Isu SemasaTempatan

Kerajaan Sarawak Tuntut Petronas Bayar Cukai Jualan Petroleum

Sarawak berkata Petronas mesti mematuhi undang-undang negeri dan membayar 5% cukai jualan negeri ke atas produk petroleum.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, berkata kerajaan negeri sudah menjelaskan perkara itu.

“Jika Petronas mematuhi undang-undang di negara lain mereka beroperasi seperti Kanada dan Brazil, kenapa mereka tidak mematuhi undang-undang Sarawak?

“Ini amat memalukan. Syarikat lain seperti Shell dan Murphy yang merupakan syarikat asing, telah membayar cukai dan mematuhi undang-undang kami,” katanya.

Awang Tengah mengulas laporan berita bahawa Petronas telah menawarkan Sarawak bayaran ihsan sebanyak 3% dan bukannya 5% cukai jualan.

Tawaran itu adalah bersyarat apabila kerajaan negeri membatalkan tuntutan cukai jualannya dan tidak melaksanakan Ordinan Perlombongan Minyak 1958.

Cukai 5% ke atas produk petroleum untuk eksport telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Sarawak di bawah Ordinan Cukai Jualan Negeri pada November tahun lalu dan berkuatkuasa pada 1 Januari tahun ini.

Pada 4 November, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata dalam ucapan belanjawannya bahawa kerajaan negeri telah mengeluarkan notis penilaian kepada Petronas untuk membayar cukai.

Beliau berkata Petronas mempunyai kewajipan untuk membayar cukai jualan negeri dan tindakan undang-undang akan diambil jika ia tidak mematuhi peraturan.

Petronas telah diberikan tempoh sehingga 31 Oktober tahun ini untuk membayar cukai yang dianggarkan boleh menjana pendapatan sebanyak RM3.9 bilion bagi negeri Sarawak tahun ini.

Tetapi syarikat Petronas masih belum membuat pembayaran dengan pengerusi Petronas, Datuk Ahmad Nizam Salleh mengatakan syarikat itu dan kerajaan negeri dan persekutuan masih dalam perbincangan berhubung perkara itu, menurut laporan minggu lepas.

Awal bulan ini, dilaporkan bahawa Sarawak mengeluarkan Notis Penilaian kepada Petronas untuk membuat pembayaran cukai jualan yang diperlukan. Jika gagal, Petronas akan melanggar Ordinan Cukai Jualan Negeri 1998.

Kerajaan persekutuan telah menubuhkan jawatankuasa MA63, dengan penyertaan kedua-dua kerajaan negeri Sabah dan Sarawak untuk mengkaji semula pelaksanaan perjanjian MA63 dan hak-hak Sabah dan Sarawak.

MA63 memberikan kedua-dua negeri kuasa penuh atas sumber semulajadi mereka sebagai pertukaran untuk menyertai Malaysia.

Ini termasuk sumber O&G tetapi Akta Pembangunan Petroleum 1974 kemudian memberikan kuasa pengawalseliaan kepada Petronas.

Sebagai pertukaran, Petronas membayar royalti minyak kepada Sabah dan Sarawak serta memberikan dana kepada negeri pengeluar minyak yang lain iaitu Kelantan dan Terengganu.

Dilaporkan bahawa jawatankuasa MA63 memutuskan semasa pertemuannya minggu ini bahawa isu-isu berkaitan royalti minyak dan pembayaran tunai bagi petroleum dan gas yang diekstrak dari Sabah dan Sarawak akan dibincangkan secara berasingan bulan depan.

Pada 1 Julai tahun lepas, kerajaan negeri Sarawak menguatkuasakan Ordinan Perlombongan Minyak 1958 (OMO), menghendaki semua entiti yang mengambil bahagian dalam industri O&G negeri untuk mendapatkan lesen dan pajakan yang diperlukan daripada Petroleum Sarawak Bhd.

Entiti-entiti ini diberikan sehingga akhir tahun 2019 untuk berbuat demikian, tetapi pelaksanaan OMO berkemungkinan besar akan berubah berdasarkan hasil perbincangan MA63.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button