AntarabangsaIsu Semasa

Golongan Hamil, OKU & LGBT Dilarang Memohon Kerja

Beberapa kementerian di Indonesia akan mengetepikan pemohon kerja yang hamil, kurang upaya atau LGBT, dalam usaha untuk mencari calon yang “normal”.

Langkah yang dibantah oleh kumpulan hak asasi terbabit muncul ketika negara majoriti Muslim terbesar di dunia itu menerima permohonan daripada berjuta-juta calon yang memohon kira-kira 200,000 pekerjaan perkhidmatan awam di seluruh negara.

Indonesia, negara kepulauan Asia Tenggara dengan kira-kira 260 juta penduduk, telah melakukan diskriminasi terhadap golongan gay dan transgender pada tahun-tahun kebelakangan sementara seksisme di tempat kerja juga tersebar luas.

Pesuruhjaya Ombudsman Indonesia, Ninik Rahayu, berkata penyelidikan mendapati kementerian pertahanan dan perdagangan serta Pejabat Peguam Negara (AGO) telah melakukan diskriminasi terhadap calon dalam iklan pekerjaan mereka.

“Kementerian Pertahanan melarang wanita hamil daripada memohon pekerjaan, sementara AGO dan kementerian perdagangan melarang golongan transgender,” kata Ninik kepada AFP.

“AGO bahkan membuat kenyataan menyakitkan yang mengatakan ‘kami hanya menerima orang normal’,” katanya.

“Mengharamkan orang awam daripada memohon pekerjaan semata-mata kerana mereka adalah transgender, tidak dapat diterima dan melanggar hak asasi manusia,” katanya.

Ombudsman menyeru kementerian untuk membatalkan polisi pengambilan mereka, tetapi hanya kementerian perdagangan yang telah mematuhinya, kata Ninik, sambil menambah bahawa pejabatnya mula menyedari diskriminasi itu pada tahun ini.

Pada hari Khamis, jurucakap AGO memberitahu pemberita bahawa institusi mereka mengharamkan pemohon kerja dari golongan gay dan transgender dan hanya akan memihak kepada calon “normal” sahaja.

Di laman webnya, AGO menetapkan bahawa pemohon kerja tidak boleh buta warna, cacat secara fizikal atau “mental”, termasuk mereka yang mempunyai gangguan orientasi seksual (transgender) atau LGBT”.

“Sekatan-sekatan itu adalah satu dasar berasaskan kebencian semata-mata”, kata Encik Usman Hamid, pengarah eksekutif Amnesty International Indonesia.

“Indonesia sepatutnya berusaha untuk merekrut calon yang terbaik untuk perkhidmatan awam tanpa menggunakan sekatan berasaskan kebencian.

“Ini bertentangan dengan Perlembagaan Indonesia dan kewajipannya di bawah undang-undang hak asasi manusia antarabangsa,” jelasnya sambil menyeru kementerian masing-masing untuk menggugurkan peraturan terbabit.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close