penunjuk perasaan berada dalam premis PolyU selepas ratusan yang lain melarikan diri.

Sementara itu, penunjuk perasaan dilaporkan membentangkan isyarat SOS di satu kawasan terbuka bertujuan untuk meminta bantuan.

Seorang penunjuk perasaan berusia 20 tahun bernama Ken berkata, bekalan makanan dan minuman semakin berkurangan.

Isnin lalu, sekumpulan penunjuk perasaan berjaya melarikan diri dengan menuruni jambatan menggunakan tali sebelum dibawa pergi dengan motosikal yang sedia menunggu malahan ada yang cuba melarikan melalui saluran pembetung.

 

“Hari-hari yang dihabiskan di PolyU adalah menyeksakan kerana kami tidak boleh tinggal di sini.

“Bekalan makanan dan air juga akan kehabisan,” kata seorang pelajar bernama Alesa yang telah dua kali cuba melarikan diri melalui pembetung yang berbahaya.

Hanya 18 Tahun Akan Didakwa Tetapi…

Berdasarkan laporan Sinar Harian, mereka yang berusia 18 tahun ke atas akan berdepan tuduhan merusuh, manakala kanak-kanak tidak akan ditahan.

Namun seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun menjadi penunjuk perasaan paling muda berdepan tuduhan melakukan kekacauan awam.

Murid yang identitinya tidak didedahkan itu mengaku bersalah atas dua pertuduhan kerana melakukan vandalisme ke atas Balai Polis Mong Kok dan laluan keluar di stesen MTR Prince Edward ketika protes pada 3 Oktober lalu ketika dihadapkan di Mahkamah Majistret West Kowloon hari ini.

Peguam mewakilinya bagaimanapun meminta mahkamah memberi peluang kedua kepadanya kerana dia sangat kesal dengan perbuatannya kerana menconteng grafiti yang menyatakan slogan antikerajaan.

Difahamkan, kanak-kanak tersebut ditahan ketika dalam perjalanan ke sekolah sehari selepas demonstrasi tersebut.

 

Kanak-Kanak Remaja Turut Ditangkap

Lebih 5,000 diberkas sejak kumpulan prodemokrasi bermula di hab kewangan Asia tersebut pada Jun lalu.

Antara yang ditahan termasuk kanak-kanak dan remaja berumur antara 12 dan 15 tahun.

Protes prodemokrasi tercetus Jun lalu dengan jutaan penduduk Hong Kong membantah undang-undang ekstradisi dari Hong Kong ke Tanah Besar China, ia kemudian bertukar menjadi protes ganas yang menjadikan Hong Kong seakan medan pertempuran.

 

Senat Amerika Syarikat Lulus Undang-undang Lindungi Penunjuk Perasaan Hong Kong

Minggu ini senat Amerika Syarikat (AS) sebulat suara meluluskan rang undang-undang menyokong hak asasi dan demokrasi di Hong Kong dan mengancam untuk membatalkan status ekonomi khas hab kewangan Asia itu.

Mereka menghantar mesej jelas kepada rakyat Hong Kong yang berjuang untuk kebebasan mereka.

“Kami akan terus bersama anda dan tidak akan berdiam diri apabila Beijing melemahkan autonomi anda,” kata Senator Republikan, Marco Rubio.

Dewan Rakyat dan Senat kini akan membawa rang undang-undang terbabit kepada Kongres sebelum mendapatkan tanda tangan Presiden Donald Trump.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button